Terror Riser: Dari Tribute Terrorizer Ke Senjata Baharu Death/Grindcore
Bermula dengan sesi jamming santai, berdepan pelbagai cabaran formasi dan komitmen hidup, Terror Riser kini bangkit sebagai antara nama baharu yang membawa semangat grindcore lama ke generasi baharu.
Dalam dunia muzik ekstrem, bukan semua band lahir daripada perancangan rapi atau strategi besar. Ada yang tercipta secara spontan, dipacu oleh minat yang sama, semangat persahabatan dan kecintaan terhadap muzik yang tidak pernah padam.
Begitulah kisah di sebalik penubuhan Terror Riser, sebuah projek grindcore yang mula digerakkan sekitar tahun 2025 oleh beberapa pemuzik yang berkongsi obsesi terhadap muzik ekstrem, khususnya pengaruh kuat daripada legenda grindcore dunia, Terrorizer.
Segalanya bermula apabila pengasas band tersebut menghubungi Naji, bekas anggota Kasrakass yang ketika itu aktif bersama Untrue, untuk mengadakan sesi jamming di studio.
Apa yang pada awalnya sekadar pertemuan biasa akhirnya membuka ruang kepada idea yang telah lama terpendam.
“Memang dah lama teringin nak main grindcore semula. Cuma sebelum ini tak jumpa orang yang betul-betul sekepala. Bila jumpa Naji, terus rasa ada chemistry sebab dia pun datang daripada latar belakang muzik yang sama,” ujar Dark D sewaktu ditemui di Melaka.
Pada peringkat awal, mereka hanya memainkan lagu-lagu Terrorizer sebagai penghormatan kepada band yang banyak mempengaruhi perjalanan muzik mereka. Namun selepas beberapa sesi jamming, timbul persoalan yang akhirnya menjadi titik perubahan kepada projek tersebut.

“Takkan nak main lagu cover sampai bila-bila. Kalau dah serasi, kenapa tak buat lagu sendiri?” Daripada situlah Terror Riser mula mengambil bentuk sebagai sebuah band yang sebenar.
Bagi melengkapkan formasi, mereka mula mencari vokalis yang mampu membawa karakter nuansa grindcore yang diinginkan. Pilihan akhirnya jatuh kepada seorang kenalan lama yang pernah aktif bersama band deathcore ‘The Forest Whisper My Name’ sekitar 2007 dan 2008 sebelum berehat panjang daripada dunia muzik.
Melalui jaringan rakan-rakan dalam komuniti grindcore tempatan, vokalis tersebut berjaya dihubungi dan tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menyertai projek berkenaan.
Nama Terror Riser sendiri mempunyai hubungan rapat dengan akar penubuhan band tersebut.
Ketika proses mencari identiti, anggota band sepakat untuk mengekalkan semangat dan pengaruh Terrorizer yang menjadi titik pertemuan mereka sejak awal.
“Memang asalnya kami jamming lagu Terrorizer. Jadi bila fikir pasal nama, kami ubah sedikit supaya ada identiti sendiri. Terror dijadikan satu elemen utama dan kami pecahkan menjadi dua perkataan. Dari situ lahirlah nama Terror Riser.”
Walaupun diinspirasikan oleh Terrorizer, Terror Riser tidak mahu sekadar menjadi bayangan kepada idola mereka. Sebaliknya, mereka mahu meneruskan semangat yang sama menerusi karya-karya sendiri yang sarat dengan kritikan sosial, isu kemanusiaan serta mesej anti-perang yang menjadi tunjang utama lirik mereka.
Semangat yang membara ketika itu menyaksikan perjalanan Terror Riser bergerak cukup pantas. Tidak lama selepas membuat penampilan sulung dalam sebuah gig bawah tanah pada tahun yang sama, mereka terus memasuki studio untuk merakam material pertama.
Apa yang lebih mengejutkan, keseluruhan lapan buah lagu berjaya dirakamkan hanya dalam masa sehari.
“Kami memang bergerak laju. Lepas gig pertama terus masuk studio. Dalam satu hari siap rakam lapan lagu.”
Rakaman tersebut pada asalnya dirancang untuk diterbitkan sebagai sebuah EP sulung yang bakal memperkenalkan Terror Riser kepada komuniti metal dan grindcore tempatan. Malah dari segi penulisan lirik dan konsep, hampir keseluruhan material telah siap sepenuhnya.
Namun seperti kebanyakan band bawah tanah lain, semangat sahaja tidak cukup untuk menjamin kelancaran perjalanan sesebuah kumpulan. Tidak lama selepas rakaman selesai, beberapa halangan mula muncul.
Naji yang ketika itu bertugas dalam sektor kesihatan terpaksa berdepan perubahan jadual kerja apabila dipindahkan ke bahagian yang memerlukan komitmen lebih besar dan tugasan sepanjang masa.


Dalam masa yang sama, vokalis mereka turut berdepan komitmen peribadi yang menyukarkan proses latihan dan aktiviti band. Keadaan itu menyebabkan pergerakan Terror Riser menjadi perlahan walaupun semua lagu telah siap dirakam.
Akhirnya, Naji mengambil keputusan untuk berehat daripada aktiviti band bagi memberi tumpuan kepada kerjaya serta tanggungjawab peribadinya.
“Kami tidak pernah anggap dia keluar daripada band. Kami cuma beri ruang untuk dia selesaikan urusan yang lebih penting dahulu.”jelasnya.
Ketika Terror Riser berada dalam fasa yang tidak menentu, peluang hadir secara tidak dirancang melalui seorang lagi pemuzik yang dikenali sebagai Ali dari komuniti metal Seremban. Memperkenalkan seorang drummer ‘Aiman’, Ketika hadir jamming di Adam Music Studio. Aiman dari band Deadly Epidemic yang berasal dari sarawak.
Pertemuan yang bermula melalui sesi jamming akhirnya membuka lembaran baharu buat Terror Riser apabila Aiman menunjukkan keserasian yang cepat dengan hala tuju muzik yang dibawa.
Kehadiran darah baharu itu memberi nafas segar kepada projek yang hampir tergendala dan membolehkan Terror Riser meneruskan misi mereka.

Kini, selepas melalui pelbagai cabaran, pertukaran formasi dan penangguhan yang tidak dijangka, Terror Riser berdiri sebagai manifestasi semangat grindcore yang lahir daripada persahabatan, kecintaan terhadap muzik ekstrem dan keinginan untuk terus menyuarakan isu kemanusiaan melalui dentuman muzik yang keras, pantas dan tanpa kompromi.
