September 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

D’Masiv Bawa ‘Asia Home Run’ Ke Mega Star Arena, 20 November

Spread the love

Selepas menjelajah Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kumpulan popular Indonesia, D’Masiv kini kembali menghangatkan rantau Asia menerusi siri jelajah D’MASIV Asia Home Run.

Lebih istimewa, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi terakhir jelajah Asia kumpulan berkenaan sebelum mereka melabuhkan tirai keseluruhan siri jelajah di Jakarta.

Dibawakan penganjur Neptunes Presents, D’Masiv bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 20 November ini.

Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta, berkata jelajah berkenaan bukan sekadar medan untuk mereka beraksi di hadapan peminat, sebaliknya menjadi ruang mengeratkan semula hubungan dengan peminat di luar Indonesia.

Menurutnya, konsep ‘Asia Home Run’ turut membawa semangat dan perjalanan muzik D’Masiv yang bermula sejak awal penubuhan mereka.

“Setiap perjalanan D’Masiv bermula di Indonesia, khususnya di Ciledug dan di situlah semangat yang kami ingin bawa ke ‘Asia Home Run’.

“Kami datang lagi untuk bertemu peminat di pelbagai negara dengan membawa kehangatan muzik serta tenaga yang menjadi nadi perjalanan kami.

“Kami berharap semasa konsert berlangsung, penonton akan dapat merasai keakraban, seolah-olah mereka sedang menikmati persembahan dalam keselesaan seperti di kediaman sendiri,” katanya.

D’Masiv yang ditubuhkan pada 2003 kini dianggotai Rian Ekky Pradipta (vokal), Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan serta Iskandar Dinata (bass), dan Wahyu Piadji (dram).

Selain Kuala Lumpur, siri jelajah D’MASIV Asia Home Run turut menyaksikan kumpulan itu menemui peminat di beberapa destinasi Asia termasuk Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Bagi Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman, pemilihan Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi utama jelajah itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan hubungan D’Masiv dengan peminat Malaysia begitu istimewa.

Katanya, Malaysia dianggap sebagai rumah kedua buat kumpulan terbabit berikutan sambutan luar biasa yang diterima setiap kali mereka berkunjung ke negara ini.

“Layanan mesra penonton, tenaga yang dirasai serta pelbagai kejutan sentiasa membuatkan D’Masiv merindui pengalaman unik dan suasana seperti di rumah yang begitu mereka hargai.

“Memandangkan D’Masiv mempunyai kelompok peminat yang sangat besar di Malaysia, lokasi di Mega Star Arena dipilih kerana kapasitinya yang lebih besar.

“D’Masiv juga akan mempersembahkan rangkaian lagu hits kumpulan itu sehinggalah karya terbaharu untuk dinyanyikan bersama peminat nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina, menyifatkan ‘D’MASIV Asia Home Run’ sebagai usaha untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih dekat dan peribadi kepada peminat, selain meluaskan lagi jangkauan muzik kumpulan berkenaan.

Katanya, persembahan sekitar dua jam itu bakal menggabungkan karya baharu D’Masiv dengan lagu popular yang sudah sebati dengan peminat.

“Melalui ‘D’MASIV Asia Home Run’, kami berhasrat untuk mempersembahkan pengalaman konsert yang mencerminkan era baharu D’Masiv.

“Penonton akan menikmati persembahan mengasyikkan selama kira-kira dua jam yang menggabungkan lagu-lagu baharu kumpulan itu bersama rangkaian lagu popular seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku yang mencorakkan perjalanan muzik mereka.

“Ia turut disokong konsep visual yang menonjolkan semangat Indonesia dan kisah akar umbi mereka,” katanya.

Menurut Nagita, jelajah berkenaan juga menjadi peluang untuk D’Masiv berhubung semula dengan peminat di pelbagai negara selepas sekian lama, selain menawarkan pengalaman eksklusif sepanjang persembahan.

Untuk peminat di Malaysia, tiket ‘Early Bird’ tersedia secara eksklusif kepada mereka yang melengkapkan pra-pendaftaran.

Tiket pra-jualan pula mula dijual pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi dmasivtour.com.

Antara kategori tiket ditawarkan ialah Festival (Berdiri) RM188, Diamond RM288, Platinum RM148 dan Gold RM108.

Bagi mereka yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, tiket Super VIP berharga RM588 menawarkan pakej termasuk tempat duduk premium sofa, laluan masuk pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan, tiket koleksi edisi terhad serta makanan ringan dan minuman.

Sepanjang tempoh pra-jualan, peminat turut berpeluang mendapatkan pakej poster bertandatangan dan sesi bergambar pada harga RM100, selain Tiket Koleksi Edisi Terhad RM10.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page