“Jangan Kejar Glamor, Kenali Dulu Hak Sendiri” – Fahmi Fadzil

BINTANG SUARA MELILEA 2026 bukan sekadar memburu juara, sebaliknya mahu lahirkan bakat yang tahu hak, disiplin dan selok-belok industri sebelum mengejar populariti
Kredit Foto: Maestro Ridwan
Jangan terlalu ghairah mengejar glamor hingga terlupa perkara paling asas dalam membina kerjaya sebagai penyanyi iaitu memahami hak sendiri.
Itu pesanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, kepada bakat baharu yang mahu menjadikan bidang muzik sebagai kerjaya, terutama sebelum menandatangani sebarang kontrak dengan syarikat rakaman atau label.
Menurutnya, memiliki suara merdu dan bakat besar bukan tiket automatik untuk seseorang berjaya atau mampu bertahan lama dalam industri muzik.
Sebaliknya, bakat baharu perlu dilengkapi pengetahuan mengenai aspek perundangan supaya mereka memahami hak masing-masing dan tidak berdepan masalah pada masa depan.

“Yang paling penting sebenarnya adalah celik perundangan. Sebelum tandatangan dengan mana-mana label, yang paling penting sebenarnya adalah untuk tahu hak kita sebagai seorang penyanyi.
“Ini asasnya, dengan pengalaman yang ada boleh dididik supaya mereka tahu apa hak mereka dan tidak menjadi masalah di kemudian hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian BINTANG SUARA MELILEA 2026 di The Horizon Bangsar South, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu.
Fahmi berkata, pembangunan bakat muzik tidak seharusnya hanya berkisar kepada usaha mencari penyanyi baharu, sebaliknya elemen pendidikan dan pendedahan industri perlu diberikan supaya mereka lebih bersedia menghadapi cabaran sebenar.
Pesanan itu cukup relevan dalam landskap muzik hari ini yang semakin terbuka dengan kehadiran platform digital dan media sosial. Dalam dunia yang memungkinkan seseorang menjadi popular hanya menerusi satu video tular, bakat mungkin boleh membawa seseorang ke pentas.
Namun untuk kekal di pentas, mereka memerlukan lebih daripada sekadar suara. Mereka perlu tahu mengurus kerjaya, memahami disiplin profesional, menjaga imej, mengenali selok-belok industri dan paling penting, mengetahui hak yang dimiliki sebagai penggiat seni.
Berteraskan tagline ‘IMPIAN ANDA, SUARA ANDA, MASA DEPAN ANDA’, BINTANG SUARA MELILEA 2026 tampil dengan misi lebih besar daripada sekadar mencari pemenang pertandingan.
Program berkenaan mahu mencungkil bakat, membina keyakinan dan memberi pendedahan kepada generasi muda yang mahu menguji kemampuan dalam dunia muzik dan hiburan.
Dalam industri yang sentiasa dipenuhi wajah baharu, bukan semua bakat mempunyai laluan mudah untuk mendapatkan perhatian.
Ada yang mempunyai suara hebat tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula. Ada yang berbakat tetapi kurang keyakinan, manakala tidak kurang juga yang mempunyai impian besar tetapi tidak pernah diberikan peluang untuk berdiri di hadapan khalayak.
Justeru, BINTANG SUARA MELILEA 2026 cuba membuka ruang itu. Lebih penting, program ini mahu peserta memahami bahawa perjalanan menjadi penyanyi tidak bermula selepas seseorang memenangi pertandingan. Ia bermula apabila seseorang berani mengakui mempunyai impian dan sanggup bekerja keras untuk merealisasikannya.
Program itu turut mendapat kerjasama Neo Gendang Studio yang diterajui Edrie Hashim, komposer, pengarah muzik dan gitaris kumpulan Wings.
Pengalaman Edrie dalam industri muzik menjadi nilai tambah kepada usaha membentuk peserta supaya bukan sekadar mempunyai suara, tetapi memahami tanggungjawab sebagai seorang penghibur.

