The Rayhan Tangguh Oktober, Demi Persembahan Terbaik

Konsert Syukur 26 Dianjak Ke 31 Oktober, Mahu Pastikan Kemunculan Semula Lebih Mantap Dan Tidak Dibuat Tergesa-Gesa
Hampir dua dekad tidak muncul dengan konsert berskala besar, kumpulan The Rayhan enggan mengambil mudah kemunculan semula mereka apabila memilih untuk menangguhkan Konsert The Rayhan Syukur 26 dari 15 Ogos kepada 31 Oktober 2026.
Konsert yang bakal berlangsung di MegaStar Arena, Kuala Lumpur itu dianjakkan bagi memberi lebih banyak masa kepada anggota kumpulan, barisan pemuzik dan seluruh produksi melakukan persiapan, sekali gus memastikan penampilan mereka nanti benar-benar berbaloi dengan penantian peminat.
Penganjur Bintang Batu Event, Magnificent G Ventures dan Million Delight Sdn Bhd turut mengesahkan harga tiket kekal seperti yang ditawarkan sebelum ini.
Menurut wakil Bintang Batu Event, Ikhram Zainuddin atau Atom, keputusan menukar tarikh bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk jadual padat anggota kumpulan serta keperluan menyelaraskan latihan bersama barisan pemuzik.
Katanya, pihak penganjur mahu mengelakkan kemunculan semula The Rayhan dilakukan dalam keadaan serba kekurangan selepas kumpulan itu begitu lama tidak mengadakan persembahan berskala besar.

“Kami tidak mahu The Rayhan kembali ke pentas besar secara tergesa-gesa. Selepas hampir 20 tahun, sudah tentu peminat mengharapkan sesuatu yang istimewa.
“Jadi, kami mahu pastikan latihan, susunan muzik dan keseluruhan persembahan benar-benar berada pada tahap terbaik.
“Lebih menarik, hampir 90 peratus pemuzik yang terbabit adalah mereka yang pernah mengiringi persembahan Raihan sebelum ini. Justeru, kami perlukan masa untuk menyelaraskan semula latihan dan susunan persembahan,” katanya.
Atom berkata, tarikh asal konsert pada 15 Ogos juga bertembung dengan penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40) di Unifi Arena, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, pihak penganjur turut menerima permintaan daripada peminat supaya tarikh konsert dianjakkan berikutan pertindihan dengan beberapa acara lain sepanjang Ogos.
Bagi vokalis utama The Rayhan, Nazrey Johani, penangguhan itu disambut baik kerana memberikan ruang lebih luas untuk mereka mempersiapkan diri.
Nazrey mengakui tempoh hampir 20 tahun tanpa konsert besar menyebabkan mereka memerlukan masa secukupnya untuk mendapatkan kembali keserasian di pentas.

“Hampir 20 tahun kami tidak mengadakan konsert besar, jadi tempoh latihan yang lebih panjang memang diperlukan. Jadual Ogos juga agak padat dan sebelum ini masa untuk bertemu penyusun muzik serta merancang persembahan agak suntuk.
“Dengan tarikh baharu ini, kami lebih selesa untuk membuat persediaan dan memastikan apa yang dipersembahkan nanti benar-benar dapat memuaskan hati peminat,” katanya.
Selain Nazrey, The Rayhan turut dianggotai Amran Ibrahim dan Afad Ahmad, yang pernah bersama kumpulan legenda nasyid, Raihan.

Tidak sekadar mengharapkan nostalgia, The Rayhan Syukur 26 turut menjanjikan gabungan nama popular apabila menampilkan Noki dan MK K-Clique, selain penyanyi terkenal Indonesia, Opick, sebagai penyanyi undangan.
Dengan perubahan tarikh berkenaan, peminat kini perlu menunggu sehingga 31 Oktober untuk menyaksikan The Rayhan kembali menggegar pentas MegaStar Arena.
Selepas penantian hampir 20 tahun, tempoh tambahan itu diharap menjadi ‘ramuan’ penting untuk The Rayhan tampil bukan sekadar mengimbau kenangan silam, tetapi membuktikan mereka masih mampu memberikan persembahan yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.
