August 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

&TEAM ‘Sayang Korang’ Lima Kali, Luné Malaysia Mengamuk

Spread the love

Kredit Foto: iMe MY

Hampir tiga jam beraksi, empat kali encore dan lima kali mengulangi lagu Really Crazy begitulah ‘gila’nya sambutan peminat terhadap kumpulan lelaki Jepun-Korea, &TEAM, pada konsert sulung mereka di Malaysia.

Dianjurkan iMe MY, 2026 &TEAM CONCERT TOUR ‘BLAZE THE WAY’ IN KUALA LUMPUR yang berlangsung di Idea Live Arena, 19 Ogos lalu, menyaksikan venue berkenaan dibanjiri LUNÉ, nama rasmi kelab peminat kumpulan terbabit.

Lebih bermakna, persembahan itu menjadi penampilan pertama &TEAM di Malaysia selepas hampir empat tahun mencipta nama dalam industri muzik.

Sembilan anggota iaitu EJ, NICHOLAS, FUMA, K, YUMA, JO, HARUA, TAKI dan MAKI tampil penuh bergaya dalam persalinan kulit dengan sentuhan warna hijau sebagai identiti jelajah.

Sebaik sahaja muncul di pentas, mereka terus ‘meletup’ menerusi Back to Life, Lunatic dan War Cry, sekali gus membuatkan sorakan LUNÉ bergema di seluruh arena.

“Terima kasih kerana datang. Akhirnya kami sampai ke Malaysia untuk bertemu anda semua!” kata mereka.

Tidak cukup dengan persembahan bertenaga, &TEAM turut mencuri perhatian apabila menggunakan beberapa frasa Bahasa Melayu yang ternyata sudah dipelajari khusus untuk peminat tempatan.

Antaranya, “Rindu kami tak?”, “Saya sayang korang” dan “Mantap!” yang disambut sorakan luar biasa daripada LUNÉ.

Sepanjang persembahan, kemampuan vokal, koreografi dan keserasian sembilan anggota itu jelas terserlah menerusi lagu seperti Road Not Taken, Deer Hunter, Go In Blind dan Bewitched.

Suasana kemudian berubah lebih sentimental apabila mereka mempersembahkan rangkaian lagu bertemakan empat musim termasuk 五月雨 (Samidare), 十五夜 (Jyuugoya) dan 雪明かり (Yukiakari) sebelum kembali menghangatkan arena menerusi We On Fire.

Malah, anggota &TEAM beberapa kali memuji tenaga LUNÉ Malaysia yang dianggap luar biasa.

“You’re amazing! Your screams are so loud!” kata mereka sambil mengajak peminat menyanyi bersama menerusi Aoarashi.

Sorakan dan nyanyian beramai-ramai itu membuatkan anggota kumpulan terbabit teruja, malah mereka mengakui suara LUNÉ Malaysia kedengaran begitu kuat.

Kemuncak interaksi berlaku ketika encore apabila HARUA, FUMA dan TAKI mengajak peminat menyertai tarian spontan, sebelum keseronokan diteruskan dengan lagu Run Wild.

Namun, kejutan terbesar malam itu hadir menerusi tradisi jelajah mereka apabila perkataan tertentu dijadikan ‘kata kunci’ untuk memaksa mereka mengulangi lagu Really Crazy.

Untuk Kuala Lumpur, kata kunci yang dipilih ialah “Saya Sayang Korang”.

Akibatnya, &TEAM terpaksa menyanyikan Really Crazy sebanyak lima kali, sekali gus menjadikan frasa berkenaan seolah-olah pengakuan cinta istimewa buat LUNÉ Malaysia.

Dalam suasana penuh emosi, NICHOLAS turut mendedahkan mereka sebenarnya bimbang tiada peminat yang hadir ketika pertama kali merancang persembahan di Malaysia.

“Kami risau tiada siapa datang ke konsert ini, tetapi anda semua datang! Kami akan terus bekerja keras dan berharap dapat kembali ke Malaysia untuk bertemu LUNÉ lagi tidak lama lagi,” katanya.

Sorakan “Encore!” pula jelas membuktikan LUNÉ belum bersedia untuk berpisah dengan idola mereka.

Enggan membiarkan malam berakhir begitu sahaja, &TEAM kembali ke pentas menerusi empat pusingan encore, termasuk Aoarashi, Big Suki dan Drop Kick.

Dengan persembahan penuh tenaga, interaksi mesra dan ‘lautan’ suara peminat yang tidak berhenti menyokong, debut &TEAM di Malaysia bukan sekadar konsert sulung.

Sebaliknya, ia menjadi malam yang sarat dengan memori terutama ungkapan “Saya Sayang Korang” yang diulang berkali-kali, seolah-olah menjadi salam cinta &TEAM buat LUNÉ Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page