“Bakat memang penting, tetapi bakat sahaja tidak cukup untuk bertahan dalam industri. Penyanyi perlu ada disiplin, kesediaan untuk belajar dan tahu bagaimana hendak membawa diri apabila berada dalam lingkungan profesional,” katanya.
“Saya harap peserta tidak melihat ini sekadar pertandingan untuk menang. Mereka perlu gunakan setiap peluang untuk belajar, menerima teguran dan mengenali kekuatan serta kelemahan diri. Dari situ barulah bakat itu boleh berkembang,”, ujarnya
Sementara itu, pengalaman 45 tahun Ong Peng Chu dalam industri muzik dan pengurusan artis turut menjadi antara kekuatan program menerusi kolaborasi bersama SWYM Entertainment Group.
Beliau pernah terbabit membantu nama seperti Shila Amzah dan Jeryl Lee Pei Ling mengembangkan kerjaya serta mendapatkan pendedahan di pasaran hiburan China. Bagi Ong, pertandingan nyanyian tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan siapa menang atau kalah.

“Saya tidak mahu peserta datang dengan fikiran bahawa matlamat mereka hanya untuk memenangi pertandingan. Menang memang bagus, tetapi pengalaman, pendedahan dan ilmu yang mereka dapat sepanjang proses ini lebih penting untuk perjalanan mereka selepas pertandingan,” katanya.
Menurutnya, seseorang bakat baharu perlu berani menonjolkan diri kerana peluang dalam industri kadangkala datang tanpa diduga.
“Kita tidak tahu siapa yang akan melihat persembahan mereka atau peluang apa yang akan datang selepas ini. Sebab itu mereka perlu berani, bersedia menerima teguran dan menunjukkan kesungguhan,” katanya.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof Dr Alan Wong pula melihat program berkenaan sebagai satu bentuk pelaburan terhadap masa depan generasi muda.
BINTANG SUARA MELILEA 2026 dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MELILEA, selari dengan falsafah ‘Transforming Lives’.

“Kami percaya setiap individu mempunyai potensi, tetapi tidak semua orang mendapat peluang untuk menunjukkan potensi itu. Sebab itu kita mahu menyediakan ruang supaya mereka berani tampil, mengenali kemampuan diri dan membina keyakinan,” katanya.
Menurutnya, muzik bukan sekadar hiburan, malah boleh menjadi medium untuk membentuk keyakinan, kreativiti, disiplin, jati diri dan keberanian.
“Apabila kita membantu seseorang membina keyakinan, kita bukan hanya membantu mereka dalam muzik. Kita membantu mereka melihat masa depan dengan lebih yakin. Itulah semangat ‘Transforming Lives’ yang mahu kami bawa,” katanya.
Menariknya, kejayaan BINTANG SUARA MELILEA 2026 tidak seharusnya diukur berdasarkan siapa yang berdiri di tempat pertama. Bagi bakat baharu, peluang berada di atas pentas, berhadapan juri, menerima kritikan profesional dan belajar mengawal keyakinan diri juga mempunyai nilai tersendiri.
Mungkin ada peserta yang tidak membawa pulang trofi, Namun mereka mungkin pulang dengan sesuatu yang lebih berharga iaitu keyakinan untuk mencuba lagi.
Tidak mustahil ada yang menemui potensi diri yang selama ini tidak pernah disedari atau bertemu individu industri yang akhirnya menjadi pembuka jalan kepada kerjaya mereka. Kerana dalam industri hiburan, kadangkala seseorang hanya memerlukan satu peluang untuk mengubah keseluruhan perjalanan hidup.
Peserta turut berpeluang merebut hadiah wang tunai dan produk kesihatan selain mendapat pendedahan kepada ruang serta pentas yang lebih luas. Namun, mungkin hadiah paling besar ialah pengalaman yang dibawa pulang selepas pertandingan berakhir.
