October 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Lee Chong Wei Sebak Imbas Perjuangan Lawan Kanser

Spread the love

Beyond Greatness Bongkar Sisi Peribadi Legenda Badminton Negara, Daripada Detik Sukar Bersara Hingga Misi Mencungkil Bakat Baharu

Di sebalik kejayaan meraih tiga pingat perak Olimpik dan rekod 349 minggu sebagai pemain nombor satu dunia, Datuk Seri Lee Chong Wei menyimpan kisah perjuangan yang tidak semuanya diketahui peminat.

Legenda badminton negara itu tidak dapat menahan sebak ketika mengimbas kembali perjalanan melawan kanser, keputusan meninggalkan gelanggang profesional serta sokongan keluarga yang menjadi kekuatan ketika melalui detik paling sukar dalam hidupnya.

Momen penuh emosi itu mencuri perhatian pada program Beyond Greatness anjuran AISEE LIFE di idea Live Arena yang telah berlangsung pada 24 Oktober lalu.

Berlangsung selama dua jam, program itu membawa penonton menyelami sisi berbeza Chong Wei menerusi perkongsian peribadi, filem temu bual khas dan sesi perbualan di pentas yang merungkai perjalanan hidupnya di dalam serta di luar gelanggang.

Selepas 19 tahun bersama skuad kebangsaan, Chong Wei mengakui keputusan bersara pada Jun 2019 bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas diagnosis kanser pada 2018 mengubah perjalanan hidupnya.

“Badminton sudah menjadi kehidupan saya selama bertahun-tahun, jadi keputusan untuk bersara bukan sesuatu yang mudah.

“Namun, sepanjang melalui semua dugaan itu, keluarga saya, terutama isteri, sentiasa berada di sisi. Sokongan mereka lebih bermakna daripada apa-apa pun,” katanya.

Pengalaman itu turut mengajarnya bahawa kehidupan tidak seharusnya hanya berlegar pada pencapaian dan kemenangan, sebaliknya turut memberi ruang untuk menjaga kesihatan, meluangkan masa bersama keluarga serta mencari tujuan baharu.

Meskipun namanya sinonim dengan kejayaan di pentas antarabangsa, Chong Wei tetap melihat dirinya sebagai individu biasa yang perlu bekerja keras untuk mencapai sesuatu.

“Orang mungkin melihat saya sebagai legenda, tetapi saya tidak pernah menganggap diri saya hebat. Saya cuma orang biasa yang menyukai badminton, bekerja keras dan terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Bagi Chong Wei, sokongan rakyat Malaysia sepanjang kariernya menjadi sumber motivasi untuk terus memberikan persembahan terbaik, terutama ketika memikul harapan negara pada kejohanan besar.

Kini, tanggungjawabnya terhadap badminton diteruskan menerusi peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jawatan yang disandang sejak Oktober 2025.

Berbekalkan pengalaman luas di pentas antarabangsa, beliau mahu membantu membangunkan pemain kebangsaan selain membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk menyerlah.

Menerusi Piala Lee Chong Wei, beliau berharap lebih ramai pemain muda mendapat peluang beraksi, menimba pengalaman dan mengembangkan potensi masing-masing.

Beliau turut merancang meneroka peluang menyertai kejohanan junior di dalam dan luar negara pada 2027 bagi memberikan pendedahan lebih luas kepada pemain berpotensi.

Sementara itu, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AISEE LIFE, Cisee Tan, berkata Beyond Greatness diwujudkan bagi mendekatkan masyarakat dengan pengalaman hidup tokoh yang mampu memberikan inspirasi, selain mendorong mereka menterjemahkan pengajaran itu kepada tindakan positif.

“Kisah Lee Chong Wei mengingatkan kita bahawa kehebatan bukan sekadar mengenai pencapaian, tetapi juga bagaimana kita mengatasi cabaran dan apa yang kita pilih untuk lakukan berdasarkan pengalaman itu.

“Menerusi Beyond Greatness, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mengambil langkah seterusnya dalam kehidupan mereka,” katanya.

Pengalaman Chong Wei membuktikan bahawa perjuangan seorang atlet tidak berakhir sebaik meninggalkan gelanggang. Sebaliknya, keberanian menghadapi ujian, menghargai keluarga dan membantu generasi seterusnya turut menjadi sebahagian daripada legasi yang ditinggalkan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page