August 11, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

10 Tahun Terurai Dalam ‘Lerai’, Zaimi Zulkafli Buka Bab Baharu Di KLFW

Spread the love

Sedekad perjalanan bersama Kuala Lumpur Fashion Week diterjemahkan menerusi koleksi yang sarat makna, pengalaman dan evolusi seorang pereka fesyen

SEPULUH tahun perjalanan dalam dunia fesyen bukan sekadar angka buat Zaimi Zulkafli.  Ia adalah himpunan pengalaman, cabaran, perubahan dan pencarian identiti yang akhirnya diterjemahkan menerusi koleksi terbaharunya, Lerai, sempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.

Dipentaskan di Esplanade, KLCC Park pada 8 Ogos lalu, Lerai menjadi lebih daripada sekadar pertunjukan fesyen apabila Zaimi memilih untuk meleraikan semula perjalanan sedekadnya bersama KLFW sebelum membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.

Setiap helaian seakan membawa cerita tersendiri iaitu tentang apa yang pernah dilalui, apa yang dipelajari dan bagaimana pengalaman itu membentuk Zaimi sebagai seorang pereka yang semakin matang.

Lerai hadir dengan pendekatan moden, kemas dan elegan, sekali gus memperlihatkan evolusi gaya serta bahasa rekaannya selepas 10 tahun menghiasi pentas KLFW.

Pemilihan nama Lerai juga cukup simbolik.  Sesuatu yang tersusun dileraikan untuk dilihat satu persatu sebelum disusun kembali dalam bentuk yang baharu.  Begitulah juga perjalanan Zaimi.

Sepanjang sedekad bersama KLFW, pelbagai fasa sudah ditempuh dan setiap satunya meninggalkan kesan dalam pembentukan identiti kreatifnya.

Justeru, koleksi ini seolah-olah menjadi ruang untuk Zaimi berhenti seketika, menoleh ke belakang dan menghayati perjalanan yang sudah dilalui sebelum melangkah lebih jauh.

Namun, Lerai tidak hadir dengan semangat nostalgia semata-mata.  Sebaliknya, ia membawa gambaran seorang pereka yang bersedia untuk berubah dan berkembang.  Di sebalik rekaan yang dipersembahkan, terselit mesej bahawa pengalaman lalu tidak semestinya perlu dilupakan.

Ada yang perlu diterima, ada yang perlu dilepaskan dan ada yang perlu dibawa sebagai bekalan untuk perjalanan seterusnya.

Pertunjukan Lerai turut menjadi lebih istimewa apabila penyanyi Ernie Zakri tampil mempersembahkan single terbaharunya, Sejambak Bunga, buat kali pertama di pentas berkenaan.

Kehadiran Ernie memberikan dimensi berbeza kepada pertunjukan apabila muzik dan fesyen bertemu dalam satu persembahan yang sarat emosi.

Lebih menarik, tema yang dibawa menerusi Sejambak Bunga turut mempunyai kaitan dengan semangat Lerai iaitu mengenai perjalanan hidup, pengalaman dan keberanian seseorang untuk terus melangkah.

Ernie sebelum ini menjelaskan bahawa pemilihan pentas Lerai mempunyai makna tersendiri kerana muzik dan fesyen, walaupun menggunakan medium berbeza, mampu menyampaikan cerita dan emosi kepada khalayak.

Persembahan Sejambak Bunga itu sekali gus menjadi pelengkap kepada naratif yang cuba dibina Zaimi menerusi koleksi berkenaan.

Jika Zaimi bercerita melalui siluet, fabrik dan gerakan busana, Ernie pula menyampaikannya melalui melodi dan vokal.   Dua dunia seni yang berbeza akhirnya bertemu pada satu titik dimana perjalanan manusia dan proses menjadi versi diri yang lebih baik.

Selepas 10 tahun, Zaimi tidak memilih untuk menutup satu bab dalam kerjayanya.  Sebaliknya, Lerai menjadi simbol kepada pembukaan bab baharu.

Sedekad yang lalu mungkin sudah terurai di pentas KLFW, tetapi segala pengalaman itu menjadi asas untuk Zaimi bergerak ke hadapan dengan perspektif yang lebih matang. Lerai juga membuktikan bahawa fesyen bukan hanya mengenai apa yang dipakai atau bagaimana seseorang kelihatan.

Ia boleh menjadi medium untuk bercerita, ia boleh menyimpan kenangan dan Ia boleh menjadi cerminan perjalanan hidup.  Dan dalam kes Zaimi, ia menjadi bahasa untuk menceritakan 10 tahun yang penuh warna bersama KLFW.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page