July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Layar Boneka”: Halim & Kmy Kmo Dedah Luka Dalam Suara, Suarakan Realiti Tanpa Topeng

Spread the love

Bila seni bertemu kejujuran, terhasillah sebuah karya yang bukan sekadar didengar, tetapi dirasa. Inilah yang dibawa menerusi single Layar Boneka, kolaborasi emosional antara penyanyi Halim dan rapper puitis Kmy Kmo. Lagu yang menyingkap kepalsuan, menegur dengan halus, dan membakar semangat untuk bangkit dari bayang-bayang fitnah.

Ditulis oleh Kmy Kmo bersama HMstatenine yang turut bertindak sebagai penerbit muzik, Layar Boneka muncul bukan hanya sebagai sebuah karya muzik, tetapi sebagai manifestasi suara yang sekian lama diam. Sarat dengan elemen pop moden, balada kontemporari dan lapisan hip hop Melayu, lagu ini menjadi pentas ekspresi untuk yang pernah dijatuhkan, difitnah dan memilih untuk kembali berdiri dengan harga diri.

“Kami bukan sekadar mahu nyanyi, kami mahu bersuara,” tegas Halim dan Kmy Kmo, mengangkat karya ini sebagai luahan kolektif mereka terhadap isu-isu yang sering diselindung di balik senyuman dan pencitraan.

Pertemuan dua figura berbeza latar ini bermula dalam set program Manhajj Mutawiff terbitan syarikat Halim sendiri untuk saluran Astro Oasis. Dari kolaborasi untuk lagu tema program itu, terbit satu keserasian yang membawa mereka ke studio rakaman untuk projek yang lebih peribadi dan berani.

“Saya terpanggil untuk berduet dengan Kmy Kmo kerana beliau ada jiwa muzik yang saya suka selain  elemen tradisi, kedalaman lirik dan keberanian suara. Saya peminat pelbagai genre, tapi Hip Hop ada tempat istimewa dalam diri saya,” ujar Halim, yang juga aktif dalam keusahawanan kreatif.

Kmy pula menyifatkan Halim sebagai sosok yang tidak hanya berbakat, tetapi jujur dan tulus dalam penciptaan seni.

“Saya nampak potensi Halim dari awal, suara dia unik, sesuai dengan Rock Melayu klasik tapi mampu bawa elemen moden dengan baik. Dia juga sahabat yang tekun, tak takut untuk keluar dari zon selesa,” kata Kmy.

Layar Boneka bukan sekadar tentang kelukaan, tetapi tentang keberanian untuk tidak lagi berdiam diri. Lagu ini adalah suara kepada mereka yang lama terperangkap dalam kepura-puraan sosial — menjadi boneka kepada naratif orang lain.

“Lagu ini untuk mereka yang diam terlalu lama kerana nista yang menyesakkan. Sudah tiba masa untuk kita ratakan semuanya,” ujar Halim penuh emosi.

Melalui baris demi baris lirik yang ‘tajam tapi indah’, Halim dan Kmy Kmo melontarkan mesej perjuangan, kekuatan, dan keikhlasan dalam menempuh badai realiti.

Dengan edaran digital oleh Luncai Emas, single Layar Boneka kini boleh didengari di semua platform penstriman serta disaksikan menerusi video muzik rasmi di YouTube Luncai Emas.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page