Filem Bisikan Tampil Kelainan Dengan ‘Double Horror’

Filem Yang Menelan Belanja RM1.5 Juta Akhirnya Ditayangkan Di 70 Pawagam Mulai 19 November
Filem seram bukan sekadar mengejutkan penonton dengan hantu, tetapi mahu mereka berfikir tentang apa yang sebenarnya paling menakutkan: yang tidak kelihatan, atau realiti hidup itu sendiri.
Itulah pendekatan Bisikan, filem thriller seram terbitan D’Alpha Legacy Production yang menggabungkan elemen mistik dan horror of truth dalam satu cerita, atau dikenali sebagai double horror.
Karya arahan Opie Zami ini digandingkan dengan barisan pelakon popular, iaitu Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana.
Penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, berkata filem itu akan mengajak penonton meneroka persoalan tentang ketakutan dalam diri manusia.
“Adakah kita takut kerana sesuatu itu benar-benar wujud atau kerana kita tidak memahami apa yang sedang berlaku?
“Saya percaya ‘double horror’ adalah elemen yang belum pernah lagi ditampilkan dalam mana-mana filem di Malaysia. Menerusi elemen itu, penonton akan dapat melihat dan merasai kesakitannya selepas 30 minit pertama filem ini,” katanya.
Menurutnya, filem itu turut membawa elemen kekeluargaan, kasih sayang, kehilangan dan ketakutan manusia terhadap perkara yang tidak mampu dikawal.
Nur A’minahtul Mardiah, yang juga peguam dan pempengaruh terkenal, berkata idea filem itu lahir daripada pengalamannya sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret.
“Ada kisah yang menyedihkan dan ada yang sukar diterima akal hingga membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimana seseorang boleh melalui perkara sedemikian dalam kehidupannya,” katanya.
Katanya, dari situ dia sedar ketakutan manusia bukan hanya datang daripada perkara mistik, malah kadangkala realiti kehidupan jauh lebih menakutkan.
“Setiap manusia mempunyai luka. Ada yang kita tunjukkan, ada yang kita simpan bertahun-tahun dan mungkin tidak kita sedar masih mempengaruhi hidup kita. Sebab itulah kami membawa ungkapan ‘Luka Yang Berbisik’ sebagai identiti filem ini,” katanya.
Namun, perjalanan menyiapkan filem pertamanya itu jauh daripada mudah. Projek yang tertangguh enam tahun itu bermula dengan tamparan pandemik COVID-19 yang menjejaskan industri perfileman.
Penggambaran di sebuah rumah di Kuantan siap pada 9 Ogos 2020, tetapi kerja pasca produksi menemui jalan buntu apabila aset imej janaan komputer (CGI) bermasalah dan dana kehabisan. Filem itu membabitkan 80 peratus elemen CGI.
“Bayangkan, kerja penggambaran sudah selesai tetapi kita tidak mampu menyiapkannya untuk tayangan. Belum lagi insiden penipuan wang berlaku,” katanya.
Ketika filem itu hampir ‘lumpuh’, produksi menerima dana pasca penerbitan RM300,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), daripada kos keseluruhan RM1.5 juta.
Bagaimanapun, kelewatan itu membawa tindakan saman daripada pelabur dan kes itu hanya selesai pada Jun 2026.
“Saya tetap perlu menanggung bayaran walaupun kekangan yang menyebabkan filem ini tidak dapat disiapkan bukan berpunca daripada saya,” katanya.
Walaupun begitu, Nur A’minahtul Mardiah berkata dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa.
“Saya banyak menangis pada waktu malam kerana memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan semua masalah ini.”
Pada Mac 2025, dia ke Tanah Suci Makkah dan berdoa di depan Kaabah agar dijauhkan daripada orang yang mengambil kesempatan, serta dipertemukan dengan insan baik yang sudi bersama dalam perjuangan itu.
“Alhamdulillah, Allah tunaikan,” katanya, yang pernah menerbitkan filem thriller Eva, Supertele Kelaster dan Korsakoff (Astro First), serta Frontliner untuk Netflix.
Kini, Bisikan bakal ditayangkan di 70 pawagam seluruh Malaysia mulai 19 November ini. Poster rasmi filem itu dimuat naik di semua platform media sosial dalphamovie pada 7 Oktober, manakala treler rasmi menyusul pada 14 Oktober.
Selain membuat penampilan khas, Altimet turut menyampaikan lagu runut bunyi rasmi filem itu, Hujan, secara duet bersama penyanyi Mimi Fly.
