August 20, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Temasya Aneka Suntik Nadi Baharu Shah Alam

Spread the love

Bukan sekadar tempat singgah, Aneka Walk mahu jadi destinasi yang sentiasa bernyawa

Teks:  Adam Kulim

Bayangkan sebuah laluan pejalan kaki yang tidak pernah sunyi manakala pagi dihiasi aroma makanan, petang dipenuhi keluarga dan anak muda, manakala malam pula diserikan muzik, persembahan seni serta pelbagai acara yang menghidupkan suasana.

Itulah gambaran yang mahu diwujudkan menerusi Temasya Aneka, sebuah rangkaian acara yang bakal mengubah wajah Aneka Walk, Shah Alam Sentral (SA Sentral), menjadi destinasi baharu untuk masyarakat menikmati hiburan, makanan, budaya, seni dan aktiviti komuniti.

Bermula 4 September hingga penghujung tahun ini, sebanyak 18 acara dengan tema serta sasaran pengunjung berbeza bakal mengisi ruang berkenaan, sekali gus menawarkan sesuatu untuk hampir setiap lapisan masyarakat.

Daripada keluarga, golongan muda, peminat muzik, pencinta makanan, penggemar budaya hinggalah usahawan tempatan, semuanya bakal mempunyai sebab untuk datang dan kembali semula ke Aneka Walk.

Lebih daripada sekadar menganjurkan acara, Temasya Aneka membawa visi lebih besar untuk menjadikan kawasan itu sebagai destinasi berteraskan acara yang mampu menghidupkan kembali denyut nadi Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas berkata, pembangunan kawasan berkenaan bukan hanya memberi tumpuan kepada hiburan, sebaliknya turut membuka ruang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan.

“Supaya orang kita dapat berniaga, bukan saja dapat kerja di sini, tetapi membuat perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pratonton Temasya Aneka, di sini, baru-baru ini.

Menurut Mahmud, pendekatan pembangunan yang dibawa turut mengambil kira keperluan keluarga dan komuniti, selain mengetengahkan unsur budaya, kreativiti dan gaya hidup.

Justeru, Temasya Aneka dilihat bukan sekadar sebuah festival yang hadir untuk beberapa hari, sebaliknya satu usaha mengisi ruang Aneka Walk dengan aktiviti yang berterusan sehingga penghujung tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim berkata, nama Temasya Aneka dipilih bersesuaian dengan konsep yang mahu mengetengahkan kepelbagaian acara dan pengalaman kepada pengunjung.

Katanya, KRU Entertainment merangka program yang bukan sahaja menyasarkan pengunjung tempatan, malah pelancong antarabangsa.

“Sesuai dengan nama destinasi ini, kami telah merangka beraneka acara untuk menarik pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa, sekali gus menghidupkan suasana di bandar raya Shah Alam. Ada acara untuk keluarga, anak muda, peminat makanan serta pencinta seni, muzik dan budaya,” katanya.

Menurut Norman, setiap acara mempunyai identiti tersendiri dan dirangka berdasarkan kelompok pengunjung yang berbeza. Pendekatan itu penting bagi memastikan Aneka Walk tidak dilihat sebagai lokasi yang hanya meriah apabila berlangsung sesuatu acara besar, sebaliknya sentiasa mempunyai pengisian yang mampu menarik orang ramai.

Antara acara yang bakal mewarnai Temasya Aneka ialah AnekaRasa Warisan, Taj Mahal, Rockustik, Freestyle, Sentral Jazz, Hallyu Jamm, Super Universe, Hingga Ke Jannah dan Aneka Mega Sale.

Kesemua program itu membawa pendekatan berbeza, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai pengalaman dalam satu lokasi.

Namun, antara pengisian yang dijangka menjadi perhatian ialah Kayangan, yang menampilkan persembahan sulung Hikayat Nusantara.  Ia bukan sekadar persembahan pentas biasa kerana konsep berkenaan menggabungkan budaya dan gastronomi dalam satu pengalaman.

Hikayat Nusantara dikelolakan cef selebriti, Prof Datuk Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam, yang membawa pengunjung menelusuri sejarah serta budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, muzik, tarian, visual dan hidangan tradisional Melayu.

Bermula 4 September, persembahan berkenaan akan berlangsung tiga kali seminggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Pendekatan berkenaan memberi peluang kepada pengunjung bukan sekadar menonton persembahan, tetapi turut merasai pengalaman budaya melalui makanan dan penceritaan.

