Altimet Kembali Bukan Demi Populariti, Tapi Demi ‘Pegang Tangan’

Kolaborasi Bersama Adam Nuqris Tampil Dengan Karya Menyentuh Jiwa Mengenai Kasih Sayang Ibu Dan Anak, Sekali Gus Menandakan Kemunculan Semula Altimet Dalam Dunia Muzik Dengan Cara Yang Paling Jujur
Pernah mengumumkan pengunduran daripada dunia rap demi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya, Altimet kini kembali menggegarkan industri muzik tempatan.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad itu menegaskan kemunculannya kali ini bukanlah usaha untuk menghidupkan semula karier seni atau mengejar populariti yang pernah dikecapinya, sebaliknya didorong oleh sebuah karya yang begitu peribadi dan dekat di hati.
Menerusi single Pegang Tangan, Altimet bergandingan dengan penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Adam Nuqris, dalam sebuah kolaborasi yang mempertemukan dua generasi berbeza menerusi naskhah sarat emosi mengenai kasih sayang dan perubahan peranan antara ibu dan anak.
Lebih menarik, lagu itu bukanlah projek yang dirancang secara komersial atau disusun mengikut strategi pemasaran. Sebaliknya, ia lahir secara organik daripada sebuah karya yang pernah ditulis dan disimpan Altimet sebelum diberi nafas baharu menerusi interpretasi Adam Nuqris.
Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh SVLTAN Management, Pegang Tangan turut mencuri perhatian apabila kewujudannya secara tidak sengaja didedahkan Adam Nuqris ketika ditemu bual sebuah stesen radio tempatan pada 8 Mei lalu, sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Perkara itu sekali gus mencetuskan keterujaan peminat yang tidak menyangka Altimet, antara nama paling berpengaruh dalam sejarah hip hop tempatan, kembali menghasilkan karya baharu selepas sekian lama.
Berbeza dengan lagu-lagu terdahulu yang banyak mengangkat isu masyarakat dan kritikan sosial, Pegang Tangan menampilkan sisi lebih matang dan reflektif.

Ia mengangkat kisah hubungan seorang anak dengan ibunya yang berkembang mengikut putaran waktu. Daripada tangan yang dipimpin ketika kecil, akhirnya anak pula menjadi tempat bergantung apabila ibu semakin dimamah usia dan diuji kesihatan.
Dengan susunan muzik yang sederhana serta lirik yang jujur, lagu itu memilih untuk menyentuh emosi pendengar tanpa perlu bergantung kepada elemen dramatik berlebihan.
Menurut Altimet, karya itu hadir dalam fasa kehidupan yang cukup bermakna buat dirinya.
“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar. Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” katanya.
Dari aspek muzik, Pegang Tangan mengekalkan identiti hip hop, namun dipersembahkan dalam nuansa yang lebih lembut dan reflektif.
Lirik hasil tulisan Altimet dipadankan dengan gubahan Mas Dewangga menerusi susunan muzik minimalis yang memberi ruang kepada kekuatan penceritaan dan penyampaian vokal menjadi nadi utama karya itu.
Bagi Adam Nuqris, peluang bekerjasama dengan Altimet adalah detik paling bermakna sepanjang perjalanan awal karier seninya.
“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana. Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istimewa ini,” katanya.
Menurut kedua-dua artis, keseluruhan proses rakaman berlangsung dalam suasana santai tanpa tekanan memenuhi formula pasaran, sekali gus membolehkan karya itu berkembang secara lebih telus dan ikhlas.
Hakikatnya, Pegang Tangan bukan sekadar menandakan kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik, tetapi menjadi bukti bahawa seni masih mempunyai ruang dalam kehidupannya walaupun kini memikul amanah sebagai wakil rakyat.
Bagi Altimet, muzik bukan lagi soal mengejar carta atau perhatian ramai. Sebaliknya, ia menjadi medium untuk berkongsi kisah, pengalaman dan emosi yang lahir daripada kehidupan sebenar.
Single Pegang Tangan yang dilancarkan pada 8 Mei lalu kini boleh distrim di semua platform digital utama. Sebagai pelengkap kepada naratif lagu itu, visualiser rasmi akan ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi Altimet pada 14 Julai ini bermula jam 12 tengah hari.
