July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert DATO’ M N46IR CIPTA 3: Penonton Bakal Bawa Pulang Harley Davidson Bernilai RM114,000

Spread the love

Dato’ M. Nasir bakal kembali menghangatkan pentas Axiata Arena menerusi Konsert DATO’ M N46IR CIPTA 3 yang dijadual berlangsung pada 27 September 2025, jam 8 malam. Bukan sekadar konsert, acara ini menjanjikan pengalaman luar biasa apabila seorang peminat bertuah berpeluang membawa pulang sebuah Harley Davidson Model Softail STD FXST lengkap insurans Etiqa bernilai RM114,000.

Dikenali sebagai Sang Maestro, M. Nasir akan menghidupkan semula tema ikonik “Malam Ini Gua Rock”, simbol kebangkitan semangat rock tanah air yang pernah mencetuskan fenomena. Bertemakan “Rock Cara Lu, Janji Rock”, konsert ini menyeru penonton untuk hadir dalam gaya rock tersendiri sebagai lambang ekspresi bebas dan jiwa seni.

“Saya tidak akan dedahkan sepenuhnya pengisian konsert ini, tapi peminat boleh jangka malam yang penuh nostalgia, dengan deretan lagu rock yang dekat di hati mereka,” ujar M. Nasir, memberi bayangan tentang persembahan penuh tenaga dan emosi.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, laman jualan tiket mencatatkan lebih 300,700 kunjungan sejurus dibuka, menandakan sambutan luar biasa daripada peminat.

“Ini bukan sekadar konsert. Ia adalah kerjasama strategik antara Datuk M. Nasir, Icon Entertainment, Harley Davidson dan Etiqa gabungan hiburan, gaya hidup dan inovasi. Pemenang motosikal eksklusif ini akan dipilih daripada kalangan pembeli tiket, tanpa mengira kategori,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad, turut menyatakan keterujaan mereka dalam menjayakan inisiatif ini, terutama dalam menyokong transformasi digital.

“Menerusi aplikasi Etiqa+, peminat akan menerima akses eksklusif ke sesi pra-jualan tiket bermula 3 Julai 2025 selama 24 jam. Kami juga akan melancarkan pelbagai kempen menarik termasuk peluang memenangi tiket percuma,” tambah beliau.

Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik terbesar tahun ini, menggabungkan kekuatan nostalgia, persembahan ikonik dan hadiah lumayan.

Tiket ditawarkan pada harga RM258 (TEGUH), RM358 (OPERA HIDUP), RM458 (ISI DAN KULIT), RM488 (SEJATI), RM558 (GADISKU) dan RM628 (PAWANA).Pembelian boleh dibuat menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my/mnasircipta3

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan cabutan bertuah, ikuti Instagram rasmi @iconentertainmentmy dan @datomnasircipta.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page