‘Sekali Lagi Bahagia’: Dulu Janji Lindungi, Kini Diri Dihancurkan

Zara Zya, MK K-Clique dan Izzue Islam terajui Sekali Lagi, Bahagia, kisah wanita bangkit daripada perkahwinan toksik
Dia pernah percaya perkahwinan adalah tempat paling selamat untuk berlindung, namun janji untuk melindungi akhirnya menjadi punca dirinya perlahan-lahan hancur.
Daripada seorang isteri yang bergantung sepenuhnya kepada pasangan, Ekin akhirnya berdepan realiti pahit apabila lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung bertukar menjadi individu yang membuatkan dia kehilangan suara, maruah dan identiti sendiri.
Lebih menyakitkan, apabila perkahwinan itu berakhir, Ekin bukan sekadar perlu menanggung luka emosi, malah terpaksa berdepan stigma masyarakat, masalah kewangan dan cabaran mendapatkan hak untuk menentukan hala tuju hidupnya sendiri.
Namun, ketika dia cuba bangkit daripada kehancuran itu, hadir seorang lelaki yang tidak pernah berjanji untuk menjadi penyelamat.
Sebaliknya, lelaki itu memilih untuk memahami. Konflik berkenaan menjadi nadi drama keluarga dan romantik terbaharu iQIYI, Sekali Lagi, Bahagia, yang membawa kisah perceraian, hubungan toksik, keibubapaan, trauma, stigma terhadap wanita bercerai serta peluang kedua dalam kehidupan.
Terbitan Orange Tree dan arahan Jamal Khan, drama 12 episod itu menampilkan gandingan Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy.
Namun, Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar kisah cinta tiga segi. Sebaliknya, ia meletakkan perjalanan Ekin sebagai teras utama iaitu sebagai seorang wanita yang perlu belajar bahawa keluar daripada perkahwinan toksik bukan bermakna hidupnya berakhir, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk mengenali semula dirinya.
Jika Remy hadir sebagai lelaki yang membawa luka dan tekanan dalam kehidupan Ekin, Han pula muncul dengan pendekatan berbeza.
Dia tidak cuba ‘menyelamatkan’ Ekin, sebaliknya Han memberikan ruang kepada wanita itu untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
Perbezaan dua karakter lelaki itu menjadi antara daya tarikan utama drama berkenaan apabila penonton dibawa melihat bagaimana seseorang yang pernah kehilangan kepercayaan terhadap cinta perlahan-lahan belajar membuka hati semula.

Bagi Jamal Khan, Sekali Lagi, Bahagia bukan karya klise yang sekadar memaparkan konflik kekeluargaan. Katanya, drama itu lebih kepada kisah manusia yang melakukan kesilapan, berdepan akibat daripada pilihan mereka dan diberi peluang untuk belajar serta memperbaiki diri.
“Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar kisah mencari cinta baharu, tetapi tentang manusia yang melakukan kesilapan dan bagaimana mereka memilih untuk belajar serta memperbaikinya.
“Walaupun menyentuh isu berat, kita tetap memasukkan elemen cinta, humor dan sisi kemanusiaan supaya ceritanya dekat dengan penonton.
“Setiap karakter mempunyai perjalanan masing-masing dan kita mahu penonton melihat bagaimana mereka belajar daripada kesilapan serta membuat pilihan yang lebih baik,” katanya.
Bagi Zara Zya, cabaran menghidupkan Ekin bukan sekadar menggambarkan seorang wanita yang terluka, tetapi memastikan perubahan karakter itu berlaku secara semula jadi.
“Secara peribadi, cabaran sebagai Ekin adalah memastikan setiap perubahan terasa natural dan bersebab.
“Ekin tidak tiba-tiba menjadi wanita yang kuat, sebaliknya dia melalui pelbagai pengalaman yang mengubah cara dia melihat dirinya sebagai seorang isteri, ibu dan wanita yang berhak menentukan kehidupannya sendiri,” katanya.
Menurut Zara, perjalanan Ekin penting kerana kekuatan watak itu bukan terletak pada tindakan membalas apa yang pernah dilakukan terhadapnya, tetapi keberaniannya untuk mengambil semula kawalan terhadap kehidupannya.
Dalam pada itu, MK K-Clique yang membawa watak Han mengakui karakter lelaki ‘green flag’ itu mempunyai cabaran tersendiri.
Menurutnya, dia mengambil pendekatan untuk membawakan Han dengan cara yang jujur supaya karakter berkenaan tidak kelihatan dibuat-buat.
“Saya mengambil pendekatan melakukan semuanya secara jujur dan ikhlas supaya semuanya nampak natural di setiap lapisan watak,” katanya.
Berbeza dengan Han, Izzue Islam pula perlu menyelami sisi Remy yang jauh lebih kompleks sebagai karakter ‘red flag’.

