September 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

KAROL G Tidak Lagi Lari Daripada Emosi

Spread the love

Album ketujuh, NO ME ARREPIENTO DE SENTIR TANTO, jadi perjalanan penuh cinta, patah hati, marah, nostalgia dan penyembuhan

BUKAN semua perasaan perlu dilawan, malah ada waktunya seseorang perlu berhenti melarikan diri dan membenarkan dirinya merasai setiap emosi yang hadir.

Itulah inti utama yang cuba disampaikan bintang muzik global, KAROL G menerusi album studio ketujuhnya, NO ME ARREPIENTO DE SENTIR TANTO.

Menghimpunkan 14 lagu, album berkenaan menjadi ruang peribadi buat penyanyi kelahiran Colombia itu menyelami pelbagai sisi emosi manusia termasuk cinta, patah hati, kemarahan, nostalgia, harapan dan proses penyembuhan.

Menariknya, setiap emosi tidak dipersembahkan sebagai fasa berasingan dalam sebuah kisah, sebaliknya sebagai pengalaman yang mampu menghubungkan manusia tanpa mengira latar belakang.

Bagi KAROL G, perasaan bukan sesuatu yang perlu disembunyikan atau dimaafkan.

Sebaliknya, album itu meraikan kebebasan untuk merasai segala-galanya tanpa rasa kesal dan tanpa perlu meminta maaf.

Diilhamkan daripada perjalanan hidupnya sendiri serta pelbagai kisah yang dikongsikan peminat sepanjang tahun, NO ME ARREPIENTO DE SENTIR TANTO membawa mesej bahawa walaupun setiap individu mempunyai kisah berbeza, emosi yang dirasai sering menjadi perkara paling dekat yang menyatukan manusia.

Album berkenaan juga direka untuk didengarkan secara keseluruhan dari awal hingga akhir.  Setiap lagu berfungsi sebagai satu bab yang disusun bagi membawa pendengar melalui perjalanan emosi lengkap, sekali gus menjadikan projek itu lebih daripada sekadar koleksi lagu.

KAROL G seolah-olah mengajak pendengar melihat sebahagian daripada pengalaman diri mereka menerusi muzik yang dihasilkan.

Dalam dunia yang sering memaksa seseorang untuk segera melupakan kesedihan dan meneruskan kehidupan, album ini memilih pendekatan berbeza.

Ia memberi ruang untuk seseorang berhenti seketika, mengakui apa yang dirasakan dan memahami bahawa proses penyembuhan tidak semestinya bermaksud melupakan segala-galanya.

Dari sudut muzik pula, NO ME ARREPIENTO DE SENTIR TANTO memperlihatkan evolusi berani KAROL G sebagai seorang artis.

Dia memperluaskan lagi dunia muziknya dengan menggabungkan elemen pop alternatif, pengaruh muzik Latin, produksi atmosfera serta instrumentasi organik yang menghasilkan pengalaman pendengaran lebih intim, namun pada masa sama cukup luas.

Gabungan berkenaan menjadikan album ini terasa imersif, seolah-olah pendengar turut dibawa masuk ke dalam ruang emosi yang cuba diterokai KAROL G.

Lebih menarik, album itu turut menampilkan barisan kolaborator berprofil tinggi termasuk Bruno Mars, Drake, Greg Gonzalez, Judeline dan Rusowsky.

Kerjasama berkenaan memperkayakan lagi warna muzik album yang bergerak antara kelembutan, kerinduan, kekuatan dan refleksi diri.

Antara karya yang mencuri perhatian ialah Still yang menampilkan Bruno Mars.  Lagu itu mencipta satu lagi detik penting dalam perjalanan seni KAROL G apabila ia menjadi rakaman pertamanya yang dinyanyikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Dengan NO ME ARREPIENTO DE SENTIR TANTO, KAROL G bukan sekadar memperkenalkan koleksi karya baharu, tetapi membuka satu ruang untuk pendengar berdepan dengan emosi sendiri.

Album itu kini boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page