June 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Khadam Bukan Sekadar Filem Seram, Ia Amaran Yang Terus Menghantui Selepas Lampu Pawagam Menyala

Spread the love

Selepas mencetuskan pelbagai spekulasi menerusi siri teaser, poster rasmi, treler dan lagu tema yang mendapat perhatian ramai, Khadam akhirnya melangkah ke detik paling penting sebelum tayangan umum apabila meraikan Malam Tayangan Perdana dalam suasana penuh eksklusif dan penuh debaran.

Namun apa yang dipersembahkan malam tadi membuktikan bahawa Khadam bukan sekadar sebuah lagi filem seram tempatan. Ia hadir sebagai sebuah karya yang menyelami antara ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu dimana ketakutan terhadap warisan yang tidak boleh ditolak, sumpahan yang diwarisi turun-temurun dan harga yang terpaksa dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.

Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula hari ini, Khadam membawa penonton kembali ke era 1950-an menerusi kisah Melor, seorang ibu yang terperangkap dalam pergelutan menentang saka warisan keluarga yang telah lama menghantui keturunannya.

Dalam usahanya melindungi keluarga daripada kuasa ghaib tersebut, Melor berdepan pilihan yang mustahil. Semakin kuat dia melawan, semakin besar pengorbanan yang dituntut. Sedikit demi sedikit, bukan sahaja kehidupannya mula runtuh, malah orang-orang yang paling disayanginya turut menjadi taruhan.

Menurut pengarah Shamyl Othman, Khadam lahir daripada keinginan untuk mengangkat elemen seram yang benar-benar dekat dengan budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu.

“Dalam budaya Melayu, terdapat dua jenis pewarisan, satu berbentuk zahir iaitu pusaka dan satu lagi berbentuk ghaib iaitu saka, satu entiti yang diwarisi turun-temurun dan dipercayai berperanan melindungi serta membantu tuan empunyanya. Namun saka yang diwarisi tidak boleh ditolak. Kita sama ada menerimanya dan menjadi tuannya, atau berdepan dengan risiko keluarga diporak-perandakan olehnya,” jelas Shamyl.

Tambah beliau, ketakutan sebenar yang cuba diteroka menerusi Khadam bukanlah semata-mata kewujudan saka itu sendiri, tetapi akibat yang berlaku apabila manusia memilih untuk hidup bersama kejahatan tersebut.

Di sebalik lapisan seram dan misteri, filem ini turut mengangkat tema yang lebih mendalam tentang keluarga, trauma generasi, tanggungjawab serta pengorbanan. Ia memaksa penonton berdepan satu persoalan yang sukar dijawab dan sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi melindungi mereka yang dicintai?

Kekuatan emosi tersebut diperkukuhkan menerusi lakon layar hasil nukilan Fariza Azlina Isahak yang membina ketegangan bukan melalui kejutan murahan semata-mata, tetapi melalui kesunyian, trauma dan konflik dalaman yang perlahan-lahan memakan jiwa watak-wataknya.

Pendekatan itu menjadi lebih berkesan apabila watak Melor digambarkan sebagai seorang wanita yang kehilangan suara, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga secara simbolik. Dalam banyak keadaan, emosi dan visual mengambil alih fungsi dialog, menjadikan penderitaan serta perjuangan seorang ibu diterjemahkan dengan lebih mendalam dan menyentuh perasaan.

Bagi Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan satu visi yang jelas sejak hari pertama ia dirancang demi menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri setanding karya serantau dan antarabangsa tanpa mengorbankan identiti tempatan.

“Kualiti sentiasa menjadi keutamaan kami dalam setiap aspek pembikinan Khadam. Daripada pembangunan skrip, pengarahan, rekaan produksi, muzik, pasca produksi hinggalah pemilihan pelakon, setiap keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard yang kami tetapkan sejak hari pertama. Kami mahu menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton serta membuktikan bahawa cerita tempatan juga mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap yang tinggi,” katanya.

