Spideraya: Bisa 30 Tahun Masih Menusuk

Bukan sekadar ulang tahun, Spider suluh semula tiga dekad perjalanan dengan 30 lagu, kenangan Tony dan Napie serta seruan kemanusiaan buat anak Andy Flop Poppy
Foto Kredit: B7 Resources
Kalau usia 30 tahun sepatutnya membuatkan bisa semakin tawar, Spider membuktikan hukum itu tidak terpakai buat mereka. Sebaliknya, selepas tiga dekad mengharungi pasang surut industri muzik, kumpulan itu muncul di IDEALIVE Arena, Petaling Jaya, 26 September lalu dengan sengatan yang masih terasa.
Bukan sengatan yang datang daripada gimik, bukan juga kerana pentas sarat teknologi tetapi Spider menyengat dengan perkara paling mereka faham iaitu melodi dan lagu. Dan malam itu, 30 lagu menjadi peluru yang ditembak tepat ke jantung nostalgia ribuan peminat.
Sebaik Ayat Penyengat membuka tirai, IDEALIVE Arena seolah-olah bertukar menjadi mesin masa. Penonton bukan sekadar berada di sebuah konsert tetapi mereka seperti dibawa menyelak kembali album kehidupan masing-masing.

Teliga Ke Tulang, Kacap Terlabik, Cinta Dewa Dewi, Phobia, Tapi Bagaimana dan Kita Satu menyusul, lalu membuktikan Spider tidak datang untuk bermain selamat. Mereka datang untuk menggali kembali segala yang pernah menjadikan nama Spider besar.
Spideraya dibahagikan kepada tiga segmen dengan 30 lagu sebelum ditutup menerusi encore Relaku Pujuk.
Segmen pertama menghidangkan Hidupku, Kerongsang dan Ngam Ho, sebelum rentak diteruskan menerusi PermataKu Suria, Buat Sang Puteri, Mungkinkah Terjadi, Tony Gila Lover, Salut, Rasakan Resapkan, Laukku Cukup Masin, Anti Graviti, Mabuk dan Katalis.
Kemudian datang pula Ajaib, Mama, Dahku Faham, Nazraku, Kekal, Jangan Kau Berputus Asa, Kasih Latifah, Aladin, Mentera Semerah Padi dan Kau Saja. Sebagai penutup, Spider kembali untuk Relaku Pujuk.

Namun, jangan lihat senarai itu sekadar sebagai setlist kerana ia sebenarnya peta perjalanan Spider. Setiap lagu seperti mempunyai alamatnya sendiri dalam memori peminat kerana ada lagu yang membawa mereka kembali ke zaman muda. Ada yang mengingatkan kepada cinta pertama dan ada yang mengembalikan wajah kawan lama.
Mungkin ada yang membuatkan seseorang terdiam seketika kerana teringat insan yang sudah tiada. Sebab itu apabila lagu-lagu berkenaan berkumandang, penonton tidak perlu diajar apa yang perlu dilakukan.

Di tengah gegaran gitar dan pukulan dram, satu perkara lain turut menyerlah iaitu Tam, vokalis itu kelihatan semakin matang sebagai penghibur pentas. Tam kini tidak lagi terlalu berhati-hati dan juga tidak terlalu kaku. Malah, ada ketika Tam kelihatan cukup bersahaja bergurau dan berbual dengan penonton.
Perubahan itu penting kerana Tam sebelum ini pernah berkongsi mengenai usahanya memperbaiki komunikasi di pentas, termasuk menerima nasihat Datuk M. Nasir supaya lebih banyak menyanyi jika kurang yakin untuk bercakap.
Spideraya juga membuktikan bahawa perjalanan mereka selepas kembali aktif bukan sekadar menjual nostalgia. Mereka sudah melalui Spider Keluar Sarang di Zepp Kuala Lumpur pada 2024 dengan kira-kira 2,400 peminat sebelum Spider Unplugged di Mega Star Arena pada 2025 pula menghimpunkan lebih 4,000 penonton. Maka Spideraya bukan titik mula, ia adalah kesinambungan. Cuma kali ini mereka membawa satu angka yang cukup berat untuk dipikul.
Tiga dekad bukan sekadar tiga angka kerana ia adalah zaman kaset, CD, Radio, Televisyen, Internet, Media sosial dan hari ini, penstriman. Industri berubah berkali-kali, tetapi lagu Spider masih mempunyai tempat dalam telinga pendengar.