Sebagai antagonis, Izzue mahu memastikan Remy tidak sekadar kelihatan seperti watak jahat yang diwujudkan untuk mencetuskan konflik, sebaliknya mempunyai sisi dan sebab yang menjadikan karakternya lebih meyakinkan.
Sekali Lagi, Bahagia mengisahkan Ekin yang perlu berdepan stigma sebagai wanita bercerai dan bermula semula apabila sumber kewangannya disekat. Selama ini kehidupannya banyak berputar di sekeliling keluarga dan perkahwinan sehingga dia seolah-olah tidak mempunyai identiti sendiri.
Perceraian memaksanya berdepan dunia yang selama ini mungkin tidak pernah dikenalinya. Namun, daripada titik paling bawah itulah Ekin mula membina kehidupan baharu. Dia belajar berdikari, membina kerjaya dan akhirnya menceburi dunia keusahawanan.
Bagaimanapun, luka lama tidak semudah itu untuk ditinggalkan. Ekin masih perlu berdepan realiti keibubapaan bersama bekas pasangan yang toksik, termasuk isu hak penjagaan anak.
Lebih berat, drama ini turut menyentuh bagaimana konflik dan trauma yang dialami orang dewasa boleh memberi kesan kepada anak-anak. Di sinilah Sekali Lagi, Bahagia cuba membawa persoalan yang lebih besar daripada sekadar siapa akan memiliki hati Ekin.
Apakah harga yang perlu dibayar seorang wanita untuk mendapatkan semula kebebasan selepas keluar daripada hubungan toksik? Adakah seorang wanita yang pernah gagal dalam perkahwinan berhak menentukan sendiri bentuk kebahagiaannya?
Dan apabila cinta hadir daripada lelaki yang lebih muda, mengapa masyarakat masih merasakan mereka mempunyai hak untuk menentukan siapa yang layak dicintai?
Persoalan itu menjadikan kisah Ekin lebih dekat dengan realiti kerana perjalanan mendapatkan semula diri sendiri tidak pernah semudah meninggalkan sebuah hubungan. Dalam masa sama, kehadiran Han memberikan satu perspektif berbeza mengenai cinta, bahawa mencintai seseorang tidak semestinya bermakna mengawal kehidupannya atau menjadi ‘penyelamat’.
Ada kalanya, cinta hadir dalam bentuk memahami, menghormati dan memberikan ruang kepada seseorang untuk bangkit dengan kekuatannya sendiri.
Menambah kemeriahan pelancaran Sekali Lagi, Bahagia, Mentos Yes To Fresh turut tampil sebagai penaja dan rakan kolaborasi kempen bersama iQIYI dalam menyokong usaha membawa kandungan tempatan lebih dekat kepada penonton Malaysia.
Saksikan kisah Ekin, Han dan Remy dalam Sekali Lagi, Bahagia, bermula minggu hadapan dengan 12 episod, hanya di iQIYI.
