WOODZ Buat Kuala Lumpur Lupa Diri, “Sempurna” Jadi Ledakan Malam
Selepas tiga tahun menanti, kerinduan peminat Malaysia terhadap penyanyi dan pemuzik Korea Selatan, WOODZ akhirnya terubat apabila bintang serba boleh itu kembali menggegarkan ibu kota menerusi konsert 2026 WOODZ WORLD TOUR ‘Archive.1’ IN KUALA LUMPUR yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur,18 April lalu.
Dianjurkan oleh iMe MY, konsert yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu menyaksikan ribuan peminat setia yang dikenali sebagai MOODZ membanjiri venue seawal petang lagi. Ada yang hadir membawa sepanduk, lightstick dan hadiah khas buat idola mereka, sekali gus membuktikan aura WOODZ masih cukup kuat di Malaysia walaupun lama tidak tampil di sini.

Kembalinya WOODZ atau nama sebenarnya Cho Seungyoun ke Kuala Lumpur dianggap cukup bermakna kerana ia antara siri awal jelajah dunianya selepas menamatkan khidmat ketenteraan wajib di Korea Selatan.
Lebih manis, WOODZ bukan sekadar hadir dengan persembahan biasa, sebaliknya menghadiahkan malam penuh kenangan menerusi vokal mantap, aksi bertenaga, interaksi mesra dan kejutan istimewa yang membuatkan peminat pulang dengan senyuman lebar.
Sejurus lampu dewan dipadamkan, sorakan ribuan peminat mula bergema sebelum WOODZ muncul di pentas bersama kumpulan live band lima pemuzik miliknya.
Tanpa menunggu lama, dia terus membuka tirai dengan rangkaian lagu berintensiti tinggi menerusi Bloodline, Dirt On My Leather dan Downtown yang terus menaikkan suhu dewan.
Tenaga luar biasa yang dipamerkan sejak lagu pertama jelas membuktikan penyanyi itu datang dalam keadaan cukup bersedia. WOODZ berlari ke kiri dan kanan pentas, menyapa peminat di setiap sudut sambil mengekalkan vokal stabil.

Jika tiga lagu awal sudah cukup membuatkan penonton hilang suara, kemunculan intro lagu hit Drowning pula benar-benar meledakkan suasana. Sebaik muzik dimainkan, seluruh dewan seakan-akan bergegar dengan sorakan luar biasa. Peminat menyanyi bersama dari awal hingga akhir, menjadikan momen itu antara paling epik malam berkenaan.
“Thanks for singing with me!” katanya sambil tersenyum lebar.
Tidak sekadar memuji, WOODZ juga beberapa kali cuba berkomunikasi dalam bahasa Melayu yang nyata mencuri hati ramai.
“Korang enjoy tak?” tanyanya, disambut jeritan gemuruh, malah dia turut berseloroh memuji kekuatan vokal peminat tempatan.

Sepanjang lebih dua jam persembahan, WOODZ membuktikan mengapa dia sering digelar artis all-rounder. Selain mampu menyanyi dengan baik, dia juga tampil bertenaga, bijak mengawal emosi penonton dan cukup selesa berinteraksi di pentas.
Antara lagu lain yang terus membuatkan peminat tidak duduk diam termasuk Love Me Harder, I’ll Never Love Again, CINEMA, To My January, The Spark, AMNESIA dan Smashing Concrete.
Lagu Love Me Harder turut dipersembahkan dalam susunan baharu, dengan WOODZ mengakui dia lebih menyukai versi live berbanding rakaman asal.
Namun detik paling tidak dijangka malam itu hadir apabila WOODZ mempersembahkan lagu Melayu popular, Sempurna. Sebaik sahaja muzik lagu itu dimainkan, ribuan peminat terus menjerit terkejut sebelum menyanyi bersama-sama. Dengan sebutan yang jelas dan penuh penghayatan, WOODZ berjaya membawakan lagu tersebut dengan cukup baik.

Ramai dilihat merakam momen berkenaan kerana ia pasti menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan. Lebih mengujakan apabila selepas selesai menyanyi, WOODZ menutup persembahan itu dengan ucapan:
“Terima kasih… sayang kamu.” Ucapan ringkas itu cukup membuatkan peminat cair dan venue kembali bergema dengan sorakan.

Dalam satu segmen santai, WOODZ turut berkongsi rasa syukur kerana peminat masih setia menunggunya sepanjang tempoh tiga tahun ketika dia menjalani latihan ketenteraan.
“Three years is not a short time. Thank you for not leaving me. I really missed you all,” katanya dalam nada penuh emosi.
Kata-kata itu nyata menyentuh hati ramai, terutama peminat yang terus menyokong kerjayanya walaupun dia berehat sementara daripada dunia hiburan.

Tidak mahu suasana terus sebak, WOODZ kembali menceriakan dewan apabila menunjukkan beberapa frasa Melayu yang dipelajarinya.
“Sayang kamu! Gempak! Syiok! Hari ini memang best! Mantap! Korang sangat cantik!”
Setiap ungkapan yang disebut menerima sorakan dan gelak tawa penonton yang terhibur melihat kesungguhannya cuba mendekati peminat tempatan. Selain persembahan utama, WOODZ turut membuktikan dirinya cukup menghargai penyokong apabila melayan permintaan lagu secara spontan.
Antara yang menjadi perhatian apabila dia menyanyikan korus lagu CINEMA beberapa kali secara akapela, selain mengulang nyanyian Sempurna, To My January dan Human Exhibition atas permintaan peminat.
Lebih mengagumkan, WOODZ juga mencabar dirinya sendiri apabila menyanyikan bahagian korus tinggi lagu Drowning secara langsung beberapa kali tanpa cela.
Melihat peminat menyanyi dengan cukup harmoni, dia kemudian berseloroh:
“You sing better than me… mantap!” Aksi spontan itu membuatkan seluruh dewan ketawa dan bersorak.
Dari sudut produksi pula, konsert itu tampil kemas dengan tata cahaya menarik, sistem audio jelas dan visual skrin besar yang membantu setiap penonton menikmati persembahan dengan lebih dekat.

Ketika sesi encore, WOODZ kembali ke pentas dengan penampilan lebih santai sebelum menutup malam istimewa itu menerusi I Hate You, BUMP BUMP dan Stray.
Saat WOODZ melambai ke arah penonton sebelum meninggalkan pentas, ramai masih berdiri dan enggan berganjak, seolah-olah belum puas menikmati malam penuh magis bersama idola mereka.
Apa yang pasti, kepulangan WOODZ ke Malaysia kali ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pertemuan semula yang sarat kasih sayang antara artis dan peminat.