Itulah barangkali bentuk paling nyata sebuah legasi. Ada yang pergi, tetapi tidak pernah hilang namun di sebalik pesta, Spideraya menyimpan sisi yang jauh lebih berat.
Tony Iskandar dan Napie, dua nama yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan Spider sebelum akhirnya meninggalkan dunia. Tony meninggal dunia pada 2021 dan Napie pula pada 2024. Dua kehilangan itu tidak mungkin dilupakan begitu sahaja. Kerana dalam sebuah kumpulan muzik, anggota bukan sekadar nama dalam kredit album.
Maka apabila Spider mengangkat kembali kenangan terhadap kedua-duanya, ia bukan sekadar tribute malah ia seperti Spider membuka pintu sebuah bilik lama yang masih menyimpan gema suara sahabat. Tidak perlu terlalu banyak kata kerana kenangan itu sendiri sudah cukup bising.

Spideraya pada asalnya dirancang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil. Namun, kira-kira dua minggu sebelum acara, penganjur B7 Resources Sdn Bhd mengumumkan pertukaran venue ke IDEALIVE Arena susulan keadaan jerebu, pencemaran udara dan cuaca tidak menentu.
Tarikh serta waktu persembahan dikekalkan dan tiket sedia ada kekal sah. Menariknya, apa yang pada awalnya kelihatan seperti perubahan besar akhirnya memberikan satu pengalaman yang berbeza.
IDEALIVE Arena menjadikan jarak antara Spider dan penonton terasa lebih dekat, lebih rapat, lebih panas dan lebih peribadi. Jeritan penonton terasa seperti datang terus dari dada. Bunyi gitar pula seolah-olah tidak sempat kehilangan tenaga sebelum sampai ke telinga dan di situlah Spideraya menemukan kekuatannya.
Tidak sekadar menghibur, Spideraya datang satu momen yang mengubah warna malam itu. Tam menggunakan pentas Spideraya untuk menyeru peminat membantu Inaz, anak kepada Andy daripada kumpulan Flop Poppy, yang berdepan masalah scoliosis serius.

Tiba-tiba, pentas yang selama ini menjadi tempat meraikan muzik bertukar menjadi ruang kemanusiaan. Usaha membantu Inaz sebelum ini turut mendapat sokongan komuniti muzik tempatan menerusi Indie Vibes @ Panggung Anniversari pada 5 September lalu yang mengadakan jualan amal dan kutipan sumbangan bagi membantu keperluan rawatannya.
Dalam sebuah industri yang kadangkala terlalu sibuk mengejar lampu, glamor dan angka, momen seperti itu mengingatkan bahawa di belakang setiap nama artis ada manusia.

Hampir tiga jam Spider berada di atas pentas, namun yang menarik, mereka tidak kelihatan seperti kumpulan yang sedang cuba mengejar masa yang sudah berlalu. Sebaliknya, mereka seperti sudah berdamai dengannya. Mereka tidak cuba menjadi Spider 1990-an.
Tidak cuba menipu usia dan tidak cuba menghapuskan kehilangan. Mereka membawa semuanya bersama. Tam dengan kematangannya., Aie dengan pukulan dramnya, Iss dengan denyut besnya dan Pown dengan gitar yang menjadi nadi.
Spideraya akhirnya bukan sekadar sambutan ulang tahun ke-30, ia menjadi perayaan tentang persahabatan, kehilangan, muzik, peminat dan nilai kemanusiaan.

Daripada pentas yang asalnya dirancang di stadium terbuka, Spider akhirnya menemukan rumahnya di ruang tertutup IDEALIVE Arena dan mungkin dalam keadaan begitu ia lebih sesuai. Kerana malam itu Spider tidak perlu ruang sebesar stadium untuk membuktikan mereka masih punya tempat.
Cukup sebuah pentas, empat sahabat, deretan lagu yang tidak pernah mati dan ribuan peminat yang masih setia. Tiga dekad berlalu, tetapi Spider masih belum selesai bercerita.
