August 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

DOLLA Cipta Gelombang Baharu Dengan “G.O.A.T” Bersama Ikon Rap Thailand, F.Hero

Spread the love

Selepas penantian selama lapan bulan, kumpulan wanita popular Malaysia, DOLLA, kembali dengan single terbaharu berjudul “G.O.A.T”, sebuah kolaborasi bertenaga bersama ikon rap Thailand, F.Hero. Lagu ini menandakan permulaan era baharu DOLLA yang paling berani setakat ini, sekali gus mencerminkan aspirasi mereka untuk terus mengembangkan pengaruh ke seluruh Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.

Diterbitkan oleh penulis lagu dan penerbit dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen, yang pernah menghasilkan lagu-lagu antarabangsa seperti “I AM” dan “Kitsch” nyanyian IVE, “G.O.A.T” menggabungkan produksi pop yang mantap dengan elemen rap yang penuh karakter. Lagu ini turut ditulis bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen dan F.Hero, dengan membawa mesej tentang keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri serta meraikan kekuatan untuk mengharungi cabaran tanpa membiarkan keraguan menguasai diri.

Kolaborasi bersama F.Hero turut menjadi satu langkah penting dalam usaha DOLLA mengembangkan sayap ke Thailand, antara pasaran muzik paling dinamik di Asia Tenggara. Sebagai salah seorang figura hip-hop paling berpengaruh di negara itu, F.Hero menyuntik karisma dan identiti tersendiri ke dalam lagu ini, sekali gus menghasilkan gabungan unik antara pop Malaysia dan hip-hop Thailand.

“Bekerjasama dengan F.Hero memang satu pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter, dan itu selari dengan arah baharu yang kami ingin tampilkan menerusi ‘G.O.A.T‘. Kami juga rasa F.Hero benar-benar membawa semangat lagu ini. Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala dia pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensi baharu,” kongsi DOLLA.

Lebih daripada sebuah kolaborasi rentas negara, “G.O.A.T” mencerminkan sinergi kreatif yang semakin berkembang antara Malaysia dan Thailand, di samping memperkenalkan DOLLA kepada khalayak baharu di seluruh rantau ini.

Dari segi visual, “G.O.A.T” menampilkan transformasi paling berani DOLLA setakat ini. Meninggalkan imej glamor yang sinonim dengan mereka sebelum ini, kumpulan tersebut tampil dengan konsep yang lebih edgy, penuh karakter dan berani, selari dengan semangat lagu yang mengangkat keyakinan untuk menjadi diri sendiri. Daripada penggayaan fesyen berimpak tinggi hinggalah kepada visual sinematik, setiap elemen kreatif dalam projek ini membawa satu mesej yang jelas, keyakinan bukan sesuatu yang perlu mendapat pengiktirafan daripada orang lain, tetapi sesuatu yang dimiliki oleh diri sendiri.

“‘G.O.A.T’ adalah tentang keyakinan yang diperoleh hasil daripada segala usaha dan cabaran yang telah dilalui. Ia bukan sekadar tentang menjadi yang terbaik, tetapi tentang menghargai perjalanan yang membentuk siapa diri kami hari ini. Era ini benar-benar mencerminkan siapa kami sekarang, bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai DOLLA. Kami ingin menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan lebih yakin dengan identiti sendiri. Kami mahu orang melihat bahawa kami tidak takut mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa bersedia untuk melangkah lebih jauh,” tambah mereka.

DOLLA terus membuktikan bahawa mereka bukan sekadar mengikut arus, malah berani mencipta haluan sendiri. Sebagai antara kumpulan wanita paling berpengaruh di Malaysia, “G.O.A.T” mencerminkan fasa baharu yang memperlihatkan eksplorasi muzik dan identiti yang lebih berani, sekali gus mengangkat perjalanan seni mereka ke tahap seterusnya.

Lebih daripada sekadar sebuah single, “G.O.A.T” menjadi lambang keberanian DOLLA untuk terus berkembang, bereksperimen dan terus memperluaskan horizon muzik mereka. Dengan sentuhan produksi bertaraf antarabangsa serta kolaborasi yang merentas sempadan, karya ini membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni mereka dan mengukuhkan pengaruh DOLLA di pentas serantau.

Melangkah ke hadapan, DOLLA menyifatkan “G.O.A.T” sebagai permulaan kepada satu era yang akan terus berkembang. “Ini memang era yang kami teruja untuk teruskan. Peminat boleh menjangkakan lebih banyak persembahan, konsep-konsep menarik dan tentunya lebih banyak muzik baharu daripada kami. Kami juga tidak sabar untuk menjayakan persembahan di Paris Oktober ini, yang merupakan satu pencapaian besar buat DOLLA. Konsep ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini, jadi peminat akan terus melihat sisi DOLLA yang lebih berani, lebih yakin dan lebih matang pada masa akan datang,” ujar mereka.

G.O.A.T” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page