July 14, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Peterpan Akhirnya ‘Pulang’, Ubati Rindu Peminat

Spread the love

Selepas Mencipta Fenomena Di Kuala Lumpur, Siri The Journey Continues: Peterpan – Semua Tentang Kita Bakal Meneruskan Perjalanan Ke Arena @ EXPO, Singapura Pada 4 Oktober Depan.

Penantian hampir dua dekad akhirnya terlerai. Selama 18 tahun memendam rindu, ribuan peminat akhirnya dapat kembali menyanyikan lagu-lagu yang pernah menjadi runut bunyi zaman remaja mereka apabila Peterpan menggegarkan Idea Live Arena menerusi konsert The Journey Continues To Malaysia: Peterpan – Semua Tentang Kita, pada 11 Julai lalu.

Lebih mengujakan, hampir 5,000 peminat dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia membanjiri venue berkenaan, sekali gus membuktikan karya Peterpan masih mempunyai magis luar biasa walaupun kumpulan legenda Indonesia itu tampil tanpa vokalis asalnya, Ariel.

Sejak awal petang lagi, pekarangan Idea Live Arena sudah mula dipenuhi lautan peminat yang sanggup beratur berjam-jam demi mendapatkan posisi terbaik. Ramai hadir mengenakan busana berwarna biru sebagai simbolik kepada Peterpan, manakala ada yang membawa pelbagai memorabilia sebagai tanda penghargaan terhadap kumpulan yang pernah mendominasi industri muzik Nusantara pada awal 2000-an.

Tepat jam 8.20 malam, sorakan bergema sebaik Marcello Tahitoe atau Ello muncul membuka tirai persembahan menerusi lagu Taman Langit dan Khayalan Tingkat Tinggi, sebelum disambut nyanyian beramai-ramai yang tidak pernah putus sepanjang konsert berlangsung.

“What’s up Malaysia! Nice to see you again. Saya baru datang ke sini bulan lepas bersama Dewa 19, tetapi Peterpan sudah datang ke sini sejak 18 tahun lalu.

Ello turut mencuit hati penonton apabila melayan permintaan peminat yang mahu melihatnya mengikat rambut ketika sedang membuat persembahan, sekali gus mewujudkan suasana santai dan mesra sepanjang malam.

Konsert itu turut menemukan semula anggota asal Peterpan iaitu Ilsyah Ryan Reza (dram), Andika Naliputra (piano), Hendra Suhendra (bes) dan Loekman Hakim (gitar) yang menghidupkan semula nostalgia menerusi rangkaian lagu yang pernah menjadi siulan jutaan peminat.

Walaupun tanpa Ariel di pentas, kehangatan konsert langsung tidak terjejas apabila barisan penyanyi jemputan seperti Tantri Syalindri (Kotak), Arda Hatna, Rony Parulian serta penyanyi tempatan, Hael Husaini berjaya menghidupkan setiap karya dengan cara tersendiri.

Hael yang mendendangkan Jauh Mimpiku dan Aku dan Bintang mengakui peluang itu cukup bermakna buat dirinya.

“Ini bukan sekadar kolaborasi. Saya membesar dengan lagu-lagu Peterpan. Saya percaya ramai yang berada di sini juga mempunyai cerita dan kenangan masing-masing bersama karya mereka,” katanya.

Antara detik paling mengesankan ialah apabila lagu Mimpi Yang Sempurna bergema tanpa memerlukan banyak bantuan daripada penyanyi di pentas. Sebaliknya, hampir seluruh Idea Live Arena bertukar menjadi sebuah koir gergasi apabila ribuan peminat menyanyikan lagu itu dari awal hingga akhir dengan penuh penghayatan.

Suasana menjadi lebih magis apabila ribuan lampu telefon bimbit dinyalakan serentak sehingga membentuk lautan cahaya yang menyelimuti seluruh dewan, sekali gus menghasilkan pemandangan yang cukup memukau.

Digabungkan dengan sistem audio yang cukup ‘mesra’ telinga, permainan visual pentas yang mempesona serta pencahayaan dinamik, setiap lagu terasa seperti membawa penonton kembali ke era kegemilangan Peterpan.

Satu lagi kejutan istimewa malam itu ialah kemunculan Zah Amirul atau Amirul Hamzah Sarkawi dari Sarawak, pemenang ERA Peterpan Vocalist Competition, yang berjaya merealisasikan impiannya berkongsi pentas bersama kumpulan pujaannya di hadapan ribuan penonton.

Inisiatif kerjasama antara penganjur dan Astro ERA itu turut membuka ruang kepada bakat tempatan untuk mencipta pengalaman yang mungkin hanya hadir sekali seumur hidup.

Tidak kurang mencuri perhatian ialah kisah yang dikongsikan Arda Hatna sebelum menyampaikan lagu Ku Katakan Dengan Indah bersama isterinya, Tantri.

“Lagu ini sangat dekat di hati saya. Ada seseorang yang pernah menghancurkan hati saya, tetapi orang yang sama juga akhirnya menjadi penawar kepada hati ini. Peluang itu datang dan akhirnya saya bernikah dengannya,” katanya sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Sepanjang hampir dua jam konsert berlangsung, peminat tidak pernah berhenti menyanyi bersama menerusi deretan lagu malar segar seperti Semua Tentang Kita, Ada Apa Denganmu, Tak Bisakah, Mungkin Nanti, Bintang di Surga, Menunggumu dan Menghapus Jejakmu.

Konsert anjuran Pulse Project Asia dan Black Sky dengan kerjasama INTX serta Orlaith Inc itu bukan sekadar meraikan kepulangan Peterpan ke Malaysia selepas 18 tahun, malah menjadi pertemuan semula antara sebuah kumpulan legenda dengan peminat yang tidak pernah berhenti menyimpan rindu.

“Konsert ini bukan sekadar membawa Peterpan kembali ke Malaysia selepas 18 tahun. Ia adalah tentang menghidupkan semula kenangan, menemukan kembali sahabat-sahabat lama dan meraikan lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai orang.

“Sambutan luar biasa malam ini membuktikan muzik Peterpan masih terus hidup dan mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati peminat di seluruh rantau ini,” kata penganjur.

Sebaik tirai konsert dilabuhkan menerusi lagu terakhir, tepukan gemuruh yang bergema di seluruh Idea Live Arena seolah-olah menjadi janji bahawa selepas penantian selama 18 tahun, hubungan antara Peterpan dan peminat Malaysia akhirnya kembali terjalin. Malah, nostalgia yang tercipta malam itu pasti akan terus dikenang untuk tempoh yang sangat lama.

Bagi peminat yang terlepas menyaksikan persembahan di Kuala Lumpur, siri The Journey Continues: Peterpan – Semua Tentang Kita akan diteruskan di Arena @ EXPO, Singapura pada 4 Oktober depan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page