Rindu Sampai Tak Lena! Nuha Bahrin Kembali Meledak Dengan Lagu Patah Jiwa “Malam-Malam”
Selepas mencetus fenomena luar biasa menerusi lagu Casablanca, penyanyi dan penulis lagu popular, Nuha Bahrin kini kembali mengubat kerinduan peminat dengan taruhan single baharu berjudul Malam-Malam, sebuah karya penuh emosi yang dijangka menjadi siulan ramai.
Lebih menarik, lagu berkenaan merupakan kolaborasi istimewa bersama komposer sensasi, Ezra Kong, di bawah projek kreatif terbaharunya dikenali sebagai mimpi.
Nama Ezra bukan asing dalam industri muzik tempatan apabila sering digelar memiliki ‘sentuhan Midas’ kerana hampir setiap karya ciptaannya berjaya meledak di carta muzik selain merangkul pelbagai pengiktirafan berprestij.
Menerusi Malam-Malam, Nuha tampil dengan sisi berbeza apabila mempertaruhkan gabungan elemen bunyi Arabic dan Spanish bersama sentuhan moden pop Melayu, sekali gus menjadikan lagu ini unik serta segar di halwa telinga.
Lagu itu mengangkat kisah kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berteraskan memori lama yang sederhana namun cukup bermakna. Ia berkisar tentang dua insan yang pernah berkongsi bahagia di bawah sinaran bulan, namun kini semuanya tinggal kenangan.
Bulan dalam lagu ini turut menjadi simbol masa dan momen indah yang tidak mungkin kembali, menjadikan karya ini dekat dengan jiwa sesiapa sahaja yang pernah kehilangan.
Ezra berkata, projek mimpi. diwujudkan sebagai ruang baharu buat dirinya untuk menghasilkan karya lebih jujur dan dekat di hati.
“mimpi. adalah projek yang saya mulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya selepas ini. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label dan A&R untuk menghasilkan karya yang lebih ikhlas.
“Melalui Malam-Malam, saya cuba tampil dengan pendekatan berbeza dari segi bunyi, susunan muzik dan lirik, mencari titik temu antara cita rasa saya dengan jiwa artis itu sendiri,” katanya.

Menurut Ezra, inspirasi lagu itu tercetus daripada kisah benar yang didengarinya daripada rakan-rakan yang bertugas sebagai anggota polis dan terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika musim perayaan.
“Perasaan rindu itu saya olah menjadi kisah romantik buat mereka yang menanti insan tersayang pulang dari tugas. Bila lagu ini dipadankan dengan Nuha, saya rasa karya ini sudah bertemu pemilik sebenar,” katanya.
Bagi Nuha pula, lagu berkenaan membawa makna sangat mendalam termasuk kerinduan terhadap dirinya sendiri yang dulu lebih yakin dan bebas.
“Nuha sangat relate dengan lagu ini. Malam-malam selalu buat Nuha overthink dan teringat semua kesilapan lama. Dalam masa sama, Nuha rindu diri sendiri yang dulu lebih yakin dan carefree.
“Kadang-kadang kita lupa bagaimana rasanya hidup tanpa terlalu fikir pandangan orang lain. Nuha sangat rindukan perasaan itu,” katanya.
Nuha turut mengakui dia cuba menyampaikan emosi lagu itu dengan cara lebih ‘raw’ dan jujur.
“Ada sedikit rasa geram, macam tertanya-tanya kenapa seseorang itu tiba-tiba hilang. Jadi Nuha seimbangkan kelembutan dengan emosi supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan itu,” katanya.
Menguatkan lagi jalan cerita lagu ini, muzik video Malam-Malam tampil dengan konsep visual puitis dan simbolik mengenai seorang wanita yang masih terperangkap dalam bayangan cinta lama.
Watak lelaki digambarkan sentiasa hadir di sisi, hampir disentuh namun tidak pernah benar-benar wujud. Di penghujung cerita, penonton bakal sedar kehadiran itu hanyalah bayangan memori dan rindu yang belum terubat.
Nuha berkata, kerjasama kali kedua bersama Ezra serta penulis Sufairah Mohd banyak membuka ruang untuk dirinya keluar daripada zon selesa.
“Gabungan bunyi Arabic, Spanish dan Malay dalam lagu ini sangat berani. Saya rasa honoured dapat menjadi suara kepada karya ini,” katanya.
Single Malam-Malam boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026 dan dijangka menjadi lagu pilihan ramai untuk ditemani saat sunyi menjelma.
