Lovebites Makin ‘Panas’, Tiket Konsert Sulung Di Malaysia Cecah 60 Peratus

Demam peminat muzik metal terhadap kumpulan popular Jepun, Lovebites semakin memuncak apabila jualan tiket konsert sulung mereka di Malaysia kini mencecah 60 peratus, menjelang persembahan di Zepp Kuala Lumpur, 4 Oktober depan.
Menerusi Lovebites: Outstanding Tour Live Kuala Lumpur, kumpulan berkenaan bakal membuat penampilan pertama di Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah Outstanding Tour – SEA 2026.
Penganjur, Rockstage Entertainment, berkata perkembangan jualan tiket itu membuktikan sambutan menggalakkan peminat tempatan terhadap kumpulan yang sinonim dengan persembahan metal berintensiti tinggi berkenaan.
“Konsert ini cukup istimewa kerana ia menandakan penampilan pertama Lovebites di Malaysia.
“Ditubuhkan pada 2016, kumpulan itu dianggotai Asami (vokal), Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bass) serta Haruna (dram).
“Mereka mencipta identiti tersendiri menerusi gabungan heavy metal, power metal dan speed metal yang diperkukuhkan dengan melodi dramatik serta permainan instrumental berintensiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut penganjur, baki tiket yang semakin terhad turut mendorong peminat mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kecewa sekiranya persembahan berkenaan habis dijual.
Lebih menarik, tahun ini menyaksikan Lovebites terus mengukuhkan kedudukan mereka di pentas antarabangsa menerusi siri persembahan di beberapa negara termasuk penampilan di Nippon Budokan, Jepun.
Selepas mengembara menjayakan persembahan di Eropah, United Kingdom dan Jepun, kumpulan itu kini mengalihkan perhatian ke Asia Tenggara menerusi Outstanding Tour – SEA 2026.
Jelajah berkenaan dijadual membuka tirai di Singapura pada 2 Oktober, diikuti Thailand pada 3 Oktober sebelum Kuala Lumpur menjadi destinasi seterusnya pada 4 Oktober.
Kehadiran Lovebites ke Malaysia dijangka menjadi antara acara yang dinanti-nantikan peminat metal tempatan, apatah lagi ia memberi peluang menyaksikan sendiri aksi lima wanita yang dikenali dengan permainan muzik pantas, agresif dan penuh tenaga.

Bagi peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada sejarah penampilan pertama Lovebites di Malaysia, tiket Lovebites: Outstanding Tour Live Kuala Lumpur boleh didapati menerusi laman sesawang MyTicketEmpire.
Dengan jualan sudah mencapai 60 peratus, peluang untuk menyaksikan aksi metal Jepun itu di Zepp KL kini semakin mengecil.