Dalam era apabila hiburan semakin berkembang dalam bentuk pengalaman, konsep sebegitu dilihat mampu memberikan kelainan kepada pengunjung yang mencari sesuatu lebih daripada sekadar persembahan pentas.

Bayangkan menikmati hidangan tradisional sambil kisah Nusantara dipersembahkan melalui muzik, tarian dan visual pasti ianya seolah-olah membawa penonton masuk ke dalam sebuah perjalanan masa.

Bagi Norman, perkara paling penting adalah memastikan Aneka Walk mempunyai kehidupan tersendiri dan tidak hanya bergantung kepada satu atau dua acara.  Justeru, KRU Entertainment mengambil pendekatan terbuka dan kolaboratif dalam mengisi kalendar acara di kawasan itu.

“Ada acara yang diterbitkan sendiri KRU, ada yang dibangunkan bersama rakan penganjur acara lain dan ruang turut disewakan kepada penganjur luar untuk membawa idea mereka sendiri. Matlamatnya satu, iaitu memastikan Aneka Walk sentiasa hidup, relevan dan mempunyai sesuatu yang baharu untuk dinikmati,” katanya.

Pendekatan itu juga membuka ruang kepada lebih banyak idea kreatif untuk dibawa masuk ke Shah Alam.  Ia secara tidak langsung boleh mewujudkan ekosistem yang menghubungkan penganjur acara, penggiat seni, peniaga makanan, usahawan kecil, pemuzik dan komuniti setempat.

Di sebalik kemeriahan acara, satu lagi perkara menarik mengenai Aneka Walk ialah peluang perniagaan yang disediakan.  Sebanyak 150 lot niaga disediakan untuk usahawan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, fesyen, kraf, seni dan muzik.

Dengan kehadiran pengunjung yang dijangka meningkat menerusi pelbagai acara, ruang berkenaan secara tidak langsung memberi peluang kepada peniaga untuk memperkenalkan produk dan jenama mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Bagi usahawan kecil, kehadiran acara secara konsisten juga boleh menjadi platform untuk membina pelanggan, memperkenalkan produk baharu serta mengembangkan perniagaan. Ia selari dengan hasrat PKNS supaya pembangunan Aneka Walk bukan hanya menyediakan ruang pekerjaan, tetapi membuka peluang kepada masyarakat untuk berniaga dan menjana pendapatan.

Tidak mahu pengunjung sekadar datang untuk acara dan terus pulang, KRU Entertainment turut merancang membuka sebuah kafe di Aneka Walk.

Menurut Norman, kafe berkenaan akan menawarkan pelbagai pilihan makanan termasuk hidangan Barat.  Kehadiran kafe itu dijangka melengkapkan pengalaman pengunjung yang mahu menjadikan Aneka Walk sebagai lokasi bersantai, bertemu rakan atau meluangkan masa bersama keluarga.

Jika dirancang dengan baik, gabungan ruang makan, perniagaan dan acara boleh mewujudkan suasana yang lebih dinamik terutama pada hujung minggu.

Aneka Walk merupakan sebahagian daripada pembangunan SA Sentral menerusi pelaburan PKNS bagi menghidupkan semula laluan pejalan kaki yang menghubungkan Kompleks PKNS dengan SACC Mall.

Mempunyai keluasan kira-kira 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter, Aneka Walk mampu menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.  Skala berkenaan memberikan ruang yang cukup untuk pelbagai aktiviti berlangsung, daripada persembahan muzik dan kebudayaan hinggalah festival makanan serta program keluarga.

Apa yang menarik, konsep ini turut mencerminkan perubahan cara masyarakat menikmati hiburan hari ini. Pengunjung tidak lagi semata-mata mencari lokasi untuk menonton persembahan, sebaliknya mahukan pengalaman lengkap dimana boleh makan, membeli-belah, bergambar, menikmati muzik, membawa anak-anak dan pada masa sama meneroka sesuatu yang baharu.

Selama ini, Shah Alam mungkin lebih sinonim dengan pusat pentadbiran, institusi pendidikan, kawasan perumahan dan ruang komersial.

Namun, menerusi Temasya Aneka, bandar raya itu mahu memperlihatkan sisi berbeza sebagai lokasi yang mempunyai denyut budaya, hiburan dan gaya hidup tersendiri.

Kehadiran program yang berlangsung secara berkala juga berpotensi menjadikan Shah Alam sebagai pilihan kepada mereka yang mahu mencari aktiviti hujung minggu tanpa perlu sentiasa menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page