“Rockology Concert Tour 2025” di Johor Diteruskan Seperti Dirancang – RPM Events Nafi Khabar Angin Pembatalan

Penganjur Rockology Concert Tour 2025, RPM Events Sdn. Bhd., menafikan sekeras-kerasnya khabar angin bahawa konsert yang dijadual berlangsung Sabtu ini di EduCity Sports Complex, Johor telah dibatalkan.
Sebaliknya, segala persiapan kini berada di fasa akhir dengan tumpuan penuh terhadap aspek teknikal dan keselamatan demi memastikan malam penuh ledakan rock berjalan lancar.

Konsert yang menampilkan gandingan ikonik Datuk Awie dan Search (Kid & Din) itu dijangka menghidupkan semula semangat rock era 80-an dan 90-an satu era keemasan yang cukup dekat di hati peminat muzik tanah air.
“Ramai yang tak sabar nak rasai semangat rock dan kenangan era 80-an dan 90-an di Johor. Apa pun yang berlaku, kami tetap akan menghiburkan peminat di EduCity seperti yang dijanjikan,” ujar Awie yang turut berkongsi keterujaannya menjelang malam konsert.

Terdahulu, konsert Rockology yang sepatutnya berlangsung di Midtown PERDA, Pulau Pinang pada 21 Jun lalu terpaksa ditunda atas sebab teknikal. Namun, bagi lokasi Johor, RPM Events memberi jaminan bahawa semuanya berada dalam keadaan terkawal.
Pengarah RPM Events, Datuk Eddy pula menegaskan bahawa Rockology bukan sekadar konsert biasa, tetapi satu gerakan membangkitkan semula semangat rock sejati dalam kalangan generasi lama dan baharu.

“Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang luar biasa. Kami ingin merakamkan penghargaan atas kepercayaan serta sokongan daripada semua pihak, termasuk peminat dan penaja. Sokongan penaja adalah suntikan semangat besar untuk kami dalam penganjuran acara yang berkualiti tinggi serta berimpak besar kepada industri hiburan tempatan,” katanya.
Sebagai penghargaan kepada peminat, RPM turut menawarkan promosi istimewa ‘Beli 5, Percuma 1’ bagi pembelian tiket dalam satu transaksi sah untuk semua kategori. Malah, pemegang tiket juga berpeluang memenangi ‘pendrive’ edisi khas yang mengandungi rakaman eksklusif sesi latihan Awie dan Search Kid Din menerusi cabutan bertuah pada malam acara.

Konsert akan bermula jam 8 malam. Untuk sebarang maklumat lanjut, ikuti laman sosial rasmi RPM Events, dan bagi pembelian tiket, layari https://rpm.ubertickets.asia/johor.