September 29, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

10,000 Unit LION G1 Terjual, GGR Motor Pacu Lagi Pasaran EV

Spread the love

GGR Motor menyasarkan jualan antara 20,000 hingga 30,000 unit motosikal elektrik LION G1 selepas merekodkan lebih 10,000 unit terjual dalam tempoh sembilan bulan sejak model berkenaan diperkenalkan di pasaran.

Bukan sekadar mengejar angka jualan, pengeluar motosikal elektrik itu kini memperhebat langkah memperluaskan rangkaian pengedarnya di seluruh negara bagi memastikan pengguna lebih mudah mendapatkan akses kepada teknologi mobiliti elektrik.

Langkah berkenaan turut diperkukuh menerusi pembukaan GGR Motor X Ajak di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, Johor, yang menyaksikan kerjasama GGR bersama artis tempatan, Mohamad Hanaffi Razak atau Ajak Shiro, selaku Pengarah Cawangan.

Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, pencapaian melebihi 10,000 unit dalam tempoh sembilan bulan membuktikan penerimaan pengguna terhadap motosikal elektrik semakin berkembang.

“Dalam tempoh sembilan bulan, GGR berjaya menjual lebih 10,000 unit LION G1. Pencapaian ini mencerminkan penerimaan pengguna terhadap motosikal elektrik serta kepercayaan mereka terhadap produk yang kami tawarkan,” katanya.

Menurutnya, GGR kini mempunyai 19 pengedar di seluruh negara, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pengguna untuk melihat sendiri LION G1 selain mendapatkan penerangan berkaitan produk dan aksesori keluaran GGR Motor.

Tidak mahu momentum itu terhenti, GGR Motor turut menyasarkan pembukaan 50 cawangan baharu di seluruh negara sehingga hujung tahun ini, termasuk di kawasan yang masih belum mempunyai premis jualan motosikal elektrik.

“Kami mahu melihat lebih banyak cawangan dibuka, terutama di negeri yang masih belum mempunyai cawangan seperti Negeri Sembilan dan Sarawak.

“Pada tahun depan, kita menyasarkan antara 50 hingga 100 cawangan baharu termasuk pengedar baharu.

“Kita mahu melihat kawasan yang masih belum mempunyai kedai EV. Faktor selepas jualan sangat penting kerana kalau kita hanya menjual motosikal tanpa mengambil kira perkhidmatan selepas jualan, pasaran EV selepas itu boleh merudum,” katanya.

Muhammad Musaddiq berkata, peluasan rangkaian itu bukan sekadar soal menambah jumlah kedai, sebaliknya memastikan pengguna mempunyai lokasi yang mudah dikunjungi untuk mendapatkan khidmat selepas jualan dan maklumat berkaitan motosikal elektrik.

Dalam masa sama, GGR Motor turut menggunakan pendekatan kerjasama bersama selebriti tempatan bagi mendekatkan jenama berkenaan dengan masyarakat.

Selain GGR Motor X Ajak, syarikat itu turut menjalin kerjasama menerusi GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil.

“Kerjasama bersama artis tempatan membuka ruang untuk kami memperkenalkan jenama GGR kepada khalayak lebih luas.

“Bagi kami, penglibatan rakan kerjasama tempatan membantu menyampaikan maklumat mengenai motosikal elektrik dengan pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.

Muhammad Musaddiq turut menyifatkan motosikal elektrik bukan sekadar kenderaan, sebaliknya sebahagian daripada gaya hidup baharu khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, GGR Motor selepas ini turut mengintai lokasi seperti Shah Alam, Selangor dan Langkawi yang dilihat mempunyai potensi pasaran, terutama kawasan tumpuan pelancongan.

“EV tidak memerlukan bahan bakar, selain kos penyelenggaraannya lebih menjimatkan, manakala harganya juga berpatutan dan mampu milik,” katanya.

Sementara itu, Ajak berkata, penglibatannya sebagai Pengarah Cawangan GGR Motor X Ajak memberi peluang kepadanya untuk memperkenalkan mobiliti elektrik dengan lebih dekat kepada masyarakat Johor.

Katanya, pembukaan bilik pameran itu diharap menjadi lokasi rujukan masyarakat setempat yang mahu mendapatkan maklumat mengenai motosikal elektrik, khususnya LION G1.

“Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperkenalkan LION G1 dengan lebih dekat kepada orang ramai, khususnya penduduk Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya.

“Kami mahu orang ramai selesa datang ke bilik pameran, melihat sendiri motosikal dan bertanya mengenai ciri serta penggunaannya.  Apabila mendapat penerangan yang jelas, mereka boleh menilai kesesuaiannya dengan rutin harian,” katanya.

Ajak turut mengalu-alukan kehadiran komuniti EV Johor ke GGR Motor X Ajak bagi melihat sendiri produk yang ditawarkan.

“Harapan saya, cawangan ini dapat membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan menjadi antara lokasi rujukan masyarakat setempat untuk mengenali motosikal elektrik GGR,” katanya.

Bagi LION G1, model berkenaan dilengkapi motor hab berkuasa 3,000 watt, tork 140Nm, bateri 72V 32Ah dan mampu mencapai kelajuan maksimum 70 kilometer sejam.

LION G1 ditawarkan pada harga atas jalan RM4,454 bagi Semenanjung Malaysia, manakala harga bagi Sabah dan Sarawak ialah RM5,954, termasuk cukai jalan dan insurans.

Pelancaran GGR Motor X Ajak yang berlangsung di No. 21, Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, turut diserikan dengan lawatan ke bilik pameran, sidang media, jamuan makan tengah hari, persembahan dan sesi ramah mesra bersama komuniti EV Johor.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah menerusi pembelian baju eksklusif GGR MOTOR X AJAK dan sweatshirt, dengan sebuah motosikal LION G1 ditawarkan sebagai hadiah utama.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page