November 20, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

N.A.W PILIH RESET, BANGKIT DENGAN SEMANGAT BAHARU

Spread the love

Single terbaharu penyanyi hip-hop kelahiran Sabah itu berkisar perjalanan, cabaran dan transformasi dirinya dalam industri muzik

Perjalanan dalam industri muzik bukan sentiasa menjanjikan laluan mudah. Ada ketika seseorang anak seni perlu berhenti seketika, menilai perjalanan yang dilalui sebelum mengumpul kekuatan untuk bangkit dengan semangat baharu.

Itulah mesej yang cuba disampaikan penyanyi hip-hop kelahiran Sabah, N.A.W atau nama sebenarnya Nur Ahmad Wastie menerusi single terbaharu berjudul RESET yang diedarkan Luncai Emas Sdn Bhd.

Bukan sekadar karya untuk mengisi pasaran muzik, RESET lahir daripada pengalaman peribadi N.A.W yang mengangkat dinamika perjalanan seninya, termasuk pelbagai cabaran, liku-liku dan proses transformasi diri sepanjang bergiat dalam muzik.

Menurut N.A.W, lagu berkenaan ditulis berdasarkan pengalaman sendiri yang mengajarnya bahawa ada masanya seseorang perlu mengambil ruang untuk bermuhasabah sebelum meneruskan perjalanan dengan perspektif serta tenaga baharu.

“Lagu RESET ditulis berdasarkan perjalanan saya dalam bidang muzik yang penuh dengan liku-liku, cabaran dan pelbagai ujian.

“Dalam perjalanan ini, saya percaya ada masanya kita perlu berhenti seketika, menilai semula apa yang telah dilalui dan melakukan reset untuk kembali dengan semangat yang baharu,” katanya.

Minat N.A.W terhadap muzik hip-hop pula bermula menerusi pengaruh rakan dan keluarga yang turut aktif menulis lirik serta menghasilkan rentak muzik sendiri.

Berasal daripada persekitaran yang dekat dengan proses kreatif itu, beliau mula mendalami pembentukan muzik hip-hop sebelum membina identiti serta hala tuju muziknya sendiri.

Pemilihan Luncai Emas sebagai platform pelancaran RESET juga mempunyai kaitan dengan hubungan awalnya bersama Luca Sickta menerusi LS&BEAT LEGACY.

N.A.W berkata, perkenalan itu membuka ruang untuk beliau mengenali pihak Luncai Emas sekali gus mendorongnya memilih syarikat berkenaan bagi menerbitkan single terbaharu.

“Saya berharap kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang dan menjadi satu lagi langkah positif dalam perjalanan muzik saya,” katanya.

Untuk rekod, LS&BEAT LEGACY ialah syarikat milik Luca Sickta, komposer di bawah Luncai Emas. Hak cipta lagu RESET dimiliki LS&BEAT LEGACY dan ditadbir Luncai Emas Sdn Bhd.

Menerusi pelancaran itu, Luncai Emas turut memperluaskan penerokaan muziknya dengan mengetengahkan karya hip-hop yang menawarkan pendekatan serta warna berbeza.

Single RESET kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman muzik digital utama, manakala video liriknya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page