September 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

‘Bersua Nanti’ Temukan Izama, Suraya Yusoff Dan Mk K-Clique

Spread the love

Menggabungkan elemen R&B, Hip Hop dan Jazz, lagu Bersua Nanti tampil dengan ramuan tersendiri apabila mempertemukan dua bakat baharu, Izama dan Suraya Yusoff, bersama penyanyi popular, MK K-Clique.

Bukan sekadar menampilkan gabungan tiga karakter berbeza, karya itu turut membawa kisah mengenai kehilangan, keraguan dan pencarian makna di sebalik setiap ujian yang dilalui dalam sesebuah hubungan.

Menariknya, lagu berkenaan memberi ruang kepada pendengar untuk menafsir sendiri makna sebenar Bersua Nanti menerusi lirik, muzik dan visual yang dipersembahkan.

Bagi Izama, penghasilan lagu itu bermula daripada demo awal yang dihasilkan bersama Wongie sebelum dia menyerahkan ruang vokal wanita kepada Suraya bagi memberikan warna berbeza terhadap keseluruhan karya.

“Penghasilan Bersua Nanti bermula dengan demo awal yang dihasilkan oleh saya dengan Wongie.

“Setelah selesai, saya putuskan untuk serahkan lagu ini kepada Suraya bagi mengisi ruang kosong dengan nada wanita dan duduk berbincang dengan Ali Nurazmal, abang Suraya, untuk mewarnai bait lirik dan lenggoknya,” katanya.

Suraya pula mengakui Bersua Nanti cukup istimewa kerana menjadi karya pertama yang dinyanyikan sepenuhnya olehnya selain turut terbabit dalam proses penciptaan lirik dan melodi bersama abangnya, Ali Nurazmal.

Katanya, minat terhadap muzik Jazz mendorong mereka bereksperimen dengan pelbagai idea serta susunan muzik sebelum menemukan bentuk akhir lagu itu.

“Ini merupakan lagu pertama nyanyian saya secara keseluruhannya bersama bantuan abang saya, Ali Nurazmal dalam penciptaan lirik dan melodi.

“Saya memang sentiasa berminat dengan Jazz, jadi saya dan abang menghabiskan banyak masa untuk meneroka pelbagai idea dan susunan muzik.  Banyak percubaan dan kesilapan dilakukan sebelum kami akhirnya mendapatkan versi terakhir,” katanya.

Namun, kehadiran MK K-Clique dalam karya itu pada awalnya bukan sesuatu yang mereka jangka.

Izama berkata, mereka pada mulanya hanya berharap MK dapat mendengar demo berkenaan dan memberikan pandangan, namun tidak menyangka penyanyi itu akhirnya berminat untuk mengisi bahagian verse terakhir.

“Sejujurnya, kami memang tak sangka MK K-Clique sudi untuk menyertai lagu ini kerana saya dan Suraya boleh dikatakan pendatang baharu dalam industri muzik.

“Fadhli Masoot menghantar demo untuk meminta MK mendengar dan memberikan maklum balas, tetapi Alhamdulillah dia berminat mengisi ruang verse terakhir bagi melengkapkan keseluruhan lagu.

“Selepas dia merakam dan menghantar verse, kami rasa semuanya serasi dengan lagu ini. Proses kolaborasi pun berjalan dengan sangat lancar,” katanya.

Menurut Izama, proses rakaman turut dilakukan secara berperingkat apabila dia terlebih dahulu merakam bahagian verse pertama sebelum Suraya menyelesaikan bahagian vokalnya di studio pada hari sama.

Bahagian yang dinyanyikan MK pula dirakam di studionya sendiri sebelum fail lengkap diserahkan untuk proses remastering.

Suraya menyifatkan kerjasama dengan MK sebagai pengalaman yang menyeronokkan, apatah lagi penyanyi itu memberikan komitmen penuh walaupun mempunyai jadual padat.

“MK sangat mudah bekerjasama dan memberikan komitmen yang baik sepanjang proses.  Penglibatan MK menambahkan seri dalam lagu dan muzik video kami. Walaupun kami bertiga mempunyai gaya berbeza, gabungan itu menjadikan lagu ini lebih sedap didengar dan difahami,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah muzik video, Fadhli Masoot, mengambil pendekatan berbeza dengan memilih konsep visual surreal dan simbolisme bagi menterjemahkan mesej lagu.

