October 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Lee Junho Gegarkan CUCKOOTOPIA, 15,000 Banjiri Stadium Merdeka

Spread the love

Kemunculan bintang Korea Selatan bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ella dan Faizal Tahir merancakkan sambutan ulang tahun ke-12 CUCKOO Malaysia yang turut menyaksikan penyampaian Anugerah Melodi Terhangat 2026.

KEMUNCULAN bintang Korea Selatan, Lee Junho, menjadi antara detik paling dinanti-nantikan apabila hampir 15,000 pengunjung membanjiri Stadium Merdeka pada 24 Oktober lalu bagi memeriahkan CUCKOOTOPIA – Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 Dihangatkan Oleh AMT 2026.

Penampilan Duta Jenama Global CUCKOO itu mengundang sorakan gemuruh peminat, sekali gus melengkapkan malam penuh hiburan yang menghimpunkan barisan artis popular tempatan dan antarabangsa.

Bukan sekadar konsert, acara berkenaan turut menjadi platform penghargaan kepada pelanggan, kakitangan dan rakan perniagaan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan CUCKOO Malaysia sepanjang 12 tahun.

Lee Junho tampil segak dalam sut merah manggis yang dipadankan dengan sapu tangan batik, selari dengan semangat kod pakaian Batik Bunga yang menyuntik elemen budaya tempatan dalam acara berkenaan.

Duta Jenama Global CUCKOO itu turut meluangkan masa berinteraksi dengan peminat menerusi sesi perkongsian dan segmen kamera peminat, termasuk mengajak mereka membentuk simbol hati serta meniru gerak gayanya.

Detik berkenaan mencetuskan suasana meriah apabila peminat berpeluang berinteraksi secara langsung dengan bintang yang menjadi tarikan utama acara itu.

Namun, kemeriahan CUCKOOTOPIA tidak hanya bergantung pada kehadiran selebriti antarabangsa apabila pentas turut dimeriahkan nama besar muzik tempatan seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ella, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Hujan dan MIMIFLY.

Konsert utama dimulakan dengan persembahan cahaya dramatik sebelum MIMIFLY menghangatkan pentas menerusi lagu Angkat, diikuti kumpulan 3P dengan lagu 鑫 XIN.

Suasana terus rancak apabila Ella menyampaikan Standing in the Eyes of the World, manakala Faizal Tahir mengajak penonton menghayati semangat lagu Gemuruh yang cukup sinonim dengan dirinya.

Kumpulan Hujan pula menyuntik elemen rock, sementara Jeryl Lee dan Jaclyn Victor menyerlah menerusi persembahan vokal masing-masing.

Artis jemputan dari Taiwan, Trevor Kuo, turut melengkapkan variasi muzik malam itu dengan persembahan Mandopop, diikuti kemunculan bakat muda program Youthopia yang menggabungkan nyanyian dan tarian.

Kepelbagaian genre berkenaan menjadikan CUCKOOTOPIA sebuah pentas yang menghimpunkan peminat daripada pelbagai latar belakang, sekali gus menyuntik warna tersendiri dalam sambutan ulang tahun syarikat itu.

Antara segmen yang mencuri perhatian ialah persembahan Firdhaus menerusi lagu terbaharunya, 拳王阿里 (ALI), sebelum bergandingan dengan Siti menerusi Be Like Water 像水一样.

Duet itu membawa makna tersendiri apabila lagu berkenaan menjadi lagu tema tanggungjawab sosial korporat (CSR) CUCKOO Malaysia yang dilancarkan tahun ini.

Siti kemudian meneruskan persembahan solo sebelum disertai Jaclyn Victor dan Phei Yong menerusi SAMA-SAMA, lagu tema CUCKOO Malaysia yang mengangkat mesej kebersamaan.

Phei Yong turut menceriakan suasana apabila berinteraksi menggunakan loghat Kelantan sebelum mencuba menyampaikan lagu popular Siti, Bukan Cinta Biasa. Selingan santai itu menjadi antara detik yang menghubungkan artis dengan penonton sebelum acara diteruskan dengan sambutan ulang tahun.

Kemeriahan malam itu mencapai satu lagi kemuncak menerusi acara memotong kek ulang tahun, diikuti pertunjukan bunga api yang menerangi langit Stadium Merdeka sebagai simbol meraikan 12 tahun perjalanan CUCKOO Malaysia.

Sebelum konsert utama bermula, pengunjung turut disambut persembahan 50 penari yang menampilkan kepelbagaian rentak dan budaya Malaysia.

