Ernie Zakri Pilih Bangkit, Bukan Membalas Luka

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka.” Begitu prinsip yang cuba diterjemahkan Ernie Zakri menerusi karya terbaharunya, Sejambak Bunga, yang membuka satu lagi babak dalam perjalanan seni penyanyi berkenaan.
Dilancarkan di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 pada 8 Ogos lalu di Esplanade, KLCC Park, Sejambak Bunga bukan sekadar sebuah karya baharu, sebaliknya menjadi cerminan sisi Ernie yang lebih reflektif, matang dan tenang dalam melihat perjalanan hidup.
Lagu itu dipersembahkan buat pertama kali ketika pertunjukan fesyen Lerai oleh pereka fesyen Zaimi Zulkafli, sekali gus mempertemukan dua medium berbeza yang berkongsi bahasa sama iaitu emosi.
Bagi Ernie, pemilihan pentas tersebut cukup bertepatan dengan mesej yang mahu disampaikan menerusi Sejambak Bunga.
“Apabila saya memahami konsep Lerai yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui Sejambak Bunga.
“Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya.
Menurut Ernie, Sejambak Bunga berkisar mengenai kebangkitan dan bagaimana setiap pengalaman yang dilalui seseorang akhirnya membentuk siapa dirinya hari ini.
“Sejambak Bunga bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.
“Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” katanya.
Dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, Sejambak Bunga menjadi karya pertama Ernie hasil sentuhan kedua-dua pencipta lagu berkenaan.
Lebih menarik, mesej utama lagu itu bukan mengenai membalas segala kepahitan yang pernah dilalui, sebaliknya kekuatan untuk kekal memilih kebaikan.

“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” katanya.
Penghayatan itu juga dilihat dekat dengan fasa kehidupan Ernie ketika ini yang melalui pelbagai peranan sebagai wanita, isteri, ibu dan anak seni.
Perubahan yang dilalui, katanya, menjadi sebahagian daripada proses mengenali diri selain membentuk kematangan dalam pendekatan terhadap muzik.
Bagaimanapun, Ernie tidak mahu Sejambak Bunga hanya dilihat sebagai kisah peribadinya. Sebaliknya, dia mahu pendengar memberi tafsiran sendiri berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.

“Saya mahu orang mendengar Sejambak Bunga dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju.
“Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.
Dari sudut visual pula, mawar putih dipilih sebagai simbol utama Sejambak Bunga, membawa makna ketenangan, harapan dan permulaan baharu.
Bagi Ernie, mawar putih turut menggambarkan ruang untuk seseorang berkembang tanpa perlu memadam segala pengalaman yang pernah berlaku.
“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang. Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini,” katanya.
Menerusi Sejambak Bunga, Ernie bukan sekadar memperkenalkan karya baharu, malah membuka ruang untuk khalayak melihat dirinya daripada sisi yang lebih dekat dengan perjalanan hidupnya hari ini.
Lebih daripada sebuah lagu, Sejambak Bunga menjadi peringatan bahawa ada masanya kemenangan terbesar dalam hidup bukan ketika kita membalas apa yang pernah menyakiti, tetapi ketika kita memilih untuk bangkit, terus melangkah dan kekal menjadi manusia yang baik.
Sejambak Bunga kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.
