August 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

NADI Pacu Gaya Hidup Sihat, Celik Kewangan Anak Muda

Spread the love

Kredit Foto: Papadin

Bukan sekadar mahu menggalakkan masyarakat hidup lebih sihat, inisiatif NADI: Connecting Wellness, Fitness & Sports turut membuka ruang kepada pengusaha industri wellness, kecergasan dan sukan di Selangor untuk bergerak seiring dalam dunia digital.

Digerakkan syarikat teknologi tempatan Katch International, NADI menyasarkan pendigitalan 1,000 perniagaan dalam tiga sektor berkenaan di Selangor menjelang 2027, sekali gus membina ekosistem lebih tersusun dan mudah diakses masyarakat.

Lebih istimewa, gerakan berkenaan mendapat sokongan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan menghadiri pertemuan sulung NADI di Hyprground Pickleball, Seksyen 19 Petaling Jya pada 27 Ogos lalu.

Pertemuan secara jemputan itu menghimpunkan kira-kira 50 pemilik perniagaan wellness, kecergasan dan sukan bagi bertukar pengalaman, membina jaringan serta meneroka peluang kerjasama antara sektor.

Dalam sesi Dialog Diraja, Tengku Amir Shah bertitah pembangunan sukan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kejohanan besar, sebaliknya budaya bersukan perlu dipupuk secara berterusan di peringkat komuniti.

Baginda bertitah pertandingan komuniti penting untuk memastikan golongan muda terus aktif, meningkatkan kemahiran dan membina mentaliti kemenangan.

“Kita perlu terus menganjurkan pertandingan. Golongan muda perlu bermain secara konsisten setiap minggu supaya mereka dapat berlatih dan membangunkan mentaliti kemenangan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.”

Tengku Amir Shah turut melihat peningkatan populariti sukan seperti pickleball, larian dan catur sebagai tanda masyarakat semakin cenderung kepada aktiviti yang menggabungkan kesihatan serta interaksi sosial.

Menurut baginda, kejayaan sesuatu sukan turut bergantung kepada kekuatan komuniti yang menyokongnya.

“Saya sentiasa percaya kepada pembangunan akar umbi. Apa yang penting ialah bagaimana kita membina komuniti dan menyediakan platform untuk mereka bersaing secara sihat.”

Baginda turut mahu kemudahan sukan moden tidak hanya menjadi tempat beriadah, sebaliknya berfungsi sebagai pusat komuniti yang membolehkan masyarakat berkumpul, berinteraksi, membina jaringan dan menjalankan pelbagai aktiviti.

Dalam pada itu, Tengku Amir Shah menyentuh cabaran mengekalkan penglibatan masyarakat dalam sukan apabila ramai berhenti aktif selepas tamat persekolahan kerana memasuki alam pekerjaan atau pendidikan tinggi.

Justeru, aktiviti komuniti dan pertandingan santai perlu diperbanyakkan bagi memastikan budaya bersukan menjadi sebahagian daripada kehidupan sepanjang hayat.

Baginda turut menjadikan budaya sukan di Australia yang membabitkan seluruh keluarga dalam aktiviti hujung minggu sebagai contoh untuk menggalakkan gaya hidup lebih aktif.

Tidak hanya kesihatan fizikal, aspek kewangan golongan muda turut mendapat perhatian Tengku Amir Shah. B aginda bertitah tahap kesedaran dan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda ketika ini amat membimbangkan, dengan statistik nasional menunjukkan kira-kira 20 peratus individu yang diisytiharkan muflis terdiri daripada mereka berusia 35 tahun ke bawah.

Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu termasuk penggunaan kad kredit secara berlebihan serta kecenderungan membeli kenderaan dan barangan yang tidak semestinya diperlukan.

“Mereka berbelanja secara berlebihan menggunakan kad kredit, membeli kereta dan pelbagai barangan, dan keadaan ini amat membimbangkan.”

Baginda berkata, isu itu turut dapat dilihat ketika pandemik Covid-19 apabila ramai individu tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi keadaan luar jangka.

Tengku Amir Shah turut merujuk keadaan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk sebahagian individu yang mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

“Literasi kewangan di negara kita masih tidak begitu baik. Dalam kalangan belia pula, keadaan ini lebih membimbangkan kerana mereka mahu bergerak pantas dalam kehidupan, menjadi sebahagian daripada masyarakat dan memiliki pelbagai barangan.

“Kita memerlukan disiplin yang lebih baik, bukan sahaja dalam aspek kesihatan, malah juga dalam aspek kewangan, dan ia perlu bermula melalui pendidikan sejak usia muda.”

Baginda turut membetulkan persepsi sebahagian golongan muda yang menganggap kereta sebagai aset.

“Mereka menganggap kereta sebagai aset, sedangkan hakikatnya tidak. Ini antara salah faham yang perlu diperbetulkan.”

Menurut baginda, pendidikan kewangan sejak usia muda penting bagi membentuk generasi lebih berdisiplin dan bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Katch International, Lee Cheng Yun berkata, pendigitalan yang dibawa NADI bukan bertujuan memperkenalkan teknologi semata-mata, sebaliknya menyelesaikan masalah operasi yang dihadapi pengusaha.

“Kebanyakan pengusaha dalam industri ini masih menjalankan operasi menggunakan WhatsApp dan buku nota. Memberikan mereka peralatan digital yang betul bukan semata-mata mengenai teknologi, tetapi supaya penduduk Selangor boleh mencari kelas, gelanggang atau klinik hanya dengan beberapa ketikan.

“Itulah keseluruhan tujuannya. Ringkasnya, NADI mempromosikan segala perkara berkaitan gaya hidup sihat di bawah satu bumbung.”

Menerusi infrastruktur digital Katch, pengusaha boleh mengurus tempahan, keahlian, pakej dan pembayaran dengan lebih sistematik, manakala pengguna mendapat akses lebih mudah untuk mencari perkhidmatan wellness, kecergasan dan sukan.

Pengasas Bersama NADI, Nicholas Lai Joon Lim berkata, kekuatan gerakan itu terletak pada usaha menyatukan pengusaha daripada tiga sektor yang sebelum ini banyak bergerak dalam komuniti masing-masing.

“Membawa pengusaha wellness, kecergasan dan sukan ke dalam satu ruang memberikan industri ini nadinya. Itulah maksud NADI dan itulah yang kami mahu lakukan.  Kami amat berbesar hati menerima sokongan Raja Muda Selangor untuk pelancaran ini dan berharap dapat membawa NADI ke setiap daerah di Selangor.”

Program sulung berkenaan turut mendapat sokongan TBH Wellness, Heliaa, Neuro, Capa+ (ProteinPlus), VictoAuthentic, PDC, Ticco dan Canton Boy.

Ia turut diserikan sesi masterclass oleh pitchIN dan Anytime Fitness yang memberi pendedahan kepada pengusaha mengenai usaha mendapatkan modal serta mengembangkan perniagaan.

NADI, yang bermaksud ‘denyutan’, membawa aspirasi untuk mewujudkan rentak bersama lebih kukuh dalam ekosistem wellness, kecergasan dan sukan di Selangor.

Katch International yang ditubuhkan pada 2021 pula merupakan syarikat teknologi Malaysia yang mengendalikan platform tempahan dan sistem pengurusan bagi industri wellness, kecergasan dan sukan di Malaysia, Singapura serta Indonesia, dengan lebih 34,000 pengguna berdaftar.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page