DEON Hitung Makna Cinta, Bukan Sekadar Angka

Empat tahun menghasilkan album keempat, Numbers Game, penyanyi Singapura itu menjadikan cinta, kehilangan dan pencarian jati diri sebagai inti perjalanan muziknya.
ANGKA mungkin menjadi kayu ukur kejayaan, namun bagi DEON, nilai sebuah kehidupan jauh lebih besar daripada pencapaian yang mampu dihitung.
Menerusi album penuh keempatnya, Numbers Game, penyanyi dan penulis lagu dari Singapura itu menyelami sisi kehidupan yang lebih peribadi, merangkumi cinta, kehilangan, kematangan dan pencarian identiti selepas empat tahun menelusuri proses kreatif yang panjang.
Mengandungi 11 lagu dan dijadualkan dilancarkan pada 27 Oktober ini, album berkenaan turut menjadikan Anger Romance Contemplation sebagai karya teras yang mencetuskan keseluruhan penghasilannya.
Lagu yang diinspirasikan oleh insan tersayang itu hadir sebagai surat cinta yang ceria dan penuh tenaga, meraikan keunikan seseorang tanpa perlu menyembunyikan sisi rumit yang membentuk keperibadiannya.
Menariknya, judul Anger Romance Contemplation bukan sekadar gabungan tiga perkataan yang menggambarkan emosi berbeza, sebaliknya membawa makna lebih mendalam mengenai karakter wanita yang menjadi sumber inspirasi DEON.

Perkataan ‘anger’ merujuk kepada semangatnya yang membara serta sifat ingin tahu terhadap kehidupan, manakala ‘romance’ mencerminkan idealisme dan belas kasihannya terhadap makhluk hidup.
Sementara itu, ‘contemplation’ menggambarkan sisi introspektif serta kecenderungannya berfikir secara mendalam.
Ketiga-tiga elemen itu membentuk gambaran seorang insan yang berani merasai emosi, berfikiran luas dan menjalani kehidupan sepenuhnya.
Pendekatan berkenaan turut memberikan dimensi tersendiri kepada lagu itu yang tidak sekadar mengangkat cinta dalam gambaran idealistik, sebaliknya meraikan kegembiraan menerima seseorang seadanya, termasuk segala keunikan dan kerumitan yang dimilikinya.
Dengan nuansa muzik yang hangat, ceria dan bertenaga, Anger Romance Contemplation menjadi titik permulaan kepada persoalan lebih besar yang diteroka dalam Numbers Game.
Album itu meneliti bagaimana angka sering dijadikan ukuran kejayaan, pencapaian dan kemajuan, sedangkan perkara paling bermakna dalam kehidupan tidak semestinya boleh diterjemahkan melalui statistik atau angka semata-mata.
Tarikh, masa dan koordinat geografi mungkin merekodkan tempat yang pernah dikunjungi serta detik yang telah berlalu, namun nilai sebenar di sebalik semua itu terletak pada kenangan, pengalaman dan hubungan dengan individu yang pernah hadir dalam kehidupan.
Dari sudut muzik, Numbers Game memperlihatkan perkembangan kreatif DEON menerusi gabungan indie pop, electronica, tekstur akustik dan lanskap bunyi atmosfera yang membentuk identiti sonik album berkenaan.
Kepelbagaian elemen itu bergerak seiring dengan tema pertumbuhan diri, kehilangan dan penemuan kreatif, sekali gus menjadikan album berkenaan sebagai gambaran perjalanan peribadi yang dilalui penyanyi itu sepanjang empat tahun pembikinannya.
Perjalanan menuju pelancaran album berkenaan bermula pada Februari lalu menerusi single Fool Me Twice yang menampilkan kolaborasi bersama Dru Chen.
Tiga lagi single kemudian diperkenalkan secara berperingkat sepanjang tempoh lapan bulan, memberikan gambaran awal mengenai evolusi muzik DEON sebelum keseluruhan naratifnya disatukan menerusi album penuh itu.

Lebih daripada sekadar himpunan lagu, Numbers Game berfungsi sebagai jurnal peribadi yang merakam perjalanan masa lalu, pengalaman semasa dan hala tuju yang ingin diterokai DEON pada masa depan.
Di sebalik persoalan mengenai kejayaan, usia dan pencapaian, album itu mengajak pendengar menilai semula perkara yang sering dikejar dalam kehidupan serta makna yang diberikan kepada setiap pengalaman.
Akhirnya, Numbers Game mengemukakan satu persoalan yang dekat dengan kehidupan setiap manusia: apakah yang benar-benar layak dihitung, dan apakah pula yang terlalu berharga untuk disederhanakan menjadi sekadar angka?
