UNGU 30 Tahun: Bisa Masih Berbisa

Pasha Dan Anggota Ungu Buktikan Tiga Dekad Dalam Muzik Bukan Alasan Untuk ‘Slow Down’, Hampir 4,000 Peminat Jadi Saksi Idea Live Arena Terus Bergema
Tiga puluh tahun dalam industri muzik sepatutnya cukup untuk membuatkan mana-mana kumpulan mula memperlahankan langkah. Namun, Ungu nampaknya belum menerima memo itu.
Selepas tiga dekad berkelana, Pasha, Enda, Oncy, Makki dan Rowman masih mampu ‘mengunci’ emosi hampir 4,000 peminat menerusi Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur di Idea Live Arena, Sabtu lalu.
Lebih menarik, Ungu tidak perlu bergantung kepada gimik besar atau produksi yang terlalu sarat untuk membuktikan mereka masih berbisa.Mereka hanya perlu memainkan lagu dan selebihnya, peminat mengambil alih.
“Ungu tidak datang untuk membuktikan mereka masih berusia 20-an. Mereka tidak perlu.”
Sekitar jam 8.50 malam, kelima-lima anggota Ungu muncul dengan mengenakan baju Melayu, satu sentuhan yang segera mencipta hubungan dengan peminat tempatan. Namun, kejutan sebenar datang apabila Cindai, lagu popular Datuk Seri Siti Nurhaliza, dipilih sebagai pembuka persembahan.

Bukan Demi Waktu, bukan Kekasih Gelapku sebaliknya, Ungu terlebih dahulu memberi salam kepada Malaysia menerusi lagu yang sudah cukup sinonim dengan muzik tempatan.
Pilihan itu ternyata menjadi apabila Idea Live Arena terus bergema dengan sorakan sebelum mereka menyambung persembahan menerusi Cinta Gila, I Need You, Ciuman Pertama, Hampa Hatiku dan Percaya Padaku.
Daripada rentak rancak, Ungu kemudian membawa penonton ke wilayah lebih romantik menerusi Sejauh Mungkin, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati. Kemudian, suasana berubah apabila Gerimis Mengundang, Andai Ku Tahu dan Bila Tiba berkumandang.
Di sinilah kekuatan Ungu benar-benar terasa. Mereka tidak perlu berlari ke sana sini untuk mendapatkan sorakan, lagu mereka sudah melakukan tugas itu.
Selepas 30 tahun, satu perkara yang masih sukar dipisahkan daripada Ungu adalah Pasha. Karakter vokalnya begitu sinonim dengan karya kumpulan itu sehingga apabila dia membuka suara, peminat seolah-olah terus kembali ke satu zaman yang pernah mereka lalui.
Benar, vokalnya tidak lagi setajam dua dekad lalu, namun, usia membawa sesuatu yang tidak boleh dibeli iaitu kematangan. Pasha kini tidak menyanyikan lagu-lagu Ungu seperti lelaki muda yang sedang mengejar cinta. Dia menyanyikannya seperti seseorang yang sudah melalui cinta, kehilangan, kecewa dan kehidupan.
Dan ‘rasa’ itu paling jelas menerusi Andai Ku Tahu dan Bila Tiba. Penonton yang sebelumnya rancak mula memperlahankan suara kemudian, mereka menyanyi dan Pasha membiarkan Idea Live Arena menjadi vokalis utama.

“Bukan berapa banyak lampu yang dipasang. Tetapi berapa kuat sesebuah lagu mampu membuatkan ribuan manusia menyanyi pada masa yang sama.”
Momen seperti ini yang menjadikan sebuah konsert lebih bernilai daripada sekadar persembahan pentas.
Kemunculan Marsha Milan pula memberikan suntikan tenaga baharu. Menerusi Bismillah Cinta dan Tercipta Untukku, penyanyi itu membuktikan dia bukan sekadar penyeri pentas. Karakter vokal Marsha yang bertenaga bertemu dengan gaya Pasha yang lebih bersahaja, menghasilkan gandingan yang mempunyai chemistry tersendiri.

Sorakan penonton ketika Marsha muncul juga jelas menunjukkan kehadiran penyanyi tempatan itu dialu-alukan.
“Saya sangat teruja dan terharu kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada malam yang begitu bermakna buat Ungu dan peminat mereka.
“Lagu-lagu Ungu sudah begitu dekat dengan hati ramai orang, jadi dapat menyanyikannya bersama mereka di hadapan ribuan peminat adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.
Selepas Marsha berundur dari pentas, Ungu kembali meneruskan perjalanan menerusi Utara-Selatan, Aku Tahu dan Kekasih Gelapku. Namun, momen paling ‘mengena’ datang menerusi Demi Waktu. Hampir seluruh ruang Idea Live Arena bergema dengan suara peminat yang menghafal setiap bait lagu.
Peminat sebenarnya bukan datang sekadar mahu melihat Ungu tetapi mereka datang untuk bertemu semula dengan kenangan sendiri.
Pasha mengakui sambutan peminat Kuala Lumpur menjadi bukti hubungan yang terjalin sepanjang perjalanan tiga dekad mereka.

“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui. Tetapi apabila kami melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” katanya.
Bagaimanapun, tidak semua aspek konsert berada pada tahap yang sama. Sebagai sebuah persembahan ulang tahun ke-30, produksi sebenarnya mempunyai ruang untuk pergi lebih jauh.
Pencahayaan, skrin dan susunan pentas cukup untuk menyokong persembahan, tetapi ada ketika elemen visual terasa sekadar menjadi pelengkap. Beberapa momen produksi yang lebih besar, lebih dramatik dan benar-benar meninggalkan kesan mungkin boleh mengangkat konsert ini ke tahap berbeza.
Namun, kekurangan itu tidak sampai menjejaskan keseluruhan persembahan. Ungu terlalu kuat dari segi katalog lagu untuk dibayangi kelemahan produksi.
Satu perkara yang paling menyerlah sepanjang malam ialah penonton, mereka bukan sekadar penonton. Mereka adalah ‘ahli kelima’ Ungu di manahHampir setiap lagu mendapat respons. Malah, kehadiran peminat dari Brunei dan Singapura turut membuktikan pengaruh Ungu merentasi sempadan.
Apa yang menarik, sebahagian besar peminat bukan datang semata-mata untuk melihat artis kesayangan mereka. Mereka datang membawa cerita, sebab itu wajah mereka berubah setiap kali lagu tertentu dimainkan.
Ungu juga bijak kerana tidak menjadikan konsert ini sekadar pesta nostalgia. Karya baharu Utara-Selatan turut diketengahkan, memberi isyarat bahawa mereka belum mahu berhenti. Ini penting kerana kumpulan yang sudah tiga dekad dalam industri mudah terperangkap dalam kejayaan masa lalu.
Sebagai lagu penutup, Seperti Mati Lampu dipilih untuk menutup persembahan.Tenaga masih tinggi dan sorakan masih bergema sudah pasti peminat masih belum kelihatan bersedia untuk pulang.

Bagi Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy dari COMs. Creative Studio, kehadiran hampir 4,000 peminat menjadi pencapaian bermakna.
“Kami sangat bersyukur hampir 4,000 peminat hadir untuk meraikan tiga dekad Ungu bersama-sama. Dari awal, kami mahu menghasilkan sebuah konsert yang bukan sekadar persembahan, tetapi pengalaman yang meninggalkan kenangan,” katanya.
Secara keseluruhan, Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur mencapai perkara paling penting dalam sebuah konsert iaitu membuatkan penonton pulang membawa kenangan.
