Rajinikanth Kembali Mengganas Dalam Jailer 2

Aksi Mendebarkan, Humor Bersahaja Dan Muzik Bertenaga Anirudh Jadi Taruhan, Namun Sekuel Ini Sedikit Tenggelam Akibat Jalan Cerita Terlalu Panjang
KARISMA superstar Tamil, Rajinikanth terus menjadi taruhan utama dalam Jailer 2, sekuel aksi yang kembali mengangkat kehebatan Tiger Muthuvel Pandian dalam pertempuran menentang dunia jenayah.
Ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 15 Oktober lalu, filem arahan Nelson Dilipkumar itu menyambung kejayaan Jailer (2023) yang mencetuskan fenomena tersendiri, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting buat Rajinikanth menerusi filem ke-172 lakonannya.
Diedarkan secara rasmi oleh Malik Streams Corporation Sdn Bhd, filem ini menggabungkan aksi berskala besar, komedi bersahaja dan kejutan menerusi kemunculan watak tertentu, selain diperkuatkan dengan muzik latar bertenaga ciptaan komposer popular, Anirudh Ravichander.

Kekuatan utama Jailer 2 terletak pada keupayaan Nelson memahami formula yang menjadi kegemaran peminat Rajinikanth, khususnya kemunculan penuh gaya, dialog bersahaja tetapi berbisa serta babak ketika watak utamanya memperdaya dan menewaskan musuh.
Kisahnya menyusul beberapa bulan selepas kejadian dalam filem pertama apabila Muthuvel Pandian, bekas pegawai penjara yang digeruni, cuba memulakan kehidupan baharu bersama keluarga di negeri lain.
Bagaimanapun, kehidupan yang kelihatan tenang itu tidak bertahan lama apabila dia kembali terheret ke dalam dunia jenayah berbahaya, sekali gus memaksanya berdepan masa silam demi melindungi keluarga yang masih dibayangi kehilangan anak lelakinya, seorang pegawai polis.
Bahagian awal filem memberi ruang kepada interaksi Muthuvel dengan Moorthi, samseng tempatan lakonan Namo Narayana, ketika watak utama itu bekerja sebagai pemandunya.
Elemen komedi yang turut digerakkan Yogi Babu menerusi watak Vimal menjadi antara tarikan dalam bahagian ini, sebelum jalan cerita berkembang kepada kegiatan penyeludupan artifak purba dan konflik yang semakin meruncing.
Babak di gudang menjadi antara detik yang menyerlahkan kehebatan Rajinikanth sebagai bintang utama, dengan aksi dan gaya ikoniknya mengundang keterujaan penonton.
Memasuki separuh kedua, konflik bertukar lebih serius menerusi kemunculan keluarga penjenayah Kalpak yang dibarisi SJ Suryah, Vidya Balan dan Mithun Chakraborty.
Pertembungan antara Muthuvel dengan kumpulan antagonis itu meningkatkan taruhan cerita, sekali gus membuka ruang kepada aksi lebih besar dan kemungkinan kesinambungan francais berkenaan.
Vidya Balan turut mencuri perhatian menerusi watak Kantha yang memiliki karisma, keyakinan dan sisi mengancam tersendiri.
Keupayaannya mengimbangi kehadiran Rajinikanth menjadikan pertembungan kedua-dua watak antara elemen menarik, meskipun dinamik mereka tidak sepenuhnya mencapai impak ikonik seperti perseteruan Rajinikanth dengan Ramya Krishnan dalam Padayappa (1999).
Dari sudut teknikal, muzik latar Anirudh menjadi antara nadi yang menghidupkan filem ini. Skor bertenaga itu memperhebatkan kemunculan Rajinikanth, selain memberikan impak tambahan kepada babak aksi dan adegan yang dibina untuk mencetuskan sorakan penonton.
Secara keseluruhan, Jailer 2 ialah sekuel yang menghiburkan tetapi sarat dengan pengisian sehingga ketelitian jalan cerita sedikit terjejas. Rajinikanth masih memiliki daya tarikan luar biasa, manakala muzik Anirudh dan beberapa persembahan pelakon pembantu berjaya mengekalkan tenaga filem ini.
Bagi pengalaman lebih imersif, filem ini turut ditayangkan dalam format IMAX, 4DX dan Dolby Atmos di pawagam terpilih.
