August 19, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ku Faiz Temui ‘Jurang Takdirku’

Spread the love

Selepas sekian lama mengasah bakat menerusi pentas dan program televisyen, penyanyi baharu, Ku Faiz akhirnya membuka langkah rasmi dalam industri rakaman menerusi single sulung berjudul Jurang Takdirku.

Pemilik nama sebenar Ku Muhammad Faiz bin Ku Zulrushdi, 25, dari Alor Setar, Kedah itu mempertaruhkan karya berentak balada moden yang sarat dengan emosi dan kisah cinta yang terhalang dek jurang kehidupan.

Bagi Ku Faiz, kemunculan Jurang Takdirku bukan sekadar pengenalan kepada dirinya sebagai penyanyi rakaman, sebaliknya peluang untuk membuktikan kemampuan vokal yang selama ini diasah menerusi pelbagai pentas.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak label, produser, komposer serta penulis lirik kerana memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan bakat yang saya miliki.

“Sebagai pendatang baharu dalam industri muzik tanah air, saya berharap seluruh peminat muzik Malaysia dapat menyokong perjalanan kerjaya seni saya.

“Semoga Jurang Takdirku diterima dengan baik dan mampu mencipta kejayaan seperti lagu-lagu popular yang lain,” katanya.

Sebelum bergelar penyanyi rakaman, Ku Faiz terlebih dahulu mencuri perhatian menerusi beberapa program televisyen termasuk Ceria Popstar dan All Together Now, selain pernah muncul sebagai tetamu dalam program Motif Viral.

Mempunyai vokal bertenaga serta julat suara tinggi, bakat Ku Faiz turut mendapat perhatian di TikTok apabila persembahannya membawakan lagu Roman Cinta meraih ribuan tontonan.

Populariti itu kemudiannya membuka ruang kepadanya untuk membuat persembahan di pelbagai majlis rasmi dan konsert, termasuk acara yang dihadiri kenamaan, menteri serta tokoh korporat.

Kini, Ku Faiz membawa pengalaman tersebut ke tahap lebih serius menerusi Jurang Takdirku, karya ciptaan sepenuhnya komposer dan penulis lirik, Dearlynnns.

Menariknya, lagu berkenaan sebenarnya sudah dicipta pada 2024 dan pernah dicuba beberapa penyanyi sebelum Dearlynnns menemui karakter suara yang dirasakan paling tepat untuk menyampaikan karya itu.

“Lagu Jurang Takdirku ini sebenarnya telah dicipta pada 2024. Beberapa penyanyi pernah mencuba membawakan lagu ini, namun pada saya warna suara mereka masih belum menepati karakter yang saya bayangkan.

“Sehinggalah pada 2026 saya bertemu dengan Ku Faiz. Alhamdulillah, akhirnya saya menemui suara yang benar-benar sesuai untuk menyampaikan karya ini,” katanya.

Menurut Dearlynnns, walaupun lagu itu tidak dihasilkan secara khusus mengikut julat vokal Ku Faiz yang tinggi, melodi sengaja dibentuk supaya lebih mudah dinyanyikan dan dekat dengan pendengar.

“Saya mahu lagu ini bukan sahaja sedap didengar, malah mudah dibawakan oleh masyarakat yang gemar berkaraoke. Itu antara matlamat utama saya ketika menghasilkan Jurang Takdirku,” katanya.

Bagi Ku Faiz pula, kekuatan utama lagu berkenaan terletak pada melodi dan jalan ceritanya yang mudah difahami.

“Ini merupakan satu kepercayaan yang sangat besar daripada pihak label untuk saya menjadi penyanyi bagi lagu ini.  Pada saya, Jurang Takdirku mempunyai aura dan kekuatan melodinya yang tersendiri, selain jalan cerita yang mudah difahami.

“Lagu ini berjaya menawan hati saya sejak kali pertama mendengar demo yang dihantar oleh produser, Tam Ali,” katanya.

Pihak Luncai Emas pula melihat Jurang Takdirku sebagai karya yang cukup bertepatan dengan karakter vokal Ku Faiz selepas melalui proses perbincangan dan mendengar demo lagu berkenaan.

“Kami berharap lagu ini dapat diterima oleh pendengar dan menjadi permulaan yang baik buat Ku Faiz dalam perjalanan beliau sebagai penyanyi rakaman,” kata wakil Luncai Emas.

Jurang Takdirku mengangkat kisah cinta yang terpaksa dipendam apabila dua insan dipisahkan oleh jurang kehidupan.

Dengan lirik yang dekat dengan realiti, melodi mudah diingati dan susunan muzik balada moden, lagu itu diharap mampu mengusik emosi pendengar, terutama mereka yang pernah berdepan kisah cinta tidak kesampaian.

Tidak terhenti pada audio, kisah yang dibawa lagu itu turut diterjemahkan menerusi video muzik rasmi yang menampilkan visual dramatik bagi menguatkan lagi jalan cerita Jurang Takdirku.

Video muzik berkenaan boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment, manakala lagu itu turut tersedia di semua platform penstriman digital utama.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page