Visi tersebut diterjemahkan menerusi kerjasama produksi berskala antarabangsa yang menghimpunkan Red Communications dan Komet Productions bersama rakan strategik dari beberapa negara termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios dari Indonesia, Sil Metropole Organisation Ltd. dari Hong Kong, Applause Entertainment dari India serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas dari Malaysia dengan sokongan FINAS.

Gabungan ini menjadikan Khadam sebuah projek yang berakar kukuh pada budaya tempatan tetapi dibangunkan dengan aspirasi dan standard yang melangkaui sempadan negara.

Dari segi lakonan, Khadam turut menampilkan kombinasi pelakon yang menarik perhatian. Bintang terkenal Indonesia, Aghniny Haque, membuat kemunculan sulung dalam filem Malaysia menerusi watak Melor, bergandingan dengan Datuk Remy Ishak sebagai Awang dalam antara pasangan layar yang paling dinanti tahun ini.

Turut membarisi filem ini ialah Siti Khadijah Halim, bakat baharu Karl’ El yang membuat penampilan pertama dalam dunia lakonan, serta Zarra Zhaff yang mencuri perhatian menerusi persembahan penuh kematangan emosi dan kehadiran layar yang memukau.

Kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak pula melengkapkan sebuah barisan pelakon yang menggabungkan pengalaman, karisma dan bakat generasi baharu yang semakin menyerlah di rantau ini.

Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi turut memberi gambaran jelas tentang dunia Khadam yang dibina dengan penuh teliti. Ruang acara dihidupkan melalui rekaan bunyi yang menggabungkan elemen hujan, guruh dan lapisan audio yang menimbulkan rasa tidak selesa sejak tetamu melangkah masuk ke lokasi tayangan.

Suasana tersebut diperkukuhkan lagi menerusi persembahan khas Ernie Zakri yang menyampaikan lagu tema rasmi filem ini, Tak Berlagu, sekali gus membawa tetamu menyelami emosi dan kesuraman dunia Khadam sebelum tayangan bermula.

Lebih menarik, reaksi awal daripada penggiat industri, media dan tetamu jemputan selepas tayangan memperlihatkan sambutan yang amat positif. Ramai memuji keberanian filem ini menggabungkan elemen seram, drama keluarga dan psikologi dalam sebuah naratif yang lebih matang serta berlapis.

Kekuatan penceritaan, mutu lakonan, rekaan bunyi yang mengganggu emosi serta kemampuan filem ini membina rasa takut tanpa terlalu bergantung kepada formula seram konvensional menjadi antara aspek yang paling banyak diperkatakan.

Dengan kisah yang berpaksikan budaya Melayu, nilai produksi bertaraf antarabangsa serta tema universal tentang kehilangan, cinta dan pengorbanan, Khadam muncul sebagai antara filem tempatan paling signifikan tahun ini.

Lebih daripada sekadar sebuah filem seram, Khadam menjadi bukti bahawa industri perfileman Malaysia kini semakin berani menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu meninggalkan kesan psikologi dan emosi yang berpanjangan kepada penonton.

Mulai hari ini, penonton akhirnya berpeluang memasuki dunia Khadam di lebih 120 pawagam seluruh negara menerusi pengedaran GSC Movies dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama. Selepas Malaysia, filem ini turut dijangka menemui penonton di Singapura dan Indonesia.

Jika sambutan pada Malam Tayangan Perdana menjadi ukuran, Khadam berpotensi muncul sebagai antara karya seram tempatan paling diperkatakan tahun ini.

Kerana apabila lampu pawagam kembali menyala dan kredit akhir mula bergerak, ketakutan sebenar dalam Khadam tidak berakhir di layar. Ia terus hidup dalam fikiran penonton, perlahan-lahan mempersoalkan segala yang mereka percaya tentang keluarga, cinta dan pengorbanan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page