Pengisian pra-konsert itu turut mencerminkan peranan CUCKOO Malaysia sebagai rakan strategik rasmi Kempen Melawat Malaysia 2026.

Bakat muda turut diberi ruang menyerlah menerusi persembahan Emily Chua dengan lagu Beautiful Mess, Umairah menerusi lagu ciptaannya, Pugar, serta ODDA yang menaikkan tempo dengan Gelanggang Rasa.

Janice Yoong kemudian menutup segmen pra-konsert dengan medley tarian sebelum pentas utama mengambil alih perhatian pengunjung.

Selain hiburan, CUCKOOTOPIA turut menjadi platform pengumuman empat kategori selebriti terakhir Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026, susulan acara anugerah utama yang berlangsung pada 18 Oktober lalu.

Keluarga Ain Edruce dan Amirul dinobatkan sebagai Keluarga Selebriti Terhangat, manakala Alif Satar membawa pulang anugerah Selebriti Fit Terhangat.

Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah pula memenangi kategori Selebriti Chemistry Terhangat, sementara Dior Tan diumumkan sebagai penerima anugerah Selebriti Mandarin Terhangat.

Penghargaan turut diberikan kepada kakitangan menerusi Anugerah Penghargaan CUCKOOTOPIA 2026 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memastikan kelancaran operasi serta mutu perkhidmatan syarikat.

Chong Set Ling menerima Anugerah Kecemerlangan Servis CUCKOO+, manakala Mohd Irman Mohd Sabirin membawa pulang Anugerah Kecemerlangan Teknikal CUCKOO+. Anugerah Kecemerlangan Servis Penjagaan Kediaman CUCKOO+ pula menjadi milik Mohd Hanafi Peli, sementara Zaza Maihazra Zaman menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kutipan CUCKOO.

Bagi kategori Kecemerlangan Sokongan Operasi CUCKOO, pengiktirafan diberikan kepada Azril Effi Mohd Rafie, Leong Pui Wai atau Theresa, Ng Jing Xuan atau Jone, serta Norfauziana Ismail.

Pengiktirafan itu memperlihatkan penghargaan syarikat bukan hanya tertumpu kepada wajah yang berada di hadapan pentas, sebaliknya turut merangkumi tenaga kerja yang menyokong operasi harian.

Mengulas perjalanan syarikat, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon atau KC Hoe, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan.

“Di sebalik setiap pencapaian, terdapat insan-insan yang merealisasikannya… Terima kasih atas segalanya,” katanya.

Beliau berkata, CUCKOO Malaysia memulakan perjalanan 12 tahun lalu dengan matlamat membantu rakyat Malaysia menjalani kehidupan lebih sihat dan bahagia.

“Dua belas tahun lalu, kami menyemai benih dengan satu impian yang jelas iaitu untuk membantu rakyat Malaysia hidup lebih sihat dan bahagia. Buat pelanggan kami, terima kasih kerana menerima kehadiran kami di kediaman anda dengan hati terbuka untuk menjadi #SAMASAMAHealthier.

“Buat pasukan kami, rakan kongsi dan setiap BFF kami, iaitu Buddies, Friends dan Families, terima kasih kerana membantu impian ini berkembang,” katanya.

Menurutnya, syarikat mahu terus meluaskan jangkauan kepada lebih banyak isi rumah, selain membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk berkembang bersama perniagaan berkenaan.

Antara langkah yang diambil ialah pelancaran Struktur Rakan Jualan Bersekutu (Associate Sales Partner atau ASP) pada 1 Oktober lalu bagi membuka peluang kepada lebih banyak perniagaan bebas dan individu menyertai rangkaian jualannya.

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh rangkaian jualan berbilang saluran, sekali gus meluaskan akses pengguna kepada produk dan perkhidmatan syarikat.

Sebagai Pencipta Kediaman Sihat, CUCKOO Malaysia menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan merangkumi peralatan serta barangan rumah, produk penjagaan kulit, makanan bernutrisi dan perkhidmatan penjagaan kediaman.

Penawaran itu merangkumi empat segmen perniagaan, iaitu CUCKOO, CUCKOO Co-Created, WonderLab dan WonderDewi serta WonderKlean.

Selepas 12 tahun, CUCKOOTOPIA bukan sahaja meraikan pencapaian sebuah jenama, malah mengangkat sumbangan pelanggan, pekerja dan rakan perniagaan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan membina aspirasi #SAMASAMAHealthier.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page