SINGGAHSANA TRILOGY TOUR – Tiga Hari Sarat Cinta, Kasih & Muzik Intim

Kredit Foto: MegatzRevieW
Sebuah pengalaman muzik yang penuh kehangatan dan nilai kekeluargaan bakal menyinari awal Ogos ini menerusi “Singgahsana Trilogy Tour”, sebuah siri persembahan dan minum petang intim anjuran Suruhanjaya Senyum, cetusan idea Pot Amir, anggota kumpulan Innuendo dan Alkaline Radiostar.
Bakal berlangsung selama tiga hari berturut-turut bermula 1 hingga 3 Ogos 2025 di Liberal Latte, Kuala Lumpur, acara ini mengetengahkan tiga tema berbeza, namun berpaksikan mesej utama – cinta, kasih sayang dan kekeluargaan, disampaikan dalam suasana santai namun eksklusif dengan kapasiti terhad kepada hanya 90 tetamu bagi setiap malam.

Pada 1 Ogos, akan diadakan acara SEMOGA PC yang bertemakan kenduri doa selamat yang membawa konsep “majlis kasih dan kenduri bersama”. di mana para artis bergabung tenaga dalam acara amal untuk anak-anak yatim yang diraikan sebagai VVVIP. Konsep “makan dalam talam” memperkuat semangat kebersamaan, dengan setiap talam untuk lima orang ditawarkan pada harga RM250. Persembahan khas dan segmen kejutan turut dijangka menyerikan suasana. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi ruang untuk mencambah rasa syukur dan empati.
Penyertaan bagi SEMOGA PC (1 Ogos) boleh dibuat melalui tempahan talam dengan menghubungi En. Saiful di 018-668 5928.


Malam kedua pula dikhususkan buat pasangan suami isteri yang ingin meraikan cinta mereka. Dalam suasana romantik dan elegan, tetamu bakal disajikan dengan lagu-lagu cinta R&B dan hidangan makan malam istimewa, menjadikan malam tersebut sebagai satu malam janji temu penuh nostalgia dan harmoni. Tiket berharga RM143 termasuk makan malam.

Menutup trilogi penuh emosi ini adalah acara khas untuk kaum ibu dan wanita. “Ratu Hi-Tea” merupakan penghargaan buat para ibu, di mana ahli keluarga boleh membeli meja dan meraikan wanita terpenting dalam hidup mereka melalui persembahan lagu-lagu bertema keibuan dan kasih seorang wanita – semuanya disajikan dalam suasana elegan dan menyentuh hati. Tiket dijual pada harga RM111 termasuk hi-tea.

Setiap acara akan menyaksikan Pot Amir beraksi bersama rakan-rakan seni seperti Azan, Zain dan Sein dari kumpulan Ruffedge, serta Lah Ahmad, dengan Alkaline Radiostar sebagai pemuzik pengiring. Gabungan nama-nama ini dijangka menghadirkan persembahan berkualiti tinggi yang bukan sekadar menghiburkan tetapi turut menghidupkan nilai-nilai kekeluargaan dan kasih sayang.



Singgahsana Trilogy Tour turut mendapat sokongan padu daripada Dana Kandungan Kreatif, MyCreative Ventures di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, sebagai salah satu inisiatif memperkukuh sektor kreatif tempatan melalui projek-projek berimpak sosial dan budaya.
Tempahan tempat untuk setiap acara kini dibuka secara dalam talian di LiberalLatte.my. Tempat duduk sangat terhad hanya 90 orang setiap acara bagi mengekalkan suasana eksklusif dan selesa buat semua tetamu.

“Singgahsana Trilogy Tour bukan hanya tentang muzik, tetapi tentang menyemai nilai kasih sayang dan keindahan dalam perhubungan sesama manusia bermula dari anak-anak yatim, ke pasangan kekasih hingga ke ibu tercinta.” – Pot Amir