Aura Wings Tak Pernah Padam, 700 ‘Sayap’ Bikin Melaka Bergoncang

Lebih 700 Peminat Membanjiri Hard Rock Cafe Melaka, Membuktikan Nama Wings Terus Menjadi Magnet Peminat Selepas Lebih Empat Dekad Mewarnai Dunia Rock Tanah Air
Belum pun reda kehangatan siri pembukaan Wings Sunday Night Live di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur minggu lalu, aura Wings terus menyala, lebih 700 peminat membanjiri Hard Rock Cafe Melaka sehingga setiap inci ruang dipenuhi Sayap-Sayap Wings yang mahu menjadi sebahagian daripada nostalgia ciptaan Wings.
Meskipun persembahan bermula pada jam 10.30 malam, namun kawasan sekitar premis sudah mula dipenuhi peminat yang datang dari Melaka, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan malah ada yang sanggup merentas beberapa negeri semata-mata untuk menyaksikan persembahan eksklusif Wings. Menjelang lampu pentas dipadamkan, debaran jelas terasa apabila laungan “Wings… Wings…” mula bergema sebelum kumpulan legenda itu melangkah naik ke pentas.
Dentuman Inspirasi Taming Sari membuka tirai dengan penuh bergaya, sekali gus mencetuskan ledakan sorakan yang tidak lagi surut sepanjang hampir satu jam 30 minit persembahan. Tanpa memberi ruang kepada penonton menarik nafas, Wings terus menghamburkan deretan lagu seperti Jerangkung Dalam Almari, Bujang Senang, Di Ambang Wati, Yes I Know dan Aku Pun Tahu yang menghidupkan suasana.

Awie sekali lagi membuktikan karismanya sebagai penghibur apabila bijak mengawal pentas menerusi celoteh spontan, usikan bersahaja dan gurauan yang mengundang gelak tawa penonton. Keakraban yang terjalin antara Wings dan peminat jelas terpancar, membuktikan hubungan yang dibina sejak lebih empat dekad lalu masih utuh hingga hari ini.
Kehangatan malam ihangatkan dengan lagu-lagu malar segar seperti Peronda Jaket Biru, Rock N Roll Lu Punya Suka, Jumpa Hilang, Bernafas Dalam Lumpur dan Hukum Karma dipersembahkan satu demi satu. Dentuman dram hasil ketukan Pae bergema bersama petikan gitar bass ciptaan Am yang bergentayangan memenuhi ruang.
Apa yang menarik, hampir tidak kedengaran ruang sunyi di dalam Hard Rock Cafe. Sebaliknya, setiap bait lirik dinyanyikan beramai-ramai oleh lebih 700 peminat sehingga suara mereka seakan-akan menjadi vokalis kedua sepanjang persembahan. Sesekali Awie hanya menghulurkan mikrofon ke arah penonton, membiarkan ribuan suara mengambil alih lagu yang begitu dekat di hati mereka.

Selepas mengucapkan penghargaan kepada peminat yang terus berdiri teguh menyokong perjalanan muzik Wings, Taman Rashidah Utama, antara karya daripada album Hukum Karma mula berkumandang. Lagu berkenaan menjadi simbol bahawa Wings bukan sekadar bergantung kepada nostalgia, sebaliknya mencipta ‘intimasi’ yang terjalin sejak sekian lama.
Nostalgia kembali menguasai pentas menerusi Harapan, Mabuk Tujuh Lautan dan Sejati yang menutup set utama persembahan dengan penuh bertenaga. Namun, apabila lampu pentas mula malap dan jam menghampiri pukul 12 tengah malam, tiada siapa berganjak. Sebaliknya, laungan “encore” bergema tanpa henti. Sayap-Sayap Wings terus berdiri, bertepuk tangan dan melaungkan nama kumpulan itu, seolah-olah enggan membiarkan malam berakhir begitu sahaja.

Melihat sokongan luar biasa itu, Wings kembali ke pentas untuk menghadiahkan tiga lagu bonus iaitu Lipas Kudung, Entah Kiri Entah Kanan dan Hutan Simpan, sebelum mengakhiri malam bersejarah itu menerusi Dalam Kehadiran Sofea yang dinyanyikan bersama-sama seluruh hadirin dan disulam dengan ‘jeritan’ gitar daripada Edrie Hashim bersama Sham.
Malam itu bukan sekadar sebuah showcase biasa tetapi membuktikan bahawa jentera baharu Wings terus ampuh dan terus bernadi sekaligus menjadi bukti bahawa muzik Wings masih hidup, masih relevan dan terus menyatukan generasi lama serta baharu di bawah satu bumbung.

Selepas kejayaan dua siri di Kuala Lumpur dan Melaka, Wings Sunday Night Live nyata berjaya menghidupkan semula budaya persembahan rock secara intim yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kepada Hard Rock Cafe. Kerjasama Awie Entertainment, Hard Rock Cafe dan RPM Label membuktikan bahawa nama Wings masih mempunyai kuasa luar biasa untuk menghimpunkan ratusan peminat hanya dengan sebuah showcase.
