Putera Bobo Lancar Single Sulung “Korban Rindu”, Raih Trending YouTube Dalam 24 Jam

Fenomena media sosial, Putera Bobo akhirnya melangkah ke dunia rakaman profesional dengan pelancaran single sulungnya berjudul Korban Rindu, terbitan Nova Music. Lagu tersebut melonjak ke senarai Top 20 Trending YouTube Malaysia dalam tempoh hanya 24 jam selepas dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai lalu.
Putera Bobo, atau nama sebenarnya Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, mula mencuri perhatian ramai setelah video nyanyiannya mendendangkan lagu Korban Perceraian sambil mengenakan kostum maskot beruang menjadi tular di TikTok, mencatat lebih 5 juta tontonan. Aksi bersahajanya nyata menyentuh hati netizen, yang rata-rata meluahkan rasa sebak di ruangan komen.
Salah seorang yang turut tersentuh dengan persembahan Putera ialah Azian Zaid Khan, lebih dikenali sebagai Kak Long, pengasas produk kecantikan Rosel Whitening. Perkenalan melalui kenalan rapat, Matyie Gsr, membuka ruang kepada Putera Bobo untuk mengetengahkan bakatnya ke tahap lebih tinggi.
“Matyie cakap budak ni ada bakat besar dan boleh pergi jauh. Saya tolong bukan sebab nak tumpang populariti, tapi sebab saya nampak potensi dia. Hati saya terbuka untuk bantu,” kata Kak Long, yang kemudian bekerjasama dengan Molek FM untuk membawa Putera ke studio rakaman NAR Record, Kuala Lumpur, pada 21 Jun lalu.

Lagu Korban Rindu dicipta oleh Eddie Hamid, dengan lirik oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha. Menurut Eddie, aura dan penghayatan yang ditampilkan Putera menjadikan proses penciptaan lagu ini sesuatu yang mengalir secara semula jadi.
“Putera ada keistimewaan tersendiri. Dia menyanyi dari hati dan itulah kekuatan sebenar dia. Saya yakin lagu ini dapat membuka lebih banyak peluang untuknya dalam industri muzik,” ujar Eddie.
Putera Bobo, yang baru berusia 14 tahun dan bersekolah di SMK Putra, Jerteh, berasal daripada keluarga seni. Ibunya, Elyani, dan bapanya, Mohd. Nasran, aktif dalam kumpulan dikir barat Arwana Seri Muda. Malah, menurut Elyani, hampir kesemua anak-anaknya mewarisi bakat nyanyian.
“Putera memang minat lagu-lagu sedih. Bila dia nyanyi lagu macam Lesti Kejora, dia betul-betul hayati lirik tu. Ramai ingat kami bercerai sebab emosi dia begitu kuat masa nyanyi Korban Perceraian. Tapi sebenarnya dia memang suka lagu beremosi,” jelas Elyani.
Selain menyanyi secara solo, Putera juga merupakan vokalis Yuni Band dari Kampung Beris Baru, Kuala Besut, dan pernah menyertai rancangan realiti The Chosen One musim kedua.
Video muzik rasmi Korban Rindu kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=zeoP9k6O-fQ