August 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Subculture, Disagree, Massacre Conspiracy & The Alif Satukan Empat Generasi Indie

Spread the love

Dari Punk Rock, Alternative, Metalcore Hingga Britpop, Empat Nama Berbeza Era Bakal Menggegarkan Panggung Anniversari Dalam Konsert Percuma Anjuran DBKL.

Jarang sekali peminat muzik independen tempatan berpeluang menyaksikan empat generasi berkongsi satu pentas. Namun pada 8 Ogos ini, sejarah itu bakal tercipta apabila Subculture, Disagree, Massacre Conspiracy dan The Alif bergabung dalam siri keempat Indie Vibes @ Panggung Anniversari menerusi tema “Indie 4 Generasi”.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, penganjuran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS) itu menjadi simbol perjalanan panjang muzik independen Malaysia yang berkembang daripada budaya gig bawah tanah sehingga berjaya menembusi pentas antarabangsa dan era penstriman digital.

Setiap kumpulan yang dipilih membawa cerita serta legasi tersendiri dalam membentuk landskap muzik alternatif tanah air.

Subculture tampil mewakili generasi terawal punk rock Malaysia yang lahir daripada budaya gig sekitar era 1990-an. Kumpulan ini bukan sahaja antara perintis gerakan muzik independen tempatan, malah menjadi inspirasi kepada kemunculan ramai pemuzik alternatif selepas mereka.

Bagi peminat alternative rock pula, kemunculan Disagree pastinya menjadi detik yang dinanti-nantikan. Selepas berehat selama 14 tahun, kumpulan yang pernah menjadi antara nama paling berpengaruh dalam arena alternative rock berbahasa Inggeris Malaysia itu kembali aktif pada tahun ini menerusi single Let’s Do It All Again yang dilancarkan pada Mei lalu, sebelum disusuli lagu Home pada penghujung Julai sebagai sebahagian daripada album baharu mereka.

Massacre Conspiracy pula membawa wajah generasi moden muzik metalcore Malaysia. Reputasi mereka bukan sekadar dibina di dalam negara, malah diperkukuhkan menerusi pelbagai siri jelajah dan persembahan di Asia serta Eropah, menjadikan mereka antara nama tempatan yang berjaya mengangkat muzik berat Malaysia ke pentas antarabangsa.

Melengkapkan barisan ialah The Alif yang membawa suntikan segar menerusi gabungan Britpop dan alternative rock. Dengan pendekatan muzik yang lebih kontemporari, mereka mewakili generasi baharu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda.

Gabungan empat nama daripada empat era berbeza itu menjadikan Indie 4 Generasi sebagai sebuah persembahan yang merentas masa. Daripada era kaset demo yang dijual sendiri di gig kecil, kepada zaman CD indie, seterusnya platform penstriman digital yang membuka pasaran global, semuanya disatukan dalam satu pentas.

Ia sekali gus membuktikan muzik independen Malaysia terus berkembang tanpa mengira perubahan zaman, malah sentiasa melahirkan karya dan bakat yang relevan kepada setiap generasi.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, yang dilaksanakan secara bersiri sepanjang tahun bagi menghidupkan semula Panggung Anniversari sebagai ruang seni terbuka yang aktif, inklusif dan dekat dengan masyarakat.

Pada masa sama, ia turut menjadi antara pengisian utama Calendar of Events (COE) Panggung Anniversari 2026 yang menghimpunkan lebih 40 program seni dan budaya termasuk Jazz in the Park, Retro Night, Pocket Shows, Pop-up Performances, persembahan tradisi serta pelbagai aktiviti seni komuniti.

Usaha itu selari dengan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya yang progresif serta menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi penganjuran acara seni dan budaya bertaraf tinggi.

Indie Vibes @ Panggung Anniversari: Indie 4 Generasi akan berlangsung pada Sabtu, 8 Ogos 2026, bermula 3 petang hingga 7 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

Kemasukan adalah percuma, sekali gus memberi peluang kepada peminat muzik daripada pelbagai lapisan usia untuk menyaksikan sendiri pertemuan empat generasi yang membentuk sejarah, identiti dan masa depan muzik independen Malaysia dalam satu pentas.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page