June 13, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Surat Terbuka Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) Kepada Ahli Parlimen Malaysia

Spread the love

Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) menggesa penggubal undang-undang Malaysia untuk menegakkan dan memperkukuh undang-undang Hak Cipta Malaysia bagi memastikan pembangunan pelbagai model Kecerdasan Buatan (AI) tidak mengeksploitasi muzik berhak cipta dan karya kreatif lain tanpa persetujuan pemegang hak cipta yang berkenaan. Memandangkan teknologi AI terus berkembang pesat, pemain industri muzik Malaysia percaya perlindungan undang- undang yang lebih kukuh diperlukan untuk melindungi penulis lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit rakaman audio/video dan pemegang hak cipta.

Dalam usaha bersepadu untuk melindungi industri muzik, MMRA telah menghantar surat bersama kepada Perdana Menteri, Menteri Digital, Menteri Komunikasi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup, Pengawal Hak Cipta (Ketua Pengarah MyIPO) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Kecerdasan Buatan Negara (NAIO). Surat tersebut secara rasmi menggariskan kebimbangan mendesak MMRA mengenai trajektori semasa tadbir urus AI dan keperluan perlindungan undang- undang yang kuat untuk karya muzik dan rakaman bunyi.

AI merupakan fenomena yang memberi kesan besar kepada manusia di seluruh dunia dengan potensi untuk meningkatkan daya usaha manusia, namun penggunaannya yang semakin meluas di dalam pelbagai sektor industri membawa cabaran tersendiri. MMRA semakin bimbang dengan penyalahgunaan pembangun AI kandungan berhak cipta, khususnya penggunaan muzik berhak cipta serta harta intelek yang lain tanpa kebenaran pemilik hak cipta dalam latihan model AI berkenaan.

Perikatan ini mengalu-alukan pembahasan di parlimen baru-baru ini tentang isu muzik janaan-AI sebagai satu langkah penting ke hadapan. Kami menyokong hasrat penggubal perundangan untuk menangani isu ini dan menawarkan kepakaran kami untuk memberi input khusus industri muzik kepada ahli Parlimen dan Kerajaan Malaysia.

Pendirian Kami mengenai Tadbir Urus dan Pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM)

MMRA membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang akan membenarkan pembangun AI melombong karya berhak cipta tanpa kebenaran atau pampasan kepada pencipta. Ini termasuk cadangan untuk pengecualian Perlombongan Teks dan Data (TDM) dalam Akta Hak Cipta 1987 atau mana-mana perundangan yang berkaitan.

Persetujuan Pemegang Hak adalah Terpenting

MMRA menegaskan bahawa persetujuan jelas pemegang hak adalah penting dan mesti menjadi asas bagi sebarang penggunaan kandungan berhak cipta oleh pembangun AI. Kami berpendapat bahawa tiada bahan berhak cipta yang boleh digunakan untuk melatih atau membangunkan sistem AI tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pencipta dan pemilik hak cipta.

Rangka Kerja Bersama: Skop dan Prinsip Teras

Ahli MMRA telah mewujudkan rangka kerja bersama berdasarkan prinsip asas bahawa hak cipta berasal daripada pengalaman, titik peluh dan kemahiran manusia, bukan daripada kod yang dijana mesinOleh itu, sebarang kandungan yang dihasilkan semata-mata oleh AI tidak seharusnya mendapat manfaat daripada perlindungan undang-undang hak cipta yang diberikan kepada pencipta manusia.

MMRA komited untuk memastikan hak pencipta ditegakkan dalam era AI dan berharap dapat bekerjasama dengan pembuat dasar untuk mewujudkan rangka kerja perundangan yang kuat yang melindungi industri kreatif Malaysia.

Ketelusan dan Akauntabiliti dalam Pembangunan AI

Selain mendapat kebenaran pemegang hak cipta, MMRA menyeru ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh dalam data pembangunan AI. Pembangun AI harus diwajibkan untuk menyimpan rekod lengkap bahan berhak cipta yang digunakan dalam set data latihan, membolehkan pemegang hak mengesahkan penggunaan dan menguatkuasakan hak mereka.

Pelabelan Wajib Kandungan AI

Bagi melindungi pengguna dan integriti ekosistem industri kreatif negara, MMRA menyokong pelabelan mandatori kandungan yang dihasilkan oleh AI. Orang ramai berhak untuk mengetahui sama ada muzik atau kandungan yang mereka gunakan adalah hasil seni manusia atau kod yang dihasilkan oleh mesin. Piawaian penanda air (watermarking) dan pelabelan yang jelas adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan antara karya buatan manusia dan yang dihasilkan oleh mesin serta untuk mengurangkan peningkatan ‘deepfake’ dan kandungan yang dihasilkan oleh AI yang tidak dibenarkan.

MMRA menegaskan bahawa tanpa perlindungan yang sewajarnya, sistem AI mungkin menggunakan lagu, suara artis, persembahan dan karya kreatif lain untuk menghasilkan kandungan yang bersaing tanpa pengetahuan, persetujuan atau pampasan yang adil kepada para pencipta. Ini bukan sahaja mengancam mata pencarian pencipta tetapi juga berisiko mengurangkan nilai seni manusia yang tulen dalam ekosistem industri kreatif negara.

Melindungi Salah Satu Tonggak Pertumbuhan Ekonomi Negara

Industri kreatif negara menjadi antara tonggak pertumbuhan ekonomi negara dan secara konsisten memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pewujudan pekerjaan dan sumbangan hasil cukai. Berdasarkan kajian impak ekonomi oleh firma perunding ternama, Price Waterhouse Coopers, yang ditugaskan oleh RIM untuk tempoh 2016 – 2020, output ekonomi tahunan yang dijana oleh industri muzik berjumlah RM19.4 bilion, menyokong 111,129 pekerjaan dan menyumbang RM531 juta cukai kepada kerajaan.

Bagi mengekalkan pencapaian ini, industri muzik menekankan bahawa perlindungan harta intelek bukan lagi sekadar keperluan undang-undang, tetapi satu kewajipan ekonomi. Memastikan rangka kerja hak cipta yang ketat adalah penting untuk menjamin sumbangan kewangan sektor ini terus berkembang maju tanpa halangan oleh ancaman cetak rompak digital dan eksploitasi kandungan berhak cipta tanpa kebenaran.

Dengan melindungi hak pencipta, Malaysia menjamin aliran pendapatan yang penting untuk memupuk ekonomi kreatif yang berdaya tahan dan mampu bersaing di pentas dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page