August 19, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

KamiSempoi Mahu Lahirkan Generasi Baharu Live Streamer Profesional

Spread the love

Kamisempoi Kembali Dengan Malam Anugerah, Raikan Pencapaian Wira Digital

Kredit Foto:  Maestro Ridhwan

Bukan sekadar mengejar jumlah tontonan dan diamond, industri live streaming kini dilihat mampu berkembang sebagai satu kerjaya profesional apabila aspek latihan, disiplin dan kualiti produksi diberi perhatian serius.

Menyedari potensi besar berkenaan, KamiSempoi International Agency (KSIA) bakal melancarkan KamiSempoi Premier Academy, sebuah akademi khas yang diwujudkan bagi melatih serta membangunkan generasi baharu live streamer profesional.

Pelancaran akademi berkenaan akan menjadi antara acara penting pada KamiSempoi Golden Award 2025, yang kembali buat tahun keempat berturut-turut bagi mengiktiraf pencapaian pencipta kandungan digital dan hos TikTok LIVE dari seluruh negara.

Acara kemuncak berkenaan dijadual berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan, dengan M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios selaku penaja bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif KSIA dan juga Live Host TikTok, Pakcik Chin Swee, berkata penganjuran KamiSempoi Golden Award bukan sekadar acara untuk memberikan penghargaan, sebaliknya menjadi wadah meraikan semua pihak yang bersama-sama membangunkan ekosistem KSIA.

“KamiSempoi Golden Award kita adakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami. Bukan sahaja live host, tetapi juga sub-agency, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing-masing.

“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras dan pencapaian mereka dihargai. Pada masa sama, anugerah ini juga menjadi motivasi kepada lebih ramai live host untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya ketika ditemui media di Quill  City Mall KL pada 18 Ogos lalu.

Menurut Pakcik Chin Swee, penubuhan KamiSempoi Premier Academy adalah sebahagian daripada usaha KSIA mengubah persepsi bahawa menjadi live streamer sekadar pekerjaan yang boleh dilakukan dari rumah tanpa memerlukan disiplin serta kemahiran khusus.

Sebaliknya, akademi itu akan memberi penekanan terhadap pembangunan peserta secara menyeluruh, merangkumi latihan teknikal, kandungan, komunikasi, penampilan, persembahan, interaksi dengan penonton serta kualiti produksi LIVE.

Akademi yang akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur, itu akan menjadi pusat latihan dan pembangunan kepada individu yang benar-benar serius mahu menjadikan live streaming sebagai kerjaya.

Menariknya, kemasukan ke akademi berkenaan bukan secara terbuka tanpa saringan kerana setiap calon perlu melalui proses temuduga dan pemilihan.

“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun.  Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya.  Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” katanya.

KamiSempoi Premier Academy akan menggunakan kurikulum khusus dengan tempoh pembangunan selama satu tahun.

Antara sasaran yang ditetapkan ialah pencapaian satu juta diamond dalam tempoh setahun sebagai salah satu penanda aras bagi melengkapkan program. Bagaimanapun, peserta yang menunjukkan prestasi luar biasa berpeluang mencapai sasaran lebih awal, dengan tempoh enam bulan dianggap sebagai antara perkembangan terpantas yang boleh dicapai.

Program itu akan merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, look and feel hos, ketrampilan diri, penampilan, persembahan, komunikasi, live setup, interaksi dengan penonton serta pembangunan prestasi LIVE.

“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama.  Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus. Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun.

“Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate,” katanya.

Dalam usaha menaikkan standard industri tempatan, Pakcik Chin Swee turut melihat perkembangan live streaming di China menerusi platform Douyin sebagai contoh yang boleh dijadikan inspirasi.

Katanya, perkembangan industri di negara itu jauh lebih ke hadapan apabila LIVE bukan lagi sekadar hos duduk di hadapan kamera dan berinteraksi dengan penonton, tetapi sudah berkembang menjadi sebuah produksi besar seperti rancangan televisyen.

“Kalau kita lihat Douyin di China, mereka sudah jauh ke hadapan. Saya boleh katakan mereka mungkin sudah 10 hingga 12 tahun lebih advance daripada kita.  Di sana, orang buat LIVE sudah macam sebuah rancangan televisyen. Malah ada live yang mempunyai produksi sangat besar, termasuk konsert dan pelbagai bentuk persembahan.