Katanya, dia sengaja mengelak daripada menghasilkan visual yang terlalu literal sebaliknya menggunakan metafora bagi menggambarkan konflik dalaman, godaan serta perjalanan manusia mencari petunjuk.

“Direction untuk muzik video ini terarah kepada visual surreal yang menggunakan simbolisme untuk menggambarkan perjalanan ringkas manusia dengan percubaan gaya sinematik.

“Saya tak mahu terlalu literal. Sebaliknya, saya cuba bereksperimen dengan metafora visual untuk mewakili konflik dalaman manusia, godaan dan petunjuk jalan melalui aspek warna serta lokasi.

“Tapi saya juga tidak menetapkan permaknaan visual itu. Terserah kepada penonton untuk mentafsirkannya berdasarkan visual yang kami hidangkan,” katanya.

Lebih menarik, pembikinan muzik video berkenaan turut melalui perjalanan panjang selepas rancangan asal untuk menjalani penggambaran di Morocco tidak menjadi kenyataan pada saat akhir.

Fadhli berkata, keadaan itu menyebabkan pihak produksi terpaksa menyusun semula perancangan termasuk mencari sumber kewangan baharu bagi meneruskan projek.

Namun, segala kesukaran itu akhirnya terbayar apabila mereka berjaya mendapatkan lokasi alternatif yang bersesuaian dengan konsep visual yang dirancang.  Antara lokasi yang dipilih ialah Club Petaling Street dan Bukit Guling Ayam.

Menurut Fadhli, babak di Bukit Guling Ayam yang menampilkan MK ketika matahari terbit menjadi antara visual yang paling dekat dengan konsep keseluruhan muzik video.

“Bagi saya, salah satu lokasi yang boleh dijadikan ‘money shot’ adalah ketika kami melakukan penggambaran di Bukit Guling Ayam untuk mendapatkan sunrise shot bahagian MK.

“Ia berkait dengan tafsiran lirik kepada visual yang menunjukkan seseorang mendapat petunjuk Ilahi dan kembali kepada alam semula jadi.

“Sebelum itu, Club Petaling Street dipilih kerana tafsiran saya terhadap manusia yang berasa kosong akan cuba mengisi ruang tersebut dengan berhibur di tempat hiburan, bukannya mencari reda Tuhan,” katanya.

Fadhli turut memuji komitmen Izama, Suraya dan MK sepanjang penggambaran walaupun masing-masing mempunyai jadual tersendiri.

Katanya, pengalaman bekerja bersama dua penyanyi baharu itu juga memudahkan dia merealisasikan visual yang sudah dibayangkan dalam fikirannya.

“Alhamdulillah, tersangat mudah. Seronok apabila kita yang masih baharu belajar mendapat orang sekeliling yang mempunyai semangat dan keinginan yang kuat.  Lebih-lebih lagi MK yang sibuk dengan penggambaran dan programnya tetapi tetap mencari masa untuk memberikan komitmen dalam muzik video ini.

“Izama dan Suraya juga banyak memudahkan jalan untuk menjayakan visual yang sedia ada dalam kepala saya,” katanya.

Muzik Bersua Nanti sudah dilancarkan beberapa minggu lalu menerusi pelbagai platform digital, manakala muzik videonya pula dilancarkan kira-kira dua minggu lalu.

Fadhli berkata, muzik video arahan pertamanya itu kini sudah mencecah kira-kira 46,000 tontonan dan berharap ia terus mendapat sambutan pendengar.

“Saya tidak memasang harapan terlalu tinggi. Cukup dengan penerimaan baik daripada pendengar sudah memadai.

“Cuma menariknya apabila kita dengar lagu ini kemudian menonton muzik videonya, ia akan memberikan interpretasi yang berbeza berdasarkan faktor pemahaman terhadap kecintaan manusia dan Tuhan.

“Ini juga muzik video pertama arahan saya, jadi saya sangat menghargai semua yang terbabit dalam menjayakannya,” katanya.

Dalam masa sama, Fadhli turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi terutama Pengarah Fotografi (DOP), Mad Nor Kasim, yang menurutnya menjadi antara individu terawal mengetahui mengenai projek itu dan kekal memberikan komitmen sehingga selesai.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page