Sakura Band Akhirnya Tekan Butang RE:START
Selepas vakum daripada radar industri muzik tempatan, kumpulan Sakura Band akhirnya kembali mengubat rindu peminat apabila muncul dengan album terbaharu berjudul RE:START yang dilancarkan dalam suasana eksklusif di Hard Rock Café Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kemunculan semula itu bukan sekadar pelancaran album biasa, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan semula kumpulan berkenaan selepas melalui tempoh rehat yang panjang daripada dunia rakaman dan arus perdana muzik tanah air.
Lebih bermakna, RE:START membawa maksud mendalam buat Sakura Band bukan sekadar tanda permulaan baharu selepas melalui fasa jatuh bangun dalam perjalanan seni mereka.

Menariknya, Sakura Band tidak berubah dari segi barisan ahli apabila masih diterajui vokalis Mell, bersama Ali (gitar), Haniff (gitar) dan Akai (bass). Satu formasi yang sudah sinonim sejak awal penubuhan mereka.
Dalam industri muzik yang sering menyaksikan pertukaran anggota kumpulan, kekuatan Sakura Band mengekalkan barisan asal dilihat sebagai antara faktor yang mengukuhkan identiti dan keserasian mereka.
Album RE:START memuatkan lapan lagu yang tampil dengan bunyi lebih segar, moden dan berani, namun masih mengekalkan identiti pop rock yang menjadi tunjang Sakura Band.

Single utama berjudul “Masih” dipilih sebagai taruhan pertama bagi memperkenalkan semula kumpulan itu kepada peminat lama dan baharu. Turut menjadi perhatian, lagu pembukaan bertajuk RE:START yang membawa simbol kebangkitan selepas sekian lama menyepi.
Menurut kumpulan itu, setiap lagu dalam album ini lahir daripada pengalaman sebenar anggota — merangkumi kisah perjuangan, kehilangan, persahabatan dan impian yang belum tercapai.
Pendekatan itu menjadikan keseluruhan album lebih jujur, dekat dengan pendengar dan sarat emosi.
Dari segi produksi, album ini turut mendapat sentuhan beberapa nama berpengalaman termasuk Adi (6ixth Sense) dan Laq (Akim & The Majistret) yang membantu memberikan sentuhan lebih kemas, matang dan segar.
Proses pembikinan album yang bermula awal tahun ini bagaimanapun tidak berjalan mudah apabila mereka perlu mencari konsep tepat serta menyesuaikan semula keserasian selepas lama berehat.

Vokalisnya, Mell atau nama sebenarnya Melly Matius berkata, judul RE:START dipilih kerana ia melambangkan fasa baharu kumpulan itu.
“Konsep kali ini memang lebih kepada kemunculan semula Sakura Band selepas lama kami berehat. Kami masih kekalkan identiti, cuma ada perubahan dari segi muzik,” katanya.
Menurutnya lagi, pemilihan single “Masih” adalah strategi untuk menghubungkan semula hubungan dengan peminat lama.
“Lagu ini ada vibe hampir sama dengan karya lama kami, jadi ia jadi jambatan untuk pendengar kembali kepada Sakura Band,” jelasnya.
Mell turut mengakui album ini menampilkan bunyi yang lebih berat dan eksperimen berbanding karya terdahulu, selain menjadi pengalaman pertama mereka terlibat dalam proses penerbitan sendiri.
Walaupun berdepan cabaran dari segi idea dan konsistensi, mereka akhirnya berjaya menyiapkan album yang disifatkan paling signifikan dalam perjalanan kerjaya kumpulan itu.
Sakura Band berharap RE:START bukan sahaja mengukuhkan semula nama mereka dalam industri muzik, malah membuka lebih banyak ruang untuk karya dan kolaborasi pada masa hadapan.
Dengan semangat baharu dan keserasian lama yang kembali menyala, RE:START menjadi bukti bahawa Sakura Band masih belum selesai menulis perjalanan muzik mereka.
