Latihan Pestapora Malaysia Makin ‘Panas’, 12 Jam Muzik Satukan Dua Negara

Bukan sekadar datang untuk menyanyi dan menonton persembahan, lebih 12 jam masa dihabiskan peminat muzik di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu, demi meraikan kepelbagaian muzik Malaysia dan Indonesia menerusi Latihan Pestapora Malaysia 2026.
Edisi kedua festival anjuran bersama Hitman Solutions dan Boss Creator itu tampil lebih meriah dengan menghimpunkan 19 artis daripada pelbagai latar dan genre muzik, sekali gus menjadikan lokasi berkenaan seolah-olah bertukar menjadi ‘kota muzik’ yang tidak pernah sunyi.
Daripada pop, rock, indie, ska, R&B hinggalah muzik nostalgia, setiap pentas menawarkan warna tersendiri dengan sorakan peminat silih berganti sepanjang festival.
Lebih penting, Latihan Pestapora Malaysia 2026 membuktikan muzik tidak mengenal sempadan apabila karya dan artis Malaysia serta Indonesia disatukan dalam sebuah pesta yang meraikan persamaan budaya kedua-dua negara.
Antara detik paling mencuri perhatian pastinya kemunculan sulung Last Child di Malaysia. Kumpulan pop-punk alternatif dari Indonesia itu ternyata tidak perlu mengambil masa lama untuk ‘memanaskan’ suasana apabila deretan lagu popular mereka disambut nyanyian beramai-ramai peminat.
Duka, Seluruh Nafas Ini dan Sekuat Hatimu menjadi antara lagu yang paling kuat bergema, dengan penonton seolah-olah mengambil alih tugas vokal untuk beberapa ketika. Bukan sekadar persembahan sulung, kemunculan Last Child turut menjadi gambaran jelas betapa kuatnya pengaruh muzik Indonesia dalam kalangan pendengar Malaysia.
Kekuatan Latihan Pestapora Malaysia 2026 turut terletak pada barisan artisnya yang merentasi generasi dan genre.
Nama seperti Tulus, Tipe-X, Ruffedge, Romantic Echoes, Mahalini, Lah Ahmad, Juicy Luicy, Insomniacks, FUGŌ, Disko Santan & Friends dan Bernadya antara yang menghidupkan pentas dengan identiti muzik masing-masing.





Ada yang hadir dengan lagu penuh emosi, ada yang membuatkan penonton bergoyang dan tidak kurang juga persembahan yang mengimbau nostalgia.
Hasilnya, festival yang berlangsung selama 12 jam itu tidak terasa seperti satu persembahan panjang, sebaliknya bergerak daripada satu ‘mood’ kepada satu ‘mood’ lain tanpa memberi ruang kepada penonton untuk berasa bosan.
Namun, yang benar-benar memberi kelainan ialah tiga kolaborasi khas yang dipersembahkan khusus untuk edisi kali ini. Rhoma Irama Soneta bergabung dengan Maliq & D’Essentials, manakala Nadhif Basalamah tampil bersama Aziz Harun dan Aisha Retno. Tidak ketinggalan Masdo yang bergandingan dengan Gerhana Skacinta.





Tiga gabungan berkenaan bukan sekadar mempertemukan nama besar, sebaliknya menyatukan muzik daripada generasi dan latar berbeza untuk menghasilkan sesuatu yang jarang dapat disaksikan di pentas biasa.
Di sinilah kekuatan sebenar Pestapora, apabila perbezaan genre bukan menjadi penghalang, sebaliknya alasan untuk mencipta sesuatu yang baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, mengakui penganjuran edisi kedua membawa makna tersendiri buat pihaknya.
Menurutnya, perkara paling penting adalah melihat muzik berjaya menghimpunkan peminat Malaysia dan Indonesia dalam satu pengalaman yang sama.
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan kepada Latihan Pestapora Malaysia. Apa yang paling penting bagi kami adalah melihat bagaimana muzik mampu membawa peminat dari Malaysia dan Indonesia bersama-sama dalam satu pengalaman yang sama.
“Kerjasama bersama Boss Creator juga terus memberi ruang kepada kami untuk meneroka lebih banyak idea, kolaborasi serta peluang baharu untuk artis dari kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, berkata pihaknya mengambil serius setiap maklum balas yang diterima selepas penganjuran edisi pertama.
Katanya, pengalaman peminat menjadi perkara utama yang diberi perhatian, bukan hanya persembahan di atas pentas.
“Festival bukan hanya mengenai siapa yang berada di atas pentas, tetapi keseluruhan perjalanan peminat sejak mereka tiba sehingga persembahan terakhir tamat.
“Sudah tentu masih ada perkara yang boleh kami perbaiki. Setiap komen dan pandangan daripada peminat akan terus menjadi sebahagian daripada proses kami untuk menjadikan Latihan Pestapora Malaysia lebih baik pada edisi akan datang,” katanya.
Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup, pula melihat penganjuran di Malaysia sebagai peluang untuk mengeratkan lagi hubungan dua komuniti muzik.
“Kami sentiasa senang dapat kembali ke Malaysia dan melihat bagaimana peminat di sini menerima artis-artis Indonesia dengan begitu baik. Pada masa sama, Latihan Pestapora juga membuka peluang untuk kami membawa artis Malaysia lebih dekat kepada komuniti muzik Indonesia.
“Kolaborasi menjadi salah satu perkara yang kami percaya boleh terus dikembangkan kerana daripada pertemuan inilah sesuatu yang baharu boleh tercipta,” katanya.
Menariknya, pengalaman festival tidak terhenti di hadapan pentas. Lebih 20 vendor makanan dan minuman disediakan untuk pengunjung, selain ruang bergambar interaktif serta zon Music is Universal di Universal Music Corner.


Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan menikmati pengalaman bersama rakan-rakan sepanjang berada di lokasi. Justeru, Latihan Pestapora Malaysia 2026 tidak hanya meninggalkan kesan menerusi barisan artisnya, tetapi turut mengukuhkan identitinya sebagai ruang pertemuan budaya muzik dua negara.
Selepas 12 jam berpesta, satu perkara jelas iaitu muzik Malaysia dan Indonesia semakin sukar dipisahkan.
Dan jika momentum ini terus dipacu, tidak mustahil Latihan Pestapora Malaysia bakal menjadi antara acara muzik serantau yang paling dinanti-nantikan pada tahun-tahun mendatang.
