LEV Lancar Single Debut “Aku Bukan Bosan” Di Bawah Naungan Empayar Masdo

Luahan Realiti Lelaki Perantau Dalam Karya Pertama Mereka
Kumpulan muzik baharu, LEV, secara rasmi melancarkan single sulung mereka bertajuk “Aku Bukan Bosan”, menandakan kemunculan rasmi mereka dalam industri muzik tanah air. Single tersebut kini boleh distrim di semua platform digital.
Dianggotai oleh Leo Azman (vokalis, komposer, penulis lirik), Riz (gitaris), dan Kecik (bassis), LEV bernaung di bawah label Empayar Masdo Sdn. Bhd., syarikat yang sama menaungi kumpulan retro-pop terkenal MASDO.
Ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Leo Azman, lagu ini diterbitkan, diadun dan dimaster oleh Andi, ahli kumpulan Indonesia Fourtwnty, dan dirakam sepenuhnya di Bijanfx Studio. Proses penghasilan lagu mengambil masa dua minggu, melibatkan lima fasa draf sebelum dimuktamadkan.
Menurut Andi, lagu ini mewakili suara-suara yang jarang didengari khususnya golongan lelaki yang merantau demi mencari rezeki.
“Kami mahu lagu ini mewakili suara golongan yang jarang didengari. Bukan semua orang pandai meluah, tapi muzik boleh bercakap untuk mereka,” jelasnya.

“Aku Bukan Bosan” mengetengahkan tema pengorbanan, kepercayaan dan salah faham dalam hubungan jarak jauh khususnya dalam konteks lelaki yang terpaksa meninggalkan keluarga demi menyara kehidupan. Lagu ini menyampaikan mesej yang mendalam: mereka tidak menjauh kerana bosan, tetapi kerana tanggungjawab.
Sebelum pelancaran rasmi, LEV telah memperkenalkan lagu ini secara langsung menerusi beberapa persembahan dalam Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun, yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sekaligus memperkenalkan identiti muzik mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Sebagai sebuah kumpulan baharu, LEV tampil dengan pendekatan yang bersahaja dan jujur, menulis dari pengalaman sebenar tanpa unsur dramatik keterlaluan. Pelancaran “Aku Bukan Bosan” membuka lembaran baharu buat mereka sebagai antara bakat segar yang perlu diberi perhatian dalam lanskap muzik Malaysia.