Madu Kelulut Malaysia Kini Bertaraf Dunia

Pensijilan Antarabangsa Pertama Dunia Buka Lembaran Baharu Industri, Tingkat Keyakinan Pengguna Dan Potensi Pasaran Global
Industri madu kelulut memasuki era baharu apabila pensijilan antarabangsa pertama dunia bagi Stingless Bee Honey (SBH) atau madu kelulut diperkenalkan, sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri yang lebih tersusun di peringkat global.
Pelancaran bersejarah itu diumumkan oleh Stingless Bee Factor Pte. Ltd. (SBF) menerusi acara The Future of Honey 2026 – Premiere Launch of Certified Stingless Bee Honey yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South, pada 11 Julai lalu.
Inisiatif berkenaan dilihat mampu menyelesaikan antara cabaran terbesar industri madu kelulut selama ini, iaitu ketiadaan definisi, piawaian kualiti dan sistem pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Keadaan itu sebelum ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan pengguna, malah mengehadkan potensi eksport serta perkembangan industri di pasaran global.

Pengasas Stingless Bee Factor, Javier Lau berkata, selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam industri penternakan lebah tanpa sengat, beliau percaya madu kelulut mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai produk kesihatan premium bertaraf dunia.
Katanya, usaha membangunkan rangka kerja pensijilan itu mengambil masa lebih 10 tahun menerusi kerjasama dengan saintis dan institusi penyelidikan antarabangsa.
“Bukan sekadar menghasilkan madu berkualiti, matlamat kami adalah mewujudkan satu standard global yang mampu meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka laluan lebih luas kepada perdagangan antarabangsa,” katanya.
Turut diumumkan ialah hasil penyelidikan daripada Glycaemic Index Research Unit (GIRU), Temasek Polytechnic, Singapura yang mengesahkan madu kelulut SBH mempunyai Indeks Glisemik Rendah (Low GI), sekali gus menjadikannya antara produk madu kelulut pertama di dunia menerima pengesahan saintifik bagi ciri tersebut.

Penemuan itu memberi nilai tambah kepada pengguna yang mengutamakan pemakanan lebih sihat serta membantu pengurusan paras gula dalam darah.
Dalam masa sama, penyelidikan oleh School of Applied Science, Temasek Polytechnic turut membuktikan madu kelulut mempunyai sifat antibakteria dan antioksidan semula jadi yang berpotensi dimanfaatkan dalam pembangunan makanan berfungsi serta produk nutraseutikal pada masa hadapan.
Menurut Javier, perkembangan itu membuka ruang baharu kepada madu kelulut untuk digunakan bukan sekadar sebagai makanan semula jadi, malah dalam bidang pengurusan kesihatan, suplemen pemakanan, pemulihan selepas pembedahan dan penyelesaian penjagaan kesihatan masa depan.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan besar untuk muncul sebagai hab utama industri madu kelulut dunia hasil kekayaan biodiversiti hutan tropika, kepelbagaian spesies lebah tanpa sengat serta ekosistem penternakan yang semakin berkembang.
“Pelaksanaan pensijilan antarabangsa ini dijangka meningkatkan nilai industri tempatan, memperkukuh keyakinan pengguna serta membuka peluang baharu dalam sektor pertanian, penyelidikan, eksport dan kesihatan,” katanya.
Selain pembangunan industri, Stingless Bee Factor turut memperkenalkan BeeAble Project, program komuniti yang dilaksanakan bersama GroupHome di Bentong, Pahang bagi melatih golongan belia berkeperluan khas dalam bidang penternakan lebah kelulut.
Melalui projek itu, peserta menerima latihan, bimbingan teknikal serta sokongan pemasaran bagi membolehkan mereka menjana pendapatan secara mampan.
Pengasas GroupHome, Dr Andrew Tan berkata, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada peserta membina kemahiran vokasional selain meningkatkan keyakinan diri melalui pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan mereka.
Dalam majlis sama, Javier turut mengumumkan kerjasama bersama History Maker menerbitkan filem bertemakan anti-penipuan atau anti-scam berjudul Rescue Mission, yang dijangka menemui penonton sebelum penghujung tahun ini.

Acara itu turut menampilkan SBH Experience Hall yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali lebih dekat dunia madu kelulut menerusi pameran interaktif, selain siri pembentangan saintifik oleh pakar dari United Kingdom dan Singapura mengenai piawaian antarabangsa, Indeks Glisemik Rendah, kandungan fenolik serta aktiviti peroksida semula jadi dalam madu kelulut.
Disaksikan hampir 700 tetamu, Stingless Bee Factor akhirnya memperkenalkan produk SBH Certified Stingless Bee Honey, yang membawa tiga pengiktirafan utama iaitu Pensijilan FERA, Pengesahan Saintifik Low GI dan Piawaian SBF.
Pelancaran itu bukan sahaja menandakan permulaan era baharu bagi industri madu kelulut, malah mengangkat produk semula jadi tropika itu sebagai antara calon utama dalam pasaran kesihatan dan kesejahteraan global.
