August 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Syafiq Pertaruh Emosi Dalam ‘Cerita Luka’

Spread the love

Kredit Foto:  Maestro Media

Karya ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh buka lembaran baharu buat Syafiq Farhain yang semakin berani keluar daripada bayang legasi Allahyarham Saleem demi membina identiti sendiri.

Membawa nama besar Allahyarham Saleem bukanlah satu beban yang mudah dipikul. Sejak melangkah ke dunia seni, Syafiq Farhain sentiasa dibandingkan dengan legenda itu kerana warna vokalnya yang seakan-akan sama. Namun selepas lebih sedekad mengukuhkan kedudukan dalam industri, penyanyi berusia 31 tahun itu kini semakin berani membina identiti sendiri, termasuk mempertaruhkan sisi emosinya menerusi single ke-12 berjudul Cerita Luka.

Diterbitkan di bawah label MVM Music Sdn. Bhd., lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu menjadi simbol fasa baharu perjalanan seni Syafiq yang sebelum ini lebih dikenali menerusi lagu-lagu balada berinspirasikan era 1990-an.

Lebih menarik, karya yang dimenangi pasangan komposer itu selepas kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-39 bukanlah lagu yang terus diterima Syafiq dengan penuh keyakinan. Sebaliknya, ia hadir bersama rasa gementar kerana sedar karya sentuhan Ikhwan menuntut penghayatan yang bukan sedikit.

Bagaimanapun, keberanian mempertaruhkan sisi emosinya menerusi lagu itu akhirnya membuka lembaran baharu apabila Cerita Luka dilancarkan secara rasmi pada sidang media di Hotel Tenera, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pemasaran MVM Music Sdn. Bhd., Ariel Pua.

Menurut Syafiq, daripada 10 lagu yang diperdengarkan kepadanya oleh beberapa komposer, Cerita Luka adalah karya yang paling dekat dengan jiwanya.

“Ketika pertama kali mendengar Cerita Luka, saya terus menyukainya. Lagu ini menawarkan kelainan menerusi sentuhan moden slow rock balada dan berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini.

“Daripada 10 lagu yang dipertimbangkan, lagu ini paling dekat dengan jiwa saya dan sesuai dijadikan karya untuk menandakan kemunculan semula selepas dua tahun,” katanya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran di Hotel Tenera Bangi pada 4 Ogos lalu.

Namun di sebalik keyakinan memilih lagu itu, Syafiq mengakui dia sebenarnya berasa takut untuk membawakannya.

“Lagu ini memang terus kena dengan hati saya. Cuma pada masa sama saya takut nak bawa sebab saya tahu lagu-lagu Ikhwan mempunyai jiwa yang besar. Saya risau kalau saya tak mampu sampaikan emosi yang dia mahukan.

“Masa rakam demo, berkali-kali saya tanya Ikhwan, ‘Wan, okey ke suara aku dengan lagu ini?’ Bukan sebab saya tak yakin, tetapi saya takut kerana ini sesuatu yang baharu buat saya sebagai penyanyi,” katanya.

Menurut Syafiq, keyakinan yang diberikan Ikhwan akhirnya membuatkan dia berani keluar daripada zon selesa.

“Ikhwan hanya cakap, ‘Kau tenang saja, kau nyanyi saja.’ Ayat itu cukup memberi semangat kepada saya untuk menyampaikan lagu ini dengan cara saya sendiri. Syukur akhirnya semuanya berjalan lancar dan hari ini lagu ini menjadi milik semua pendengar,” katanya.

Kerjasama pertama bersama Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh itu turut memberikan pengalaman baharu sepanjang proses rakaman.

“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh. Saya dapat merasakan perbezaan dalam cara mereka bekerja dan membimbing saya untuk mendapatkan penyampaian yang menepati emosi lagu.

“Saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima oleh peminat sedia ada, malah dapat memperkenalkan sisi baharu Syafiq Farhain kepada pendengar,” katanya.

Bagi Ikhwan pula, dia langsung tidak menyangka Cerita Luka menjadi pilihan Syafiq.  Katanya, sebagai pencipta lagu, dia lebih selesa memberikan kebebasan kepada penyanyi memilih karya yang benar-benar dekat dengan hati kerana percaya kejujuran itu akan diterjemahkan dalam setiap bait nyanyian.

“Saya memang tak sangka dia pilih lagu ini. Saya hanya beri beberapa demo dan biarkan dia tentukan sendiri. Bila artis sendiri memilih lagu yang dia suka, dia akan menyampaikan lagu itu dengan lebih ikhlas.

“Saya juga langsung tak risau tentang vokal Syafiq. Dia mempunyai julat vokal yang sangat baik. Dia mengingatkan saya kepada arwah ayahnya, Allahyarham Saleem, tetapi dengan tona yang lebih moden dan identiti tersendiri,” katanya.

Mengulas mengenai makna di sebalik Cerita Luka, Ikhwan berkata lagu itu mengangkat kisah seseorang yang terlalu mempercayai insan lain sehingga akhirnya dikhianati oleh individu yang paling rapat dengannya.

“Lagu ini berkisar mengenai orang yang sentiasa cuba menjadi baik. Ironinya, orang baik inilah yang selalunya paling mudah dikecewakan. Luka yang paling berat adalah apabila pengkhianatan datang daripada orang yang selama ini kita sangka baik.

“Itulah emosi yang saya cuba terjemahkan dalam lagu ini. Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman seperti ini,” katanya.

Wan Saleh dan Ikhwan turut mengakui mereka pada awalnya sedikit berdebar kerana ini merupakan kolaborasi pertama bersama Syafiq.

“Setiap penyanyi mempunyai gaya dan cara kerja yang berbeza. Namun, Syafiq seorang penyanyi yang mudah bekerjasama serta cepat memahami arahan.

“Proses rakaman berjalan dengan baik dan dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua jam sahaja. Kami berharap Cerita Luka dapat diterima ramai serta meninggalkan kesan kepada pendengar,” kata mereka.

Bagi Syafiq, Cerita Luka bukan sekadar sebuah lagu, sebaliknya permulaan kepada perancangan lebih besar dalam kerjaya seninya.  Selepas pelancaran single itu, naib juara Big Stage 2018 berkenaan merancang menghasilkan sebuah mini album selain mengadakan mini showcase menjelang penghujung tahun ini.

“Ini permulaan kepada perjalanan baharu saya. Jika semuanya berjalan lancar, saya mahu menghasilkan mini album dan mengadakan mini showcase pada penghujung tahun.

“Saya berharap peminat akan terus memberikan sokongan dan bersama-sama mengikuti perjalanan baharu ini,” katanya.

Cerita Luka mula berada di semua platform penstriman digital sejak 31 Julai lalu, manakala video muzik rasminya akan ditayangkan menerusi saluran YouTube MVM Music pada 5 Ogos ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page