“Kita di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan. Kalau kita mahu bersaing, kita perlu mula bergerak ke arah live streaming yang lebih profesional,” katanya.

Beliau berkata, aspek seperti kamera, komputer berprestasi tinggi, sistem audio, pencahayaan, penampilan, kandungan dan cara hos berkomunikasi semuanya memainkan peranan penting dalam menghasilkan sebuah LIVE berkualiti.

Tidak mahu faktor kewangan menjadi penghalang kepada bakat baharu, KSIA turut merancang menyediakan kemudahan studio LIVE secara sewaan. Kemudahan itu memberi peluang kepada mereka yang belum mempunyai modal mencukupi untuk menyediakan studio sendiri. Antara kelengkapan yang dirancang termasuk komputer, dua kamera, sistem bunyi serta keperluan asas untuk menghasilkan LIVE secara profesional.

“Untuk set up sebuah live studio yang betul-betul profesional, kosnya besar.  Kalau mereka sudah menyimpan dan ada bajet, mereka boleh set up studio sendiri. Tetapi kalau belum ada bajet, kami mahu sediakan studio untuk mereka.

“Ada PC, dua kamera, sound system dan keperluan asas untuk LIVE. Jadi mereka boleh datang dan gunakan kemudahan yang kami sediakan,” katanya.

Langkah itu sekali gus menjadikan KSIA sebagai pusat sehenti yang bukan hanya menyediakan latihan, malah membantu dari aspek kemudahan teknikal kepada mereka yang mahu membina kerjaya dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, KamiSempoi Golden Award 2025 tahun ini menawarkan 20 kategori pengiktirafan bagi meraikan pencapaian pelbagai pihak dalam ekosistem KSIA.

Daripada jumlah itu, 13 kategori dikhususkan kepada Live Host, tiga kategori kepada Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.

Perkembangan KSIA di peringkat serantau turut dapat dilihat menerusi jumlah komuniti yang kini merangkumi kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.

Pada masa sama, rangkaian Rakan Niaga di tiga negara itu dilaporkan sudah menghasilkan lebih 150 juta diamond, membuktikan potensi besar ekonomi digital menerusi industri live streaming.

Antara pencapaian yang mendapat perhatian ialah BossKlan, penerima Sub Agency of the Year 2024, yang turut menjadi Rakan Kongsi pertama KSIA membuka pejabat sendiri di Singapura.

Bagi edisi kali ini, pemilihan Live Host dan Sub Agency yang menerima pengiktirafan turut dibuat berdasarkan pencapaian dan prestasi, bukan sekadar populariti.

Bagi Live Host, antara perkara yang dinilai ialah pencapaian diamond, prestasi LIVE, komitmen serta perkembangan sepanjang berada dalam ekosistem KSIA.

“Tahun ini kita betul-betul pilih host yang akan menyertai acara ini. Kita mahu mereka yang berada di pentas itu mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Antara perkara yang kita lihat ialah diamond achievement dan live achievement. Jadi ia bukan semata-mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar-benar menunjukkan prestasi dan usaha,” jelasnya.

Bagi Pakcik Chin Swee, matlamat akhirnya bukan sekadar melahirkan lebih ramai live streamer, tetapi membentuk bakat tempatan yang mampu menghasilkan kandungan LIVE dengan standard lebih tinggi dan bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional.  Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi.

“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar,” katanya.

Justeru, KamiSempoi Golden Award 2025 bukan sekadar menjadi pentas meraikan mereka yang mencipta kejayaan sepanjang tahun lalu.

Sebaliknya, acara berkenaan turut menjadi titik permulaan kepada visi lebih besar KSIA untuk membentuk industri live streaming yang lebih tersusun, profesional dan mampu membuka laluan kerjaya baharu dalam ekonomi digital.

Daripada Golden Award sebagai pentas penghargaan, kini KSIA mahu melangkah lebih jauh menerusi Premier Academy sebagai platform melahirkan bakat baharu, sekali gus mencetuskan gelombang seterusnya dalam industri live streaming Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page