“Aishah 40 Chapters of Love” Janjikan Nostalgia
Dato’ Aishah Bakal Buat Kemunculan Solo Terbesar Dalam Kerjaya Di Megastar Arena KL
Selepas sekian lama memberi ruang kepada generasi baharu, penyanyi legenda tanah air, Dato’ Aishah akhirnya kembali menghangatkan pentas hiburan dengan sebuah konsert solo berskala besar yang dijangka mencetuskan fenomena nostalgia.
Konsert berjudul “Aishah 40 Chapters of Love” itu bakal berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8.00 malam di Megastar Arena KL, dan ia disifatkan sebagai antara momen paling besar dalam perjalanan seni beliau sepanjang empat dekad.
Lebih menarik, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya diangkat sebagai sebuah “perjalanan emosi” yang mengangkat kisah cinta, kehidupan dan kenangan melalui lagu-lagu yang pernah menjadi siulan ramai.

Antara lagu wajib yang sudah pasti membuatkan penonton ‘sing-along’ termasuk Janji Manismu, Camar Yang Pulang dan Kemaafan Dendam Yang Terindah, selain himpunan karya lain yang pernah mengangkat nama Aishah sebagai antara vokalis paling berpengaruh di rantau ini.
Dalam persiapan menuju malam istimewa itu, Aishah dikatakan sedang memberi fokus penuh terhadap stamina dan persembahan agar setiap detik di pentas nanti benar-benar memberi impak kepada peminat yang hadir.
“Konsert ini adalah hadiah buat semua peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak dulu. Saya mahu mereka merasai semula semua kenangan yang pernah kita lalui bersama melalui lagu-lagu ini,” katanya penuh emosi.
Sementara itu, penganjur Vox Nation Live menyifatkan konsert ini sebagai penghormatan kepada seorang legenda yang telah banyak menyumbang kepada sejarah muzik negara.
“Ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah pengalaman emosi dari awal hingga akhir. Setiap lagu adalah memori yang hidup,” kata wakil penganjur.

Tiket konsert akan mula dijual pada 17 April 2026, jam 3.00 petang menerusi www.ticket2u.com.my/Aishah40 dengan beberapa kategori termasuk VVIP RM788, VIP RM488, serta beberapa kategori lain mengikut zon tempat duduk.
Dengan gabungan vokal mantap, susunan muzik segar dan elemen nostalgia yang kuat, “Aishah 40 Chapters of Love” dijangka bakal menghidupkan kembali zaman kegemilangan suara emas negara.
