Biru Mata Hitamku ‘Menggila’, 5,000 Jiwa Di Hipnosis

Kredit Foto: Bangsawan Pictures
Selepas tiga dekad menanti, penantian peminat akhirnya terbalas apabila empat nama yang pernah mencipta sejarah menerusi album Biru Mata Hitamku kembali berkongsi pentas, menghidupkan semula nostalgia era kegemilangan rock tempatan.
Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 5 September lalu menghimpunkan kira-kira 5,000 peminat dalam sebuah persembahan sarat nostalgia, emosi dan kenangan.
Lebih istimewa, pentas itu menyatukan semula Mus, JoBranko, Eddie dan Black, barisan yang sinonim dengan album Biru Mata Hitamku yang diterbitkan pada 1996.
Dentuman awal lagu Penunggu, karya kumpulan rock legenda Sweet Charity, menjadi pembuka penuh bertenaga, seolah-olah memberi isyarat bahawa malam itu bukan sekadar konsert ulang tahun, sebaliknya pertemuan semula sebuah generasi yang pernah mewarnai sejarah rock tempatan.
Sebaik intro Penunggu dimainkan, peminat yang memenuhi ruang venue terus memberikan reaksi, seolah-olah mendapat isyarat bahawa mereka bakal disajikan dengan hidangan rock yang mengimbau kembali era 1990-an.
Pemilihan Penunggu sebagai lagu pembukaan ternyata cukup signifikan kerana karya Sweet Charity itu bukan sahaja antara lagu rock popular, malah mewakili akar dan pengaruh muzik rock Melayu yang berkembang sejak era terdahulu.

Daripada Penunggu, persembahan kemudian membawa peminat menyusuri perjalanan muzik yang menjadi teras kepada sambutan ulang tahun ke-30 album Biru Mata Hitamku.
Selama kira-kira dua jam 40 minit, sebanyak 20 lagu dipersembahkan, termasuk Enigma, Keris Tak Bersarung, Nasib Kita, Bukan Kerana Matahari, Makam Kekasih, Satu Titik Yang Kosong dan Krisis Di Pertengahan Hidup.
Repertoir yang dipilih juga tidak hanya tertumpu kepada Biru Mata Hitamku, sebaliknya turut membawa khalayak menyelami karya daripada album Mencari Asal Usul dan Mr Barbarik yang pernah menampilkan Mus sebagai vokalis.
Setiap lagu disambut sorakan dan nyanyian peminat yang rata-ratanya hadir bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi mahu mengimbau kembali memori yang pernah dibina bersama muzik mereka.
Kemunculan semula Mus, JoBranko, Eddie dan Black turut membuktikan jarak masa tiga dekad tidak menghilangkan chemistry mereka di atas pentas.

Sebaliknya, pengalaman dan kematangan yang dimiliki masing-masing menjadikan persembahan lebih berisi, dengan Mus kekal menjadi tumpuan menerusi vokalnya, manakala JoBranko, Eddie dan Black memperlihatkan kemampuan menghidupkan kembali karakter muzik yang pernah menjadi identiti mereka.
Namun, jika reunion empat figura itu sendiri sudah cukup membuatkan peminat teruja, satu kejutan tampil mencuri perhatian apabila Eddie yang selama ini menggalas tugas sebagai pemain bass meninggalkan instrumennya untuk mengambil mikrofon dan menjadi vokalis bagi lagu Nasib Kita.
Momen itu ternyata memberikan warna tersendiri kepada persembahan. Eddie yang selama ini lebih sinonim sebagai antara tulang belakang muzik kumpulan tampil ke hadapan pentas, sekali gus menyaksikan perubahan peranan yang tidak disangka-sangka peminat.
Lebih menarik, lagu tersebut seolah-olah mendapat makna baharu apabila salah seorang individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan karya itu sendiri tampil menyampaikannya dengan caranya tersendiri.
Sorakan peminat mengiringi kemunculan Eddie sebagai vokalis seraya bermain bass, menjadikan segmen berkenaan antara momen paling segar dalam sebuah konsert yang sememangnya sarat dengan nostalgia.
Jika Penunggu menjadi pintu masuk kepada perjalanan malam itu, Nasib Kita pula menjadi antara titik kemuncaknya. Tiga dekad selepas album berkenaan diterbitkan, Mus, JoBranko, Eddie dan Black kembali berada di satu pentas, seolah-olah membuka semula helaian sejarah yang pernah mereka tulis bersama.

