July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Art Of Speed 2025 Kembali Dengan Edisi Terbesar Di Maeps Serdang, 26 & 27 Julai Ini

Spread the love

“Kustom Ada Gaya” jadi tema edisi ke-14 festival gaya hidup automotif paling berpengaruh di Malaysia

Festival gaya hidup automotif terbesar tanah air, Art of Speed Malaysia (AOS) 2025, bakal kembali untuk edisi ke-14 pada 26 dan 27 Julai ini di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) dengan skala acara yang lebih besar, lebih bergaya dan penuh dengan semangat “Kustom Ada Gaya”.

Menampilkan ruang pameran dalaman seluas 452,084 kaki persegi dan kawasan luar mencecah 320 ekar, AOS 2025 dijangka menarik puluhan ribu pengunjung tempatan dan antarabangsa menerusi pengisian acara yang merangkumi dunia kenderaan kustom, seni visual, muzik, serta budaya jalanan kontemporari.

Pengarah Festival AOS, Asep Ahmad Iskandar, berkata penganjuran tahun ini bukan sekadar menampilkan pameran automotif, sebaliknya merupakan sebuah platform menyeluruh yang menyatukan elemen gaya hidup dan komuniti dalam satu pengalaman yang berbeza.

“Art of Speed bukan hanya tentang jentera. Ia adalah sebuah persembahan penuh identiti, dengan gabungan pameran, aktiviti komuniti, muzik dan seni yang menjadikan AOS unik saban tahun,” katanya sewaktu sidang media yang telah di adakan di Bukit Kiara pada 3 Julai lalu.

Antara tetamu antarabangsa yang bakal hadir ialah Shige Suganuma dan Hiro “Wildman” Ishii dari MOONEYES Jepun, Brendon Vetuskey – pereka produk Hot Wheels dari Amerika Syarikat, serta beberapa nama besar lain dalam arena kustom global.

Tahun ini, AOS memperkenalkan segmen baharu World of Wheels (WOW) anjuran MotorTakaful.com, yang menampilkan pameran Show & Shine di Hall A untuk kenderaan bergaya, lengkap dengan studio fotografi profesional berkonsepkan sistem truss.

Perarakan kelab kereta turut dijadualkan berlangsung di boulevard utama MAEPS sepanjang dua hari acara.

Hall C pula akan menjadi tumpuan utama bagi edisi ketiga Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang merangkumi pameran, jual beli serta pertandingan Hot Wheels. Sorotan kali ini ialah pengenalan model kereta edisi konvensyen “kiri & kanan” yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Peminat Hot Wheels turut berpeluang bertemu sendiri dengan Brendon Vetuskey dan menyertai majlis makan malam rasmi HWCCM yang akan diadakan di BoraOmbak Marina, Putrajaya.

AOS 2025 juga menampilkan Project Car Invitational Showcase, hasil kurasi bersama NoEqual.co, yang mempamerkan pilihan kereta ubah suai dari genre tempatan, Jepun dan Eropah.

Lima kolaborasi eksklusif turut diumumkan iaitu AOS x Hot Wheels Collection, AOS x FK (Footwear), AOS x High Cultured, AOS x XOCKS dan AOS x MOONEYES – meraikan satu dekad kerjasama bersejarah.

Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) akan kembali buat kali ketiga di Dewan C, dengan pelancaran kereta edisi “kiri & kanan” pertama Asia Tenggara. Tetamu istimewa Brendon Vetuskey turut akan hadir serta majlis makan malam rasmi untuk vendor HWCCM yang bakal berlangsung di BoraOmbak Marina, Putrajaya.

Bagi peminat dan keluarga, AOS turut memperkenalkan ThunderCircus Brotherhood Rally – perhimpunan motosikal seluruh negara, Project Car Invitational Showcase – kerjasama NoEqual.co, Roda Rumble 2025 – festival luar dua roda, Kulture Kartel di Dewan D – streetwear, barangan vintaj dan pertandingan B-Boy Respect Culture SEA Qualifier, Perhimpunan Skuter & Kelab Kereta dan Flea Market Automotif, Moto4Sale, dan banyak lagi.

Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti interaktif “Pasport Pelawat”, di mana dengan melengkapkan tugasan mudah dan mengumpul 6 cop di booth jenama, mereka berpeluang memenangi hadiah utama seperti tiket ke Jepun, Indonesia dan Thailand melalui cabutan bertuah Wheel of Speed.

Muzik terus menjadi nadi AOS dengan SoundCircus Takeover 2025, menampilkan barisan artis seperti Noh Salleh & Restore Iboe, Romantic Echoes, Ruffedge, Luqman Podolski, Budak Nakal Hujung Simpang, Langkawi Dub Club SoundSystem dan ramai lagi. Persembahan akan berlangsung di Dewan A dari jam 2.00 petang hingga 7.00 malam, kedua-dua hari.

Tiket Early Bird kini boleh didapati secara atas talian di www.artofspeedmy.com dimana peminat boleh memilih samada Weekend Pass – RM35.00 atau Sunday Pass – RM40.00. (*tidak termasuk caj pemprosesan RM3.00) manakala Masuk Percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU.

AOS turut memperkenalkan Tiket Valet VIP Parking (RM30.00) yang membolehkan kenderaan diletakkan di Aras Bumi, Dewan D, sah untuk satu hari kemasukan.

“Terima kasih kerana terus menyokong AOS sejak awal. Kami amat teruja untuk menyambut kehadiran pengunjung tahun ini dengan program yang lebih padat, lebih meriah dan bertaraf antarabangsa,” kata Asep menutup kenyataan.

Untuk pertanyaan vendor dan korporat, hubungi Rafiq di +6012 2620 405. Maklumat penuh di www.artofspeedmy.com atau facebook.com/ArtOfSpeedMY.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page