Gig Dengan Misi, Jabat Erat Mahu Ubah Peta Seni Tempatan
Ketika industri hiburan semakin dikuasai acara komersial dan formula selamat, muncul sebuah festival yang berani berenang melawan arus. Namanya Jabat Erat dan ia bukan sekadar gig hujung minggu, sebaliknya gerakan seni bebas yang mahu menggoncang nadi ibu kota.
Berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Jun depan di ODEON KL, festival ini membawa semangat baharu apabila menghimpunkan pemuzik, label bebas, penganjur acara, pemilik venue, peminat muzik serta komuniti kreatif dalam satu ruang tanpa sempadan.
Di sebalik nama unik itu, Jabat Erat membawa maksud hubungan rapat antara semua pihak dalam ekosistem seni alternatif yang selama ini bergerak secara berasingan. Kini mereka disatukan di bawah satu bumbung dengan satu misi besar iaitu menghidupkan semula budaya D.I.Y (Do-It-Yourself) yang semakin kuat denyut nadinya.
Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtarudin berkata, festival itu diwujudkan bukan semata-mata mahu menjual tiket atau memenuhi jadual hiburan tahunan.

“Ini adalah hub rangkaian untuk Malaysia, Asia Tenggara dan seluruh dunia. Kita satukan penganjur independent, venue, peminat, band, label, veteran sehinggalah kumpulan muzik baharu dalam pelbagai genre rock and roll,” katanya.
Menurutnya, pemilihan ODEON KL juga mempunyai simbolik tersendiri apabila lokasi ikonik di tengah bandar itu mahu diangkat menjadi pusat budaya generasi baharu.
“Acara ini memilih OdeonKL kerana matlamat kami mahu menjadikan lokasi ikonik ini sebagai pusat budaya Fringe Arts. Ia adalah venue untuk semua peringkat umur yang mementingkan penglibatan belia, hiburan selamat dan komuniti-sentrik,” katanya.
Apa yang membuatkan Jabat Erat berbeza ialah keberaniannya menyatukan pelbagai genre yang sering dianggap ‘pinggiran’ oleh arus perdana. Lebih 20 artis tempatan dan antarabangsa bakal beraksi membabitkan rock, punk, shoegaze, metal dan indie.





Antara nama luar negara yang mencuri perhatian ialah legenda shoegaze Jepun Coaltar of the Deepers, band indie Thailand Yellow Fang, DOM65 dari Indonesia serta Megumi Acorda dari Filipina. Kehadiran mereka membuktikan Kuala Lumpur kini semakin dipandang sebagai hab penting muzik alternatif rantau ini.
Barisan tempatan pula tidak kurang menyengat dengan kemunculan Bayangan, The Impatient Sisters, Leaism, Faye Faire, Hawa, Speedwitches, Swindle dan Playburst yang mewakili warna berbeza dalam landskap muzik bebas negara.

Pengarah Seni Jabat Erat, Fendi Mazlan berkata, festival itu juga mahu membuka mata generasi muda bahawa pemuzik tidak perlu menunggu peluang datang dari sistem arus perdana untuk berjaya.
“Ini masanya untuk kita memberi inspirasi kepada generasi pemuzik sekarang dan masa depan menerusi perkongsian ilmu. Dari perspektif D.I.Y, kami mahu menceritakan realiti sebenar kugiran yang melakukan jelajah dari bandar ke bandar,” katanya.
Lebih menarik, festival ini tidak terhenti di pentas utama semata-mata. Pengunjung juga boleh menyertai forum seni Sembang Odeon, sesi diskusi komuniti, perkongsian pengalaman, selain pasar muzik bebas yang menjual vinil, kaset, CD dan merchandise eksklusif.

Di situlah roh sebenar Jabat Erat terletak iaitu seni bukan hanya untuk ditonton, tetapi diraikan, dibeli, dibincang dan dibina bersama.
Tiket pra-jualan kini ditawarkan pada harga RM118 hingga RM218, manakala jualan umum bermula RM138 hingga RM238.
Hakikatnya, Jabat Erat bukan acara untuk mereka yang sekadar mahu datang bersorak depan pentas. Ia adalah tempat berkumpulnya mereka yang percaya seni bawah tanah masih punya suara besar. Jika berjaya, festival ini mungkin menjadi detik penting kebangkitan baharu budaya alternatif di Kuala Lumpur.