Malah, sebelum konsert berlangsung, JoBranko sendiri menyifatkan Biru Mata Hitamku sebagai gambaran terbaik perjalanan mereka berempat, terutama mengenai perjuangan dan bagaimana mereka terus melangkah ke hadapan.
Antara lagu yang mendapat sambutan hangat termasuk Enigma, Bukan Kerana Matahari dan Hati Sulam Lain. Bagaimanapun, Sejati mencipta suasana tersendiri apabila Mus memberi ruang kepada peminat untuk mengambil alih bahagian nyanyian.
Ribuan suara bergema di Mega Star Arena, menghasilkan satu momen cukup istimewa yang menggambarkan hubungan antara karya, pemuzik dan peminat yang sudah terjalin sejak puluhan tahun.
Peminat bukan sahaja menyanyi bersama, malah seolah-olah mengambil alih pentas untuk beberapa ketika, membuktikan lagu yang dilahirkan pada era 1990-an itu masih sebati dalam ingatan mereka.
Konsert itu turut diselitkan segmen penghormatan kepada dua nama yang mempunyai kaitan besar dengan karya dan perjalanan muzik mereka, iaitu Allahyarham JS Kevin dan Allahyarham Bob Lokman.
Makam Kekasih dan Satu Titik Yang Kosong dipersembahkan sebagai penghormatan kepada JS Kevin, manakala Krisis Di Pertengahan Hidup menjadi tribute buat Bob Lokman.

Segmen berkenaan memberikan sentuhan emosi apabila peminat bukan sahaja diajak meraikan karya yang pernah mengiringi kehidupan mereka, tetapi turut mengenang insan di sebalik penciptaan lagu-lagu tersebut.
Di sebalik kemeriahan persembahan, konsert itu turut menyelitkan momen penuh kemanusiaan apabila pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, membuat pengumuman mengenai keadaan isteri Muss, Suraya Bahari atau lebih dikenali sebagai Kak Su, yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.
Satu inisiatif derma kilat kemudian dilakukan apabila kod QR sumbangan dipaparkan pada skrin besar di kiri dan kanan pentas bagi membolehkan peminat menghulurkan sumbangan secara ikhlas.
Tindakan itu memperlihatkan hubungan antara artis dan peminat bukan sekadar terikat menerusi muzik, malah mampu diterjemahkan dalam bentuk sokongan ketika berdepan ujian.
Muss yang tetap meneruskan persembahan meskipun berdepan situasi peribadi yang berat turut merakamkan penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan.

“Pertama, terima kasih. Saya sebenarnya padam sekejap benda itu (isu kesihatan isteri), tapi okeylah ramai yang tahu. Ramai peminat tahu, ramai yang bagi sokongan.
“Apa pun saya teruskan konsert ini. Saya rasa komitmen saya berada di atas pentas ini bersama mereka yang hadir merupakan antara hal penting dalam hidup saya. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Secara keseluruhannya, Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary bukan sekadar sebuah konsert ulang tahun. Ia menjadi sebuah kembara, bermula dengan Penunggu yang mengingatkan peminat kepada akar muzik rock tempatan, sebelum membawa mereka kembali kepada dunia Biru Mata Hitamku yang pernah menjadi sebahagian daripada fenomena rock 1990-an.

Tiga dekad kemudian, lagu-lagu itu masih mampu membuat kira-kira 5,000 peminat berdiri, menyanyi dan mengimbau kenangan. Lebih daripada itu, malam berkenaan memberikan peluang kepada Mus, JoBranko, Eddie dan Black untuk sekali lagi berdiri bersama di hadapan ribuan peminat.
