August 11, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Tiket Jason Mraz Laris, Empat Kategori Baharu Ditambah

Spread the love

Sambutan peminat terhadap Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur terus menunjukkan perkembangan positif apabila jualan tiket konsert penyanyi dan penulis lagu terkenal Amerika Syarikat itu mendapat sambutan menggalakkan.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, penganjur Zues Event menambah empat kategori tiket baharu, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada peminat untuk menyaksikan persembahan Jason Mraz secara langsung.

Konsert berkenaan bakal berlangsung pada Sabtu, 31 Oktober 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sekali gus menjadi kemunculan semula Jason Mraz di Malaysia selepas tujuh tahun.

Dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan oleh Zues Event, konsert itu dijangka menjadi antara acara muzik yang dinantikan peminat tempatan, apatah lagi Jason Mraz mempunyai rangkaian lagu popular yang terus dekat di hati peminat sejak beberapa dekad lalu.

Antara lagu yang sinonim dengan penyanyi kelahiran Virginia itu termasuk I’m Yours, I Won’t Give Up, Lucky yang menampilkan Colbie Caillat dan Have It All.

Penambahan kategori baharu menyaksikan peminat kini mempunyai lebih banyak pilihan tempat duduk mengikut kesesuaian dan bajet masing-masing.

Kategori tiket yang ditawarkan ialah Jazzy (RM688), Acoustic (RM588), Soulful (RM488), Originals (RM388), Nostalgic (RM288), Mellow (RM498), Rhythm (RM428), Alive (RM358), Zenith (RM258) dan Signature (RM158) yang menawarkan pandangan terhad.

Empat kategori baharu iaitu Mellow, Rhythm, Alive dan Zenith akan mula dijual pada Rabu, 12 Ogos, jam 12 tengah hari.

Semua harga tiket tidak termasuk yuran pemprosesan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Jason Mraz yang juga pemenang Anugerah Grammy dikenali menerusi persembahan yang sarat dengan tenaga positif selain keupayaannya menghubungkan muzik, mesej kehidupan dan interaksi bersama penonton.

Lebih istimewa, konsert kali ini turut menjanjikan pengalaman visual menerusi pertunjukan dron dan percikan bunga api, selain peluang untuk peminat menyanyi bersama lagu-lagu ikonik penyanyi berkenaan.

Peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan kemunculan semula Jason Mraz di Malaysia boleh mendapatkan tiket menerusi etix.my, MAISEAT dan Trip.com.

Sebarang maklumat dan perkembangan terkini mengenai konsert boleh diikuti menerusi akaun rasmi Zues Event di Facebook dan Instagram.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page