OAG X The Times Hampir ‘Sold Out’, FUGŌ X Midnight Fusic Masih Ada Tiket

Pertembungan dua generasi muzik alternatif di Odeon KL, kategori Seated sudah licin manakala tiket Standing terus diburu peminat
Bahang muzik alternatif tempatan semakin terasa apabila konsert Disko Dansa Generasiku: OAG & The Times yang dijadual berlangsung di Odeon KL pada 10 Oktober ini semakin menghampiri status sold out.
Buat masa ini, tiket kategori Seated berharga RM189 sudah habis terjual, manakala kategori Standing RM139 masih menjadi pilihan terakhir buat peminat yang mahu menyaksikan pertemuan dua nama besar muzik alternatif tempatan daripada generasi berbeza.
Penganjuran konsert itu turut memperlihatkan usaha Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd. menjadikan Odeon KL sebagai ruang yang mempertemukan pelbagai generasi dan kelompok pencinta muzik tempatan.
Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtaruddin, sebelum ini berkata pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan muzik semasa serta perubahan cita rasa pendengar, khususnya generasi baharu.

Menurutnya, kekuatan identiti muzik yang dimiliki setiap kumpulan menjadi antara faktor utama Rockstation memilih untuk menghimpunkan artis berlainan generasi di pentas Odeon KL.
Bagi Disko Dansa Generasiku, pertemuan OAG dan The Times bukan sekadar persembahan dua kumpulan dalam satu pentas, sebaliknya membawa nilai sentimental yang cukup kuat.
Vokalis OAG, Muhammad Radhi Razali atau Radhi, menyifatkan persembahan itu sebagai satu ‘reunion’ memandangkan hubungan kedua-dua kumpulan sudah terjalin sejak awal 2000-an.
“Sebenarnya OAG dan The Times ini dah macam adik-beradik. Kita dah macam satu keluarga. Ini bukan kali pertama kami buat persembahan bersama kerana sebelum ini pun kami pernah berkongsi pentas, termasuk pada 2006 di Hard Rock dan kali terakhir yang saya ingat pada 2019 di Kuching.
“Jadi, konsert ini bagi saya lebih kepada ‘reunion’. Walaupun Naza dan Mono sekarang membawa nama The Times, saya tetap anggap mereka sebahagian daripada OAG,” katanya ketika ditemui media di Odeon KL pada 26 Ogos lalu.
Hubungan itu bermula apabila Naza dan Mono, yang juga adik-beradik, menyertai OAG sebagai gitaris dan pemain bass sebelum menubuhkan The Times pada Ogos 2004.

OAG yang ditubuhkan pada 1992 kemudian mencipta sejarah menerusi karya seperti 60’s TV dan Generasiku, manakala The Times membina identiti tersendiri menerusi pengaruh British pop, mod, psychedelia dan rock ‘n’ roll.
Vokalis The Times, Naza pula melihat Disko Dansa Generasiku sebagai titik pertemuan peminat yang membesar dengan muzik kedua-dua kumpulan.
“Ramai yang membesar dengan OAG pada era 90-an, dan ramai juga yang menemui muzik melalui The Times pada tahun 2000-an. Konsert ini ibarat satu titik pertemuan antara dua generasi dan juga generasi baharu yang belum pernah mendengar lagu OAG dan The Times,” katanya.
Tidak mahu sekadar mengulang nostalgia, The Times turut menjanjikan beberapa kejutan menerusi pilihan lagu, susunan persembahan dan momen yang tidak dijangka.
FUGŌ X MIDNIGHT FUSIC MASIH ADA TIKET
Sementara tiket OAG X The Times semakin menyusut, peminat muzik alternatif masih mempunyai peluang untuk menikmati satu lagi gandingan menarik di lokasi sama.
FUGŌ dan Midnight Fusic bakal berkongsi pentas menerusi Panggung Sandiwara: FUGŌ & Midnight Fusic pada 17 Oktober ini.
Konsert double-bill berkenaan menjadi pertemuan pertama kedua-dua kumpulan yang masing-masing mempunyai karakter serta kelompok peminat tersendiri.
FUGŌ yang ditubuhkan pada 2019 membawa pendekatan ‘nu-vintage’, manakala Midnight Fusic yang dibentuk pada 2013 dikenali menerusi lagu seperti Caramel Cream, Time Machine, Under The Weather dan Cahayaku Lovesick.

Anggota FUGŌ, Faizul Hakimi berkata, peluang berkongsi pentas dengan Midnight Fusic membuka ruang untuk mereka bertukar idea dan mendapatkan perspektif baharu dalam proses kreatif.
“Apabila mendapat perspektif daripada orang lain, kami dapat bertukar idea dan berkongsi pengetahuan. Jadi, kami sangat teruja untuk melihat lebih banyak perkara kreatif yang akan lahir daripada perjalanan ini,” katanya.

Menurut pihak Rockstation, keputusan mempertemukan FUGŌ dan Midnight Fusic dibuat berdasarkan perkembangan selera generasi baharu pendengar serta kekuatan identiti muzik kedua-dua kumpulan.
Justeru, Oktober ini Odeon KL bakal menjadi medan pertemuan dua dunia muzik alternatif menerusi dua acara berbeza dimana OAG X The Times pada 10 Oktober dan FUGŌ X Midnight Fusic pada 17 Oktober.
Bagi peminat OAG dan The Times, masa semakin suntuk apabila tiket Seated sudah habis terjual dan hanya kategori Standing RM139 masih tersedia.
Sementara itu, peminat FUGŌ dan Midnight Fusic masih boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan Panggung Sandiwara pada 17 Oktober.
Maklumat lanjut mengenai Disko Dansa Generasiku dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman rasmi www.oagthetimes.com.
