July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Shila Amzah Lancar Naskhah Peribadi Pernah Punya Aku, Cerminan 25 Tahun Perjalanan Seni

Spread the love

Selepas berehat panjang daripada dunia seni, penyanyi tersohor tanahair Shila Amzah kembali dengan penuh emosi menerusi single terbaharu berjudul Pernah Punya Aku. Lagu ini bukan sekadar pelancaran biasa – ia adalah naskhah peribadi, ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri, mencerminkan fasa kematangannya selepas 25 tahun mewarnai industri muzik.

Dihasilkan dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak, Pernah Punya Aku lahir daripada dorongan suaminya yang menyarankan agar Shila meluahkan perasaan melalui karya seni. Hasilnya, dalam masa hanya dua hari, lagu ini tercipta sebagai terapi penyembuhan emosi – dan sebagai suara kepada ribuan wanita lain yang pernah melalui kisah sama.

“Ketika itu, emosi saya sangat rapuh. Lagu ini bukan sahaja menjadi ruang luahan tetapi juga proses penyembuhan buat diri saya sendiri,” ujar Shila.

Diterbitkan oleh maestro muzik Genervie Kam, proses rakaman Pernah Punya Aku berlangsung dalam suasana positif dan hanya mengambil masa 40 minit untuk disiapkan – satu pencapaian yang membuktikan keserasian dua wanita seni ini. Shila turut menyatakan rasa syukurnya dapat bekerjasama dengan Genervie, yang memahami keperluan seorang wanita dan seniman dalam berkarya.

Walaupun lagu ini menyentuh tema kekecewaan dan pengkhianatan dalam hubungan, Shila menyuntik elemen kekuatan dan harapan.

“Di sebalik kesedihan, saya mahu pendengar menemui semangat baharu. Lagu ini bukan sekadar ratapan, ia adalah peringatan bahawa kita mampu bangkit dan teruskan hidup,” jelasnya lagi.

Menariknya, sebelum dilancarkan kepada umum, Shila memilih ibunya sebagai pendengar pertama lagu ini – atas dasar kekuatan dan pengalaman wanita yang pernah melalui luka yang sama.

“Saya tujukan lagu ini kepada wanita yang dicurangi dan ditinggalkan. Saya mahu ibu mendengarnya dahulu kerana dia lebih memahami maksud di sebalik liriknya,” katanya penuh jujur.

Pernah Punya Aku merupakan pembuka tirai kepada album penuh Shila yang dijangka menemui peminat pada penghujung tahun ini – satu lembaran baharu dalam hidupnya sebagai ibu, wanita dan seniman yang terus berdiri utuh di pentas muzik.

Selain kembali sebagai penyanyi dan komposer, kredibiliti Shila turut diperakui apabila dipilih menjadi salah seorang tenaga kreatif dalam program realiti nyanyian digital terbaharu Raise The Star Malaysia yang kini bersiaran di Astro Ria, bersama nama-nama besar seperti Ajai, Ikhwan Fatanna dan Audi Mok.

Single Pernah Punya Aku diterbitkan oleh Nova Music dan boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik mulai hari ini, 29 Jun 2025. Muzik video rasmi pula bakal ditayangkan secara perdana di saluran YouTube Nova Music Videos pada jam 3 petang melalui pautan berikut: https://youtu.be/AspTIpnf7A